Salasilah kesultanan Selangor mulai 1756
KESULTANAN Selangor bermula seawal tahun 1756 apabila ia berada di bawah
pemerintahan Raja Lumu yang menjadi Yang Dipertuan Besar Selangor dan
bergelar Sultan Salehuddin Shah.
Biarpun berasal dari kalangan orang Bugis, kesultanan baginda diiktiraf
oleh
Sultan Perak pada pertengahan kurun ke-18 yang turut membawa kepada
pembebasan negeri Selangor daripada kekuasaan kerajaan Johor.
Pemerintahan Sultan Salehuddin berterusan sehingga tahun 1778 apabila
baginda mangkat lalu digantikan oleh putera baginda, Raja Ibrahim Marhum
Saleh yang kemudian bergelar Sultan Ibrahim Shah.
Sepanjang pemerintahan Sultan Ibrahim Shah, Selangor menempuh pelbagai
peristiwa antaranya, serangan tentera Belanda pada 13 Julai 1784 yang berjaya
menawan kota Kuala Selangor.
Ini diikuti perjanjian kerjasama antara kerajaan baginda dengan kerajaan
negeri
Perak yang akhirnya membawa kepada perselisihan hutang piutang yang
diselesaikan melalui campur tangan Robert Fullerton, Gabenor Inggeris di
Pulau
Pinang.
Selepas kemangkatan Sultan Ibrahim Shah pada 27 Oktober 1826, anakanda
baginda, Raja Muda Selangor dilantik menjadi Sultan Selangor dan bergelar
Sultan Muhammad Shah.
Menurut sejarah, pemerintahan baginda dianggap lemah ekoran ketidakupayaan
baginda untuk menguasai raja-raja dan para pembesar di daerah-daerah lain
di
Selangor.
Oleh itu, berlaku perpecahan daerah di Selangor iaitu Bernam, Kuala Selangor,
Kelang, Langat dan Lukut.
Sungguhpun begitu sepanjang 31 tahun memerintah, baginda telah
menampakkan beberapa perubahan dengan pembukaan lombong bijih timah di
Ampang diikuti dengan pembinaan kedai-kedai bagi keperluan rakyat
terutamanya para pelombong.
Kemangkatan baginda secara mengejut pada penghujung tahun 1857
menyebabkan timbul perbalahan di kalangan kerabat di raja dan para pembesar
Selangor dalam soal memilih Sultan yang baru.
Keputusan akhirnya dicapai dua tahun kemudian untuk melantik Raja Abdul
Samad Raja Abdullah sebagai Sultan Selangor, biarpun baginda hanyalah anak
saudara kepada almarhum Sultan Muhammad Shah.
Sejak permulaan pemerintahan baginda, lombong bijih timah di Ampang mula
mengeluarkan hasil untuk diperdagangkan ke negeri-negeri Selat serta berjaya
menarik kemasukan lebih ramai pelombong Cina.
Pada tahun 1868, Sultan Abdul Samad melantik menantunya, Tengku Dhiauddin
ibni Almarhum Sultan Zainal Rashid (Tengku Kudin) selaku Wakil Yamtuan
Selangor dan menyerahkan Langat sebagai hak milik menantunya itu.
Selepas memerintah Selangor selama 39 tahun, Sultan Abdul Samad akhirnya
mangkat ketika berusia 93 tahun pada 6 Februari 1898 lalu dimakamkan di
Jugra dan disebut `Marhum Jugra'.
Almarhum digantikan oleh cucundanya, Raja Muda Sulaiman ibni Almarhum
Raja Muda Musa pada 17 Februari 1898 dan bergelar Sultan Alauddin Sulaiman
Shah.
Semasa pemerintahan baginda, Selangor mula mengalami perubahan besar
apabila lebih banyak jalan raya dan landasan kereta api dibina begitu juga
meningkatnya pembinaan rumah dan kedai terutama di Kuala Lumpur dan
Kelang.
Kebijaksanaan baginda memerintah telah mendorong rakyat mengadakan
sambutan keramaian Jubli Emas di Kelang sempena genap 40 tahun
pemerintahan baginda.
Namun begitu, beberapa bulan kemudian, pada 30 Mac 1938, baginda pun
mangkat dan dimakamkan di Kelang dengan gelaran `Marhum Atiqullah'.
Pemerintahan Selangor diambil alih oleh anakanda almarhum Sultan Alauddin
Tengku Alam Shah yang ditabalkan pada 4 April 1938 dan diberi gelaran Sultan
Hisamuddin Alam Shah.
Kerajaan baginda bagaimanapun tidak kekal lama apabila dipaksa turun takhta
pada tahun 1942 oleh tentera Jepun yang sebelum itu menyerang dan
mengalahkan negeri-negeri Melayu.
Jepun yang merasakan kekanda Tengku Alam Shah, Tengku Musauddin lebih
layak menjadi pemerintah Selangor telah melantik baginda sebagai Sultan
Musa
Ghiatuddin Riayat Shah dan Tengku Alam Shah diminta memberi kerjasama
membantu kekandanya dalam soal pemerintahan.
Penguasaan Malaya yang berubah ekoran kemasukan semula tentera Britain
lebih tiga tahun kemudian turut mengubah struktur pemerintahan kerajaan
Selangor kembali kepada pimpinan Sultan Hisamuddin Alam Shah.
Berikutan perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Sultan Hisamuddin
Alam Shah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Negara
Persekutuan Tanah Melayu, sementara jawatan Yang di-Pertuan Agong yang
pertama disandang oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul
Rahman ibni almarhum Tuanku Muhammad.
Berikutan kemangkatan baginda Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960,
Sultan Hisamuddin Alam Shah pula dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong
kedua.
Lima bulan kemudian, baginda pula mangkat pada 1 September 1960 setelah
gering selama 27 hari lalu pemerintahan Selangor diterajui oleh putera
sulung
baginda Raja Abdul Aziz sebagai Sultan Selangor yang bergelar Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Kesultanan Selangor di bawah pemerintahan Sultan Salahuddin banyak
meninggalkan perubahan yang membanggakan rakyat lantas baginda tetap
kekal dalam kenangan selepas kemangkatan baginda di Pusat Perubatan
Gleneagles Intan, Jalan Ampang, di sini semalam.
Anakanda Almarhum, Tengku Idris Shah pada 22 November 2001 dimasyhurkan
sebagai Sultan Selangor kesembilan.