"Memahami Masyarakat Internet - Sejarah Internet"
Berita Komputer, October 9 1996

Kerajaan Malaysia adalah serius dan komited untuk membentuk masyarakat kaya maklumat dengan menyediakan prasarana induk seperti Koridor Raya Pelbagai Media atau Multimedia Super Corridor (MSC) yang bakal menjadi laluan utama maklumat Malaysia ke Internet, jaringan komputer-komputer seluruh dunia. Menyambut usaha murni kerajaan, HIT menjadikan motto "Memasyarakatkan Internet" sebagai misi kewujudan. Telah diakui ramai bahawa Internet adalah agen perobahan abad 21, sumber pelbagai maklumat, sistem komunikasi pantas dan murah, jaringan manusia global, membentuk dunia siber tersendiri, menyediakan prasarana dan peluang perniagaan. Pemikir-pemikir Barat seperti Alvin Toffler (dalam buku "Future Shock", "The Third Wave" dan "Powershift"), John Naisbitt (dalam buku "Global Paradox"), Don Tapscott (dalam buku "The Digital Economy: Promise and Peril in the Age of Networked Intelligence"), Bill Gates (dalam buku "The Road Ahead") dan Nicholas Negroponte (dalam buku "Being Digital"), masing-masing membincangkan dengan panjang lebar akan halatuju dunia ke zaman maklumat.

Walau bagaimanapun, masyarakat perlu bersedia sebelum menerima sesuatu yang baru kerana pasti ada ancaman-ancaman di sebalik peluang-peluang. Apatah lagi kita mengetahui Internet dari segi sejarahnya dan bentuk kandungan maklumat yang ada sekarang semuanya bermula di Amerika Syarikat. Oleh itu, sememangnya kita mengetahui tidak semua maklumat yang disalurkan oleh Barat terutamanya Amerika Syarikat melalui Internet adalah baik dan bersesuaian belaka dengan masyarakat kita. Oleh kerana abad 21 adalah abad di mana minda dan intelek akan menjadi sasaran utama maklumat yang mudah dicapai, maka kandungan maklumat boleh menjadi ancaman jika ianya tidak serasi dengan nilai budaya masyarakat kita. Di samping itu, kita tetap mengakui bahawa ada manfaat yang boleh diperolehi dari Internet dari segi maklumat yang berbentuk teknikal, fakta dan pendapat yang boleh diterima pakai menurut neraca kita (masyarakat Malaysia dengan peradaban Timur).

Sebelum kita memahami akan ancaman dan peluang dengan penerimaan Internet sebagai sebahagian dari hidup, elok juga jika kita mengetahui sejarah Internet secara ringkas supaya kita tidak lari dari konteks pemahaman kita. Sejarah berkala ini di ringkaskan dari "Hobbes’ Internet Timeline v1.3" oleh Robert H'obbes' Zakon.

 Tahun

 Peristiwa / Perkembangan Berkaitan Internet

 1956

USSR melancarkan satelit buatan pertama Sputnik. Sebagai tindakbalas, Amerika Syarikat membentuk Advanced Research Projects Agency (ARPA) untuk kajian sains dan teknologi ketenteraan.

 1962-1968

Kertas kerja dan konsep berkenaan dengan jaringan komunikasi berasaskan "packet-switching networks" dimulakan oleh Paul Baran yang telah dibentangkan di Simposium ACM pada 1967. Dibentangkan kemudian kepada ARPA pada tahun 1968

 1969

Jaringan komputer pertama ARPANET dibangunkan untuk tujuan kajian dalam jaringan komputer

 1970 - 1972

ALOHANet dibangunkan, berkembang kepada 15 komputer nod sehingga menjangkau 40 komputer pada tahun 1972. Ray Tomlinson telah mencipta mel elektronik (e-mail) untuk menghantar pesanan melalui jaringan komputer.

 1973

ARPANET membuat capaian antarabangsa ke England dan Norway

 1974

Vint Cerf dan Bob Kahn membentangkan kertaskerja "A Protocol for Packet Network Internetworking" yang menggariskan asas kepada Trasmission Control Protocol (TCP)

 1976

UUCP (Unix-to-Unix CoPy) dibangunkan di AT&T Bell Labs dan dipasarkan bersama UNIX setahun kemudian

1979

USENET diperkenalkan menggunakan UUCP

1981

BITNET (Because Its Time NETwork) dibangunkan sebagai jaringan kooperatif di City University of New York. Menggunakan e-mel sebagai medium perkongsian maklumat antara ahli.

1982

INWG menetapkan the Transmission Control Protocol (TCP) dan Internet Protocol (IP) atau TCP/IP sebagai protokol piawai untuk ARPANET. Permulaan kepada definisi awal "Internet"

1983

ARPANET dipecahkan kepada ARPANET dan MILNET (tertumpu kepada bidang ketenteraan)

1984

Domain Name Server (DNS) diperkenalkan dan bilangan komputer hos mencecah angka 1,000.

1986

NSFNET dicipta (kelajuan talian 56 Kbps). Perkembangan jaringan komputer yang mendadak selepas itu. Network News Transfer Protocol (NNTP) diperkenalkan.

1987

Merit, IBM dan MCI bersama mengurus jaringan NSFNET. Hos meningkat kepada 10,000 dan BITNET hos kepada 1,000

1989

Bilangan hos mencecah 100,000 dan laluan utama (backbone) NSFNET ditingkatkan kepada T1 (kelajuan 1.544 Mbps).

1990

ARPANET diberhentikan, dan Electronic Frontier Foundation (EFF) diasaskan oleh Mitch Kapor

1991

WAIS diperkenalkan oleh Thinking Machines Corporation, GOPHER oleh University of Minnesota

1992

Internet Society diperkenalkan dan World Wide Web diperkenalkan oleh CERN. Bilangan hos mencecah 1,000,000. Laluan utama NSFNET ditingkat kepada T3 (kelajuan 44.736 Mbps).

1993

Rumah Putih (US), PBB dan Bank Dunia berada di Internet. Perisian Mosaics (Windows) memudahkan capaian kepada Internet. WWW berkembang dengan kadar tahunan 341,634% !

1994

Masyarakat membuat capaian secara mendadak. Kedai-kedai "virtual" mula ujud di Internet,

1995 - sekarang

Internet, terutamanya WWW terus berkembang secara eksponensial. Penggunanya meningkat lebih 50 juta. Lebih 100 juta pengguna dianggarkan pada tahun 2000

Daripada ringkasan sejarah perkembangan Internet di atas, kita boleh membuat beberapa kesimpulan seperti berikut :

  • Oleh kerana Internet bermula di Amerika Syarikat dan negara Barat lebih 25 tahun yang lalu, mereka lebih mempengaruhi kandungan maklumat, citarasa, nilai dan budaya Internet,
  • Tahun 1993 adalah tahun "breakthrough" di mana masyarakat dunia mendadak mahu mencapai Internet apabila World Wide Web (WWW) dan perisian Mosaics yang memudahkan pencarian maklumat diperkenalkan,
  • WWW yang membolehkan perkongsian maklumat multimedia adalah masih muda berusia sekitar 3 tahun di dunia dan masih "bayi" di Malaysia. Potensi gunaannya adalah terlalu besar,
  • Mimos ditubuhkan pada 1 Januari 1985 dan Jaring diperkembangkan penggunaannya pada awal 1990-an. Oleh itu, kandungan maklumat terkumpul tempatan di Internet masih terlalu sedikit,
  • Sehingga sekarang Internet masih terus berkembang dengan begitu pesat dengan bilangan pengguna yang semakin bertambah, perkakasan/perisian capaian Internet yang semakin canggih, kandungan maklumat yang semakin kaya (enriched) dan interaktif dan laluan utama (backbone) yang semakin laju.

 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved