Faktor-Faktor Kekangan Penggunaan Media Elektronik
Di Kalangan Guru Pelatih
Oleh
Jawatankuasa Penyelidik
Unit Teknologi Maklumat MPTI 1997
Penyelidik Utama
SUMILAH BTE MARTO
Ahli-Ahli
HJ ABDULLAH BIN MD YATIM, MD YATIM BIN ABU BAKAR, ABU BAKAR BIN SAHARI, ABDUL LATIF BIN HJ GHAPOR, SHAH ANUAR BIN HARUN, SYED HASSAN BIN JAAFAR

Abstrak

Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mengekang penggunaan media elektronik dalam pengajaran di kalangan guru-guru pelatih MPTI yang sedang menjalani praktikum. Bagi tujuan kajian ini, penyelidik dengan bantuan panel kepakaran telah memilih tujuh faktor yang dijangka menjadi kekangan penggunaan media elektronik iaitu sikap dan minat guru pelatih yang tidak menggalakkan, kekurangan kemudahan fizikal dan infrastruktur, kekurangan koleksi sumber media, kurangnya pendedahan dan kemahiran dalam bidang media elektronik, kelemahan pengurusan pusat sumber sekolah, beban tugas serta kurangnya bimbingan dan penyeliaan. Hasil kajian ini mendapati bahawa kesemua faktor yang dikaji adalah merupakan faktor-faktor yang mengekang penggunaan media elektronik di kalangan guru-guru pelatih MPTI.

Abstract

The purpose of this study is to investigate the hindrance factors on the use of electronic media amongst the MPTI teacher trainees during their teaching practice. Seven hindrance factors were identified and agreed upon by a ‘panel of experts’ and they are as follows: negative attitude and interest, lack of availability of physical facilities and infrastructure, lack of media resources, lack of exposure and efficiency of electronic media utilization, weakness in the management of school resource centre, workload of the teachers and lack of supervision and guidance. Data analysis indicated that all of the factors mentioned earlier were the hindrance factors on the use of electronic media amongst the MPTI teacher trainees.

Pengenalan

Dalam dekad 80-an, senario pendidikan di rantau Asia-Pasifik mula menampakkan gelombang perubahan yang menarik kerana banyak negara di rantau ini telah mengambil keputusan untuk mengkaji semula sistem pendidikan masing-masing dan melancarkan reformasi pendidikan. Selaras dengan Wawasan 2020 yang bermatlamat ke arah sebuah negara maju, para pendidik di Malaysia harus mengorak langkah untuk memasuki era baru ini bagi memastikan generasi pelajar akan datang mencapai tahap yang setara dengan negara-negara maju lain.

Terdapat berbagai-bagai idea pemikiran dan usaha yang dilakukan untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini. Salah satu usaha yang telah dan sedang dilakukan ialah program meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran melalui teknologi pendidikan. Sumbangan teknologi pendidikan yang merangkumi penggunaan media elektronik bagi membantu kegiatan dan keperluan pendidikan telah pun diketahui dan diperakui oleh negara-negara maju .

Pernyataan Masalah

Pendidikan di Malaysia telah mengalami perubahan. Pendekatan pedagogi guru juga diharap akan berubah. Pengajaran-pembelajaran perlu berubah selaras dengan kehendak falsafah pendidikan negara. Perubahan kandungan sukatan matapelajaran sahaja tanpa sebarang perubahan terhadap cara pengajaran-pembelajaran matapelajaran itu tidak akan dapat mencapai matlamat pendidikan yang diharapkan.

Berlandaskan kepada pembaharuan di dalam kurikulum ini, maka sewajarnyalah para pendidik memikirkan cara yang lebih berkesan bagi meningkatkan mutu pengajaran-pembelajaran selain daripada apa yang telah dan sedang dipraktikkan sekarang ini. Selaras dengan tuntutan keadaan ini, maka teknologi pendidikan telah diperkembangkan sehingga alat media tidak terbatas penggunaannya. Sejak tahun 1970-an lagi Kementerian Pendidikan, dengan penuh kesedarannya telah menggalakkan para pendidik memperluaskan penggunaan bahan-bahan sokongan pandang-dengar dan media elektronik.

Penggunaan teknologi pendidikan diharap berupaya merealisasikan harapan yang dinyatakan disamping menjadikan proses pengajaran-pembelajaran lebih berkesan dan berjaya. Hasrat ini adalah selaras dengan falsafah Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (1987) yang menekankan bahawa penggunaan pelbagai jenis media elektronik secara terancang boleh mengukuhkan proses pengajaran-pembelajaran di sekolah-sekolah. Penggunaan pelbagai jenis media elektronik juga memberi peluang kepada setiap murid untuk menguasai ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih menarik dan berkesan sejajar dengan falsafah pendidikan kebangsaan yang bertujuan untuk mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu (Md. Yusof bin Ayob 1993).

Di Malaysia, ramai murid sekolah sudah agak biasa dengan alat-alat elektronik seperti radio, perakam kaset, televisyen, perakam video dan mesin kira. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak Kementerian Pendidikan telah membelanjakan sejumlah peruntukan untuk memberi kursus kepada guru-guru dalam bidang media pendidikan (Bahagian Teknologi Pendidikan 1987).

Walau bagaimanapun, di sebalik pertambahan alat dan bahan media, Jemaah Nazir dan Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan telah melaporkan bahawa penggunaan sebenar alat dan bahan media elektronik dalam bilik darjah adalah kurang dan tidak memadai (Bahagian Teknologi Pendidikan 1987). Dari kajian-kajian yang telah dijalankan ke atas penggunaannya di sekolah atau di institusi pengajian tinggi di dapati masih lagi rendah dan tidak memuaskan.

FAKTOR-FAKTOR JANGKAAN

Laporan Jemaah Nazir Sekolah (1984:24) apabila menyentuh tentang penggunaan media elektronik telah menyatakan bahawa:

"Penggunaan sumber-sumber pendidikan oleh murid-murid dan guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran adalah pada kadar yang rendah disebabkan oleh beberapa faktor termasuk kekurangan kemudahan fizikal, kekurangan koleksi sumber-sumber pendidikan, kekurangan tenaga manusia yang terlatih, kelemahan dalam pengurusan pusat sumber sekolah, sikap dan minat guru yang tidak menggalakkan serta kurang bimbingan dan penyeliaan oleh pihak sekolah."Nyatalah dari segi amalannya, pembudayaan media elektronik belum boleh dikatakan telah berlaku secara menyeluruh. Kesungguhan pihak penggubal dasar khususnya Kementerian Pendidikan nampak dengan jelas melalui usaha-usaha yang dijalankan secara terus menerus dari semasa ke semasa, tetapi dari segi aspek penerimaan dan pelaksanaannya di peringkat sekolah masih belum memuaskan lagi. Proses pembudayaan media elektronik kelihatan masih dalam bentuk jalan sehala yang banyak liku-liku dan masih dirintangi oleh pelbagai halangan dan dugaan.

Dalam hubungan ini, kita harus sedia melihat sama ada strategi yang kita gunakan dalam pembudayaan media elektronik di sekolah ini perlu dikaji semula supaya hasrat kita dalam usaha ini benar-benar menghasilkan buah sebagaimana yang kita idam-idamkan. Ini adalah tugas kita bersama. Barangkali pendapat yang dikemukakan oleh Mohd Daud dan Kamaruddin (1990:6) dapat kita gunakan untuk meninjau dan mengambil iktibar:

 

"Semasa mengikuti kursus dan latihan, guru-guru hadir dengan penuh minat dan perasaan yang gembira. Mereka betul-betul memperolehi penjelasan yang memuaskan tentang objektif latihan. Tetapi objektif untuk mengembangkan kemahiran, bakat, minat dan daya kreativiti serta menanamkan nilai dan sikap amat kurang diberi perhatian."Adalah menjadi tugas kita bersama untuk melihat masalah ini secara kolektif supaya masalah pelaksanaan pembudayaan media elektonik ini benar-benar dapat dijelmakan dalam bentuk amalan yang berkekalan dan berterusan.

Sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menghalang guru-guru dari menggunakan media elektronik dalam pengajaran. Walau bagaimanapun bagi tujuan kajian ini, penyelidik hanya akan menumpukan kepada tujuh faktor yang telah dikenalpasti sebagai faktor-faktor yang menghalang penggunaan media elektronik di kalangan guru-guru pelatih MPTI yang sedang menjalani praktikum. Faktor-faktor ini ialah sikap dan minat guru yang tidak menggalakkan, kekurangan kemudahan fizikal dan infrastruktur, kekurangan koleksi sumber media elektronik, kurang pendedahan dan kemahiran dalam bidang penggunaan media elektronik, kelemahan dalam pengurusan pusat sumber sekolah, beban tugas guru serta kurangnya bimbingan dan penyeliaan oleh pihak sekolah.

Tujuan Kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang menghalang penggunaan media elektronik di kalangan guru-guru pelatih MPTI yang sedang menjalani praktikum. Faktor-faktor ini akan dikategorikan kepada tujuh faktor utama iaitu faktor sikap dan minat guru yang tidak menggalakkan, kekurangan kemudahan fizikal dan infrastruktur, kekurangan koleksi sumber media, kurang pendedahan dan kemahiran, kelemahan pengurusan pusat sumber, beban tugas serta kurang bimbingan dan penyeliaan.

Persoalan Kajian

Kajian ini akan melihat dari persepsi atau sudut pandangan guru-guru pelatih MPTI yang sedang menjalani praktikum, tentang faktor-faktor yang dijangka menghalang penggunaan media elektronik dalam pengajaran. Untuk kajian ini, sebuah panel kepakaran yang terdiri daripada mereka yang mahir dan pakar di dalam bidang media elektronik telah ditubuhkan untuk membincangkan tentang faktor-faktor yang menghalang penggunaan media elektronik. Panel ini telah mengenalpasti tujuh faktor yang dianggap sebagai penghalang penggunaan media elektronik. Ketujuh-tujuh faktor yang berkenaan ialah sikap dan minat guru yang tidak menggalakkan, kekurangan kemudahan fizikal dan infrastruktur, kekurangan koleksi sumber, kurang pendedahan dan kemahiran, kurang bimbingan dan penyeliaan , kelemahan dalam pengurusan pusat sumber serta beban tugas.

Batasan Kajian

Sebenarnya terdapat banyak faktor yang merupakan penghalang kepada penggunaan media elektronik dalam pengajaran.. Walau bagaimanapun, kajian ini akan hanya menumpukan kepada tujuh faktor yang telah dikenalpasti oleh penyelidik dengan dibantu oleh sebuah panel kepakaran yang mahir dan pakar dalam bidang media elektronik. Panel kepakaran ini terdiri daripada pensyarah-pensyarah di institusi pengajian tinggi, institusi perguruan serta guru-guru pembimbing di sekolah-sekolah yang terlibat dalam kajian ini. Kajian ini juga dijalankan hanya ke atas guru-guru pelatih MPTI yang sedang menjalani praktikum, memandangkan mereka inilah kelak yang akan menjadi tenaga pengajar di sekolah-sekolah tertentu.

Akhir sekali istilah media elektronik di dalam kajian ini adalah merujuk kepada enam jenis media elektronik yang biasa digunakan iaitu perakam video, radio kaset, OHP, projektor slaid, projektor filem 16 mm dan komputer.

METODOLOGI KAJIAN

Reka Bentuk Kajian

Salah satu tujuan menyediakan reka bentuk penyelidikan adalah untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan penyelidikan (Kerlinger 1973). Reka bentuk kajian ini akan membimbing penyelidik ke arah mendapatkan maklumat dan data berhubung dengan tujuan kajian dijalankan. Kajian ini adalah berbentuk tinjauan bersampel (sample survey research) iaitu satu kaedah kajian bagi mendapatkan maklumat berasaskan sampel kajian yang representatif.

Populasi dan Sampel Kajian

Kajian ini dijalankan di negeri Johor Darul Takzim. Populasi kajian terdiri daripada semua guru pelatih MPTI yang sedang menjalani praktikum di sekolah-sekolah di negeri Johor. Sampel kajian diambil secara pensampelan rawak bersistematik dari senarai seluruh populasi.

Instrumen Kajian

Dalam kajian ini penyelidik telah menggunakan cara soal selidik untuk mendapatkan data kajian. Soal selidik berkenaan mengandungi dua bahagian iaitu Bahagian A tentang maklumat latar belakang diri guru dan Bahagian B tentang faktor-faktor yang menghalang penggunaan media pendidikan (Sila rujuk lampiran A).

Kajian Rintis

Kajian rintis telah dijalankan ke atas sepuluh orang guru pelatih yang sedang menjalani praktikum. Aras kebolehpercayaan yang digunakan dalam kajian ini ialah pada aras 0.05. Keputusan kajian menunjukkan bahawa kesemua item mempunyai nilai ‘r’ lebih dari 0.200, membolehkan penyelidik mengambil kesemua item untuk digunakan dalam soal selidik sebenar.

Tatacara Pengumpulan Data

Soalselidik diedarkan kepada guru pelatih yang sedang menjalani praktikum melalui Pensyarah Penyelia masing-masing. Soalselidik yang telah dijawab kemudiannya akan dikumpulkan semula oleh Penyarah berkenaan pada sesi perjumpaan berikutnya.

Tatacara Menganalisis Data

Data yang diperolehi akan dianalisis melalui komputer dengan menggunakan program pakej komputer "Statistical Package for Social Science Series X" atau (SPSSX). Ketujuh-tujuh faktor penghalang yang dikaji akan diinterpretasikan berdasarkan nilai min.

DAPATAN KAJIAN

Ketujuh-tujuh faktor kekangan penggunaan media elektronik yang dikaji diinterpretasikan berdasarkan nilai min seperti berikut:
 
Nilai min Interpretasi tahap
1.00 hingga 2.99 Bukan faktor kekangan
3.00 Berkecuali
3.01 hingga 5.00 Faktor kekangan
Sumber: Kamal Basha dan Kamariah Hj Abu Bakar, 1989. Peranan Guru Pembimbing terhadap Guru Pelatih semasa latihan mengajar. Kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan ke-6 Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Malaysia di Pulau Klangkawai, 17-20 Julai 1989, hlm. 9.

Min dan sisihan piawai bagi ketujuh-tujuh faktor kekangan penggunaan media elektronik disenaraikan seperti berikut:
 
Faktor Kekangan
Min Keseluruhan
Sisihan Piawai
Sikap dan minat guru pelatih yang tidak menggalakkan
3.52
0.7828
Kurang pendedahan dan kemahiran
3.40
1.0891
Beban tugas guru
3.38
0.8901
Kekurangan koleksi peralatan sumber media
3.33
0.7063
Kurang galakan dan bimbingan
3.33
0.8428
Kelemahan pengurusan Pusat Sumber Sekolah
3.24
0.8345
Kekurangan kemudahan fizikal dan infrastruktur
3.22
0.8263
Berdasarkan kepada interpretasi faktor kekangan berdasarkan nilai min, didapati bahawa ketujuh-tujuh faktor yang dikaji adalah merupakan faktor-faktor yang mengekang penggunaan media elektronik di kalangan guru-guru pelatih berkenaan.

PENUTUP

Dapatan Kajian menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh faktor yang dikaji adalah merupakan faktor yang mengekang penggunaan media elektronik di kalangan guru-guru pelatih MPTI yang sedang menjalani praktikum. Dapatan ini diharap akan dapat memberi maklumat kepada pihak-pihak tertentu khususnya Bahagian Pendidikan Guru dan MPTI sendiri. Seterusnya dapatan ini diharap akan dapat digunakan sebagai garis panduan kepada pihak terlibat untuk mengatur strategi bagi memperbaiki keadaan dan seterusnya menggalakkan guru-guru pelatih menggunakan media elektronik. Cadangan-cadangan berikut boleh diambilkira untuk dijadikan sebagai panduan bagi mengatasi masalah tersebut:

  1. Mengadakan kursus-kursus yang berkaitan dengan penggunaan media elektronik di kalangan guru-guru pelatih dan juga pensyarah.
  2. Menambahkan peralatan sedia ada di maktab dan sekolah untuk digunakan oleh guru-guru pelatih sama ada semasa ‘micro teaching’ atau semasa praktikum.
  3. Memberikan latihan yang secukupnya kepada guru-guru pelatih cara-cara mengendalikan peralatan media elektronik.
  4. Kandungan Sukatan Pelajaran yang berkaitan dengan Teknologi Pendidikan hendaklah menekankan kepada penggunaan media elektonik secara amali.
  5. Penggunaan salah satu media elektronik hendaklah dimasukkan dalam salah satu aspek yang akan dinilai semasa guru-guru pelatih menjalani praktikum.
  6. Menyediakan seorang Pegawai Pusat Sumber yang bekerja sepenuh masa, bukan menggunakan tenaga seorang guru secara sambilan.
  7. Mempertimbangkan pemberian elaun lebih masa kepada guru-guru yang mempunyai tugas-tugas sampingan yang banyak.
  8. Memberi peluang kepada guru-guru pelatih membuat lawatan ke sekolah-sekolah terpilih bagi melihat penggunaan media elektronik dalam pengajaran secara lebih dekat.
Bibliografi
  1. Abd. Rahim Mohd Saad & Myint Swee Khine. 1992. Pusat Sumber Pelajaran. Pendidik dan Pendidikan 4(1): 1-9.
  2. Bahagian Teknologi Pendidikan. 1987. Laporan Konvensyen Teknologi Pendidikan 1987, 18 – 20 Jun di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
  3. Blai, B. 1988. Technology in education. International Journal of Instructional Media 155: 195-200.
  4. Brown, J.W., Lewis, R.B. & Harcleroad, F.F. 1975. AV instruction technology, media and methods. Mexico: Mc Graw-Hill Book Company.
  5. Kerlinger, F.N. 1973. Foundations of behavioral research. New York: Hol, Rinehart & Winston Inc.
  6. Md Yusof Ayob. 1993. Penggunaan teknologi pendidikan oleh kakitangan sumber dalam pengajaran. Tesis Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
  7. Mohd Daud & Kamaruddin. 1990. Penggunaan bahan-bahan pengajaran-pembelajaran oleh guru-guru sekolah rendah: Isu dan penyelesaian. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Penilaian Pelaksanaan KBSR.
Lampiran A

Min dan sisihan piawai bagi pernyataan-pernyataan yang berhubung dengan setiap faktor ditunjukkan seperti di bawah:
 
No. item
Pernyataan
Min
Sisihan piawai
42 Saya ingin mencuba kaedah baru dalam pengajaran kerana saya tidak mahu terikat kepada corak pengajaran tradisi
4.52
0.71
35 Guru-guru patut diberi peluang bagi mengikuti kursus, latihan atau bengkel 
4.48
0.90
8 Saya berasa puashati dengan peralatan media yang terdapat di sekolah
4.21
0.83
1 Saya amat berminat terhadap penggunaan media elektronik dalam pengajaran
4.10
0.86
24 Saya perlu diberi persediaan yang secukupnya dalam merangka, memilih & menggunakan media
3.90
1.09
16 Penggunaan media elektronik dapat mengurangkan bebanan mengajar kepada guru-guru
3.86
1.08
31 Ada galakan dari pihak pentadbir sekolah untuk saya mendalami bidang media elektronik
3.69
0.92
2 Terdapat kemudahan asas yang mencukupi bagi menggunakan media elektronik
3.66
1.00
7 Pihak Pengetua amat menggalakkan penggunaan media elektronik
3.66
1.09
19 Sukar untuk mendapatkan bahan-bahan media di sekolah kerana bilangannya terhad
3.66
0.96
22 Bahan media sukar dibawa ke kelas untuk tujuan pengajaran
3.66
0.88
23 Saya terpaksa menempah bahan media terlebih dahulu
3.66
0.93
38 Tidak semua bahan media disimpan di dalam Pusat Sumber
3.62
0.96
4 Saya mahir mengendalikan bahan-bahan media elektronik
3.52
1.04
6 Penggunaan media elektronik mengurangkan jumlah tugas saya
3.41
1.06
28 Proses pengajaran sentiasa memerlukan peralatan media
3.38
1.16
25 Penyediaan bahan-bahan media memakan masa
3.34
1.09
27 Tidak ada pendedahan yang menyeluruh diberi
3.34
0.92
14 Ada penyeliaan & tunjuk ajar dari pihak tertentu tentang penggunaan media elektronik
3.31
1.12
15 Tiada ketegasan terhadap penglibatan guru dalam bidang media elektronik 
3.31
1.02
37 Ada peruntukan dari pihak sekolah untuk membeli peralatan media yang baru
3.31
1.11
26 Pusat Sumber Sekolah dapat membantu guru menyediakan bahan-bahan pengajaran
3.28
0.95
39 Jadual yang padat mengurangkan peluang saya menggunakan media elektronik
3.28
0.99
29 Saya terpaksa mengejar masa bagi menghabiskan sukatan mata pelajaran
3.24
1.02
10 Media elektronik di sekolah saya banyak yang rosak & tidak di baik pulih
3.17
1.04
17 Saya dimaklumkan tentang adanya koleksi bahan yang boleh digunakan
3.17
0.98
12 Senarai Media yang terdapat di pusat sumber disediakan
3.14
0.96
13 Banyak tugas sekolah menyebabkan saya tidak sempat memikirkan tentang media
3.14
0.96
30 Masa pembukaan pusat sumber sekolah terhad
3.14
0.89
3 Saya berpuashati dengan peralatan media di sekolah
3.10
0.93
33 Kadangkala saya terpaksa menyimpan bahan media untu kegunaan sendiri
3.10
1.04
34 Media yang ada di sekolah sudah tidak sesuai digunakan
3.10
1.08
5 Pengurusan Pusat Sumber Sekolah cekap
3.07
1.07
36 Kursus-kursus tidak memberi kesan
3.03
0.92
41 Kedudukan bilik taynag jauh dari kelas
3.00
1.02
9 Tidak ada ruang untuk pelajar menonton tv dengan selesa
2.97
1.04
20 Sukar untuk mendapat bahan media
2.90
0.98
18 Saya mempunyai latihan asas yang cukup
2.86
0.96
40 Pihak pentadbir menunjukkan contoh yang baik
2.69
0.96
11 Saya sering didedahkan dengan kemahiran baru menggunakan media
2.66
0.89
21 Sukar membawa bahan media ke kelas
2.55
0.88
32 Media hanya untuk pelajar lemah
2.38
0.86