PUNCA UTAMA JENAYAH RASUAH
Berbagai faktor dikaitkan mengapa seseorang itu melakukan
perbuatan jenayah rasuah. Walau bagaimanapun secara
ringkasnya, berdasarkan pengalaman BPR, perbuatan
jenayah rasuah berlaku disebabkan oleh:
Di mana seseorang ingin hidup mewah
ingin cepat kaya dan sentiasa mengejar kebendaan tanpa mengira halal haram.
Apa yang dipentingkannya hanyalah nilai-nilai material, dengan membuang jauh
tanggungjawabnya sebagai seorang penjawat awam yang diamanahkan dengan kuasa dan
pertanggungjawaban. Individu seperti ini tidak mahu mengambil kira langsung
bahawa dengan melakukan perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,
sebenarnya dia telah melakukan kezaliman, penganiayaan dan menafikan hak-hak
orang lain atau memberikan hak sesuatu itu bukan kepada orang yang sepatutnya
mendapat hak itu.
Sebagai contoh,oleh kerana seorang
pegawai di Bahagian Bekalan menerima suapan secara rasuah, kontraktor yang sepatutnya dan
layak membekalkan peralatan ketenteraan, atau membekalkan makanan telah tidak dipilih.
Perbuatan pegawai ini menyebabkan Kementerian Pertahanan atau Angkatan Tentera telah
dinafikan yang terbaik yang boleh dibekalkan oleh kontraktor berkenaan. Allah swt telah berfirman:
dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan
yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana
hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu
mengetahuinya." (Surah Al-Baqarah: ayat 188)
Di samping itu, sikap hidup yang suka
bermegah-megah hinggakan konsep seperti kata orang Perak, "biar pape asal bergaye" menjadi amalan.
Menyara hidup pula melebihi pendapatan hinggakan terpaksa berhutang di sana sini. Malah ada yang
sanggup berhutang dengan chettiar dan loan sharks. Akhirnya, akibat bebanan hutang jenayah rasuah
dilakukan.
Kurangnya penghayatan nilai-nilai murni:
Selain dari itu, kedangkalan ilmu-ilmu keagamaan, kurangnya penghayatan nilai-nilai
murni dan hilangnya nilai-nilai akhlak yang baik juga menjadi antara daktor yang
menyebabkan seseorang itu bergelumang dalam jenayah rasuah. Menurut seorang penulis,
"nilai" ialah "beliefs about right and wrong". Manakala "etika" pula ditakrifkan
sebagai "thinking systematically about morals and conduct and making judgments about
right and wrong" (Carol W. Lewis: The Ethics Challenge in Public Service).
Kerendahan moral ditambah dengan nafsu yang tidak lagi dapat membezakan antara nilai-nilai
yang baik dan buruk, hingga mengenepikan nilai-nilai suci dalam agama mendorong seseorang
itu melakukan pelbagai kemaksiatan dan jenayah. Justeru itu, individu seperti ini akan
memperhambakan dirinya kepada nafsu yang mengongkong kehidupannya.
Kurangnya penyeliaan oleh pegawai atasan.
Berdasarkan pengalaman BPR juga. kurangnya penyeliaan pegawai atasan akan menyebabkan
mana-mana individu yang didorong oleh unsur-unsur yang tidak sihat akan mengambil
kesempatan dari keadaan itu untuk melakukan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Kurangnya komitmen kepimpinan untuk mengenalpasti ruang-ruang yang boleh menyebabkan
berlakunya perbuatan rasuah, dan ditambah pula wujudnya pemimpin yang takut untuk menjadi
tidak popular, menyebabkan keadaan akan tidak terkawal. Terlalu banyak penurunan kuasa
tanpa pengawasan yang bijak oleh pegawai atasannya akan juga membuka banyak ruang
berlakunya perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Kelemahan Peraturan atau Sistem Pelaksanaan Kerja.
Selain dari itu, longgarnya tatacara dan peraturan kerja atau kelemahan dalam sistem
pelaksanaan kerja itu sendiri, boleh menyebabkan sesebuah Jabatan/Agensi itu sentiasa terdedah
dengan perlakuan-perlakuan seperti jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh
pegawai dan kakitangannya. Sekali lagi, komitmen kepimpinan khusunya, dan sikap serta perasaan
pertanggungjawaban semua kakitangan bagi mempastikan ketelusan tatacara kerja dan sistem
pelaksanaan kerja adalah sangat penting.