"Merealisasikan Da'wah Digital di Internet"
Berita Komputer, Disember 4 1996

Sinario Satu : IJTIMAK Ulama Se-Malaysia Ke-8 di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini mengupas pelbagai permasalahan semasa ummah termasuk cabaran umat Islam dalam memperjuangkan isu kepartian, sikap taksub terhadap parti, cabaran era teknologi maklumat serta kerjasama ulama dan umarak (pemerintah). Di antara perkara-perkara yang telah dibangkit dan dibincangkan oleh para Ulama’ ialah mengenai kesan dan implikasi teknologi maklumat seperti Internet terhadap masyarakat Islam, terutamanya generasi muda.

Sinario dua : Dalam syarahan khas kepada kumpulan cendekiawan Islam dan Barat di Oxford pada 16 April 1996 yang lalu, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ada menyatakan bahawa Barat kini sedang berusaha menghakiskan kedudukan agama Islam sebagaimana mereka berjaya menjatuhkan komunisme. Beliau berkata orang Barat bukan lagi penganut Kristian fanatik, namun pandangan negatif mereka ke atas Islam dan orang Islam masih kekal. "Ketika banyak bangsa lain yang berhubungan dengan Islam dapat menerima agama itu pada takat-takat tertentu, orang Eropah secara universal menolak Islam," kata Dr. Mahathir dalam syarahannya yang bertajuk "Islam : Agama Yang Disalahfahami."

Kedua-dua sinario di atas adalah perkara-perkara yang benar, sedang berlaku dan meninggalkan kesan. Kongkalikong Barat terhadap Islam dan jembelnya muda-mudi dengan budaya negatif (yang juga datang dari Barat) memerlukan satu tindakbalas segera dan para Ulama perlu membantu kerajaan dengan memainkan peranan yang aktif dan proaktif. Kedua-dua sinario di atas menjurus kepada satu titik pertemuan iaitu kesan MAKLUMAT ke atas minda, pemikiran dan persepsi, samada kepada muda-mudi dan masyarakat Barat. Serangan maklumat sedemikian perlu dibatasi dan diimbangi dengan pertahanan yang serupa iaitu MAKLUMAT. Maka, para Ulama perlu mempersiap-siagakan diri mereka dengan perkakasan dan teknologi maklumat seperti komputer dan Internet. Para Ulama dan penda’wah bebas perlu memikirkan bagaimana hendak meng "islah" kan (reformasi) kandungan maklumat di Internet dan seterusnya memulakan gerakan "Da’wah Digital".

Da’wah, dari segi bahasa bererti menyeru atau memanggil - sama ada kepada yang Haq atau yang Batil. Sebagai istilah syara’ ia membawa pengertian yang lebih khusus - seruan atau panggilan ke jalan Allah s.w.t. ("Dasar-dasar Ilmu Da’wah" - Dr. Abdul Karem Zaidan). Walaupun tugas berda’wah sebenarnya adalah kewajipan setiap Muslimin dan Muslimat ("Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar" - Ali Imran : 110), para Ulama adalah dipertanggungjawabkan untuk memimpin tugas da’wah.

Ulama yang melihat teknologi maklumat seperti Internet umpama "sebilah pisau yang membunuh" adalah menjadikan dirinya tidak "relevant" dan tersisih. Seperti yang telah disebut-sebut sebelum ini, Internet akan memberi lebih manfaat, amat memudahkan dan meringankan. Kita boleh katakan, ianya adalah anugerah Allah s.w.t. untuk manusia di abad 21, seperti firman-firman Nya :

"Allah mengehendaki kemudahan bagi kamu, tidak mengkehendaki kesukaran bagi kamu." - (Surah al-Baqarah ayat 185).

"Allah hendak memberi keringanan kepada kamu (kerana) manusia dicipta bersifat lemah." - (Surah an-Nisa ayat 28).

Satu ciri utama perhubungan di abad 21 ialah semua bentuk MAKLUMAT akan ujud dalam format digital. Dalam format asas ini, MAKLUMAT boleh dimanipulasi, olah semula, tukar bentuk, integrasi dan dialirkan dengan pantas ke seluruh dunia. Sebagai sebuah wasilah (perantaraan), Internet sebenarnya amat membantu dan penting dalam usaha-usaha Da’wah Islamiyah. Ini kerana yang membezakan antara Da’wah dan ajakan atau seruan biasa ialah kandungan MAKLUMAT nya. Kandungan MAKLUMAT asas Da’wah ialah "wahyu suci dari Allah s.w.t., yang diperturunkan melalui rangkaian para Nabi Nya sehinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w., yang diturunkan kepada para Sahabat dan Salafussaleh seterusnya kepada kita, dengan satu ajakan - Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah."

Dengan ujudnya Internet sebagai lebuhraya maklumat de facto abad 21, para Ulama dan penda’wah perlu memikirkan konsep dan perlaksanaan Da’wah dalam bentuk baru - Da’wah Digital. Da’wah Digital memerlukan satu perubahan paradigma, keterbukaan dan kreativiti para pelakunya (Ulama dan penda’wah) atas sebab-sebab berikut :

Jangkauan Seruan Da’wah

Di zaman Rasulullah dan para sahabat, jangkauan seruan da’wah adalah berbentuk dari mulut ke mulut, bersiri (dari seorang ke seorang), tempatan dan penyampaian MAKLUMAT adalah perlahan. Jangkauan seruan Da’wah di abad 21 adalah berbentuk digital, selari (dari seorang kepada ramai orang), global dan penyampaian MAKLUMAT adalah pantas.

Seruan Da’wah Multimedia

Da’wah di zaman Rasulullah adalah melalui kata-kata (suara) dan perlakuan. Da’wah masakini banyak dibantu dengan penulisan dan media TV. Da’wah di abad 21 akan menggunakan semua kemudahan yang sudah "established" disamping pengolahan semula seruan Da’wah dalam bentuk multimedia.

Perkongsian Maklumat dan Strategi Da’wah Global

Di zaman Rasulullah, perkongsian maklumat dan strategi da’wah adalah bersifat setempat dan tempatan. Di abad 21, Ulama dan penda’wah tidak boleh lari dari terus memikirkan implikasi global dalam konteks perkongsian maklumat dan strategi da’wah.

Di IJTIMAK Ulama Se-Malaysia Ke-8 baru-baru ini, para Ulama Malaysia sudah menyediakan tapak awalan Da’wah Digital dengan beberapa saranan bernas yang mengambil kira potensi teknologi maklumat seperti Internet dan satelit. Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Ismail Ibrahim berkata, perkembangan Internet dalam masyarakat moden adalah kenyataan yang perlu dihadapi bersama. Bagaimanapun, langkah positif harus diambil sebelum ia menjadi pemusnah utama moral dunia. Antara langkah lain yang wajar dilaksanakan:

  • Mengadakan kaedah pengawalan yang lebih berkesan membabitkan pertubuhan bukan kerajaan;
  • Penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap mereka yang membawa masuk budaya mungkar;
  • Mewujudkan badan Islam yang berupaya mengawasi bahan Internet supaya tidak bercanggah dengan nilai Islam;
  • Sebagai alternatif kepada budaya hedonistik Barat, umat Islam perlu mencipta dan menyebarluaskan gagasan serta konsep budaya yang membabitkan seni, hiburan, muzik dan permainan yang berlandaskan Islam; dan
  • Melahirkan sistem pendidikan Islam yang bersepadu yang dapat melahirkan peribadi Muslim yang dapat menghadapi cabaran hidup dunia sekarang termasuk cabaran era internet dan akan datang.

 Insyaallah, Malaysia boleh menjadi tonggak utama dalam merealisasikan Da’wah Digital !


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved