"Jaringan Menggantikan Institusi di Era Maklumat"
Berita Komputer, November 27 1996

 Kita jangan memandang kecil akan implikasi revolusi maklumat yang rancak berlaku sekarang. Di tanahair kita, subjek teknologi maklumat akan terus menjadi agenda utama dan menjadi tumpuan media. Ini dibuktikan dengan usaha akhbar-akhbar utama tempatan menerbitkan ruangan tambahan khusus untuk membicarakan berkenaan teknologi maklumat setiap minggu seperti :-

  • Berita Harian menerbitkan Berita Komputer,
  • Utusan Malaysia menerbitkan Megabait
  • The Star menerbitkan Star In Tech
  • New Strait Times menerbitkan Computimes (2 kali seminggu)

Di samping mengambil peluang akan kehangatan topik berkaitan teknologi maklumat untuk bersaing menambah bilangan pembaca (readership), peranan akhbar-akhbar di atas tetap penting untuk mendidik masyarakat agar peka, faham, bersedia dan tidak ketinggalan dengan teknologi yang akan menjadi sebahagian dari hidup mereka. 

Revolusi teknologi maklumat, sebagaimana revolusi yang berasaskan lain-lain teknologi baru, akan memberi kesan dalam dua tahap. Tahap pertama ialah ke atas kecekapan dan keberkesanan bertindak dan tahap kedua ialah kesan ke atas sistem sosial. Sejarah dan pengalaman yang lalu telah menunjukkan kita selalunya banyak memberi penekanan kepada tahap pertama apabila sesuatu teknologi baru diperkenalkan. Umpamanya, elektrik memudahkan hidup dengan adanya lampu, mesin basuh, kipas dan sebagainya. Kenderaan seperti kereta dan lori pula mempercepatkan pergerakan manusia dan barangan dari satu tempat ke tempat yang lain. Kita terkadang tidak memberi penekanan sewajarnya akan tahap kedua iaitu kesan ke atas sistem sosial yang lebih bersifat perlahan-lahan (gradual) tetapi mencangkupi semua lapisan masyarakat, suka atau tidak suka.

Sproull dan Kiesler (1991 : 15-16) telah menulis dan memberi pendapat seperti berikut, "Kebanyakan organisasi hari ini memasang jaringan elektronik adalah kerana memikirkan manfaat dari kesan tahap pertama - kecekapan dan keberkesanan bertindak. Penggunaan mel elektronik dan lain-lain applikasi komputer berasaskan jaringan adalah untuk mengurangkan tempoh masa (elapsed time) untuk setiap transaksi dan mempercepatkan proses mendapat jawapan. Jika kita melihat lebih dari itu seperti perobahan sikap dan cara berfikir pengguna teknologi baru, dinamika berkumpulan dan berorganisasi, cara manusia mengguna dan menyusun atur masanya, kebaikan, konflik dan dilema yang bermacam-macam, kita sebenarnya sudah memikirkan kesan tahap kedua - sistem sosial."

Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi sememangnya boleh memperbaiki kecekapan dan keberkesanan (tahap pertama) dalam banyak aktiviti. Tetapi, teknologi baru ini sebenarnya ada kesan perobahan (transforming) - tahap kedua - kerana :

  • ia menukarkan cara lama dalam berfikir dan beroperasi
  • ia menyediakan alternatif dan keupayaan untuk membuat sesuatu dengan cara yang berbeza
  • ia mencadangkan cara perlaksanaan yang lebih baik kesan dari cara buatan yang berbeza

Dalam kebanyakan negara di seluruh dunia, sistem-sistem sosial telah dipakejkan dalam bentuk institusi. Salah satu ciri utama institusi ialah hirarki yang lebih bersifat menegak dengan tunggak kekuasaan (autoriti, kekayaan dan ilmu pengetahuan-maklumat) tertumpu kepada ketua yang teratas. Segala arahan akan bermula dari atas dan menurun ke bawah. "Bureaucracy" adalah konsep kerja yang telah menjadi "darah daging" dan masih terpahat kukuh dalam pemikiran manusia yang berada di bawah sistem ini. Sistem ketenteraan dan negara kita umpamanya masih bersifat institusi. Persoalan utama ialah adakah kita akan terus "relevant" atau diterima pakai di Era Maklumat yang sistem sosial nya lebih bersifat jaringan (networks) ?

Sistem sosial berasaskan jaringan (networks) sebenarnya sedang mengambil tempat secara tabi’i (natural). Kesan tahap kedua ini kelihatannya meresap dan menular selari dan secepat dengan penerimaan teknologi maklumat berserta segala prasarananya.

Revolusi maklumat, dalam aspek teknologi dan bukan-teknologinya, sedang bergerak pantas mencabar konsep kerja dan organisasi berasaskan institusi. "Process Reengineering", "Change Management" dan lain-lain "buzzwords" dalam pengurusan, sebenarnya adalah refleksi kepada penerimaan teknologi maklumat sebagai salah satu unsur perobahan. Konsep "Net" atau jaringan sudah disemadikan dalam banyak perkataan konsep kerja dan konsep organisasi (seperti Internet, Intranet, Extranet, Netwar, NetPC, Network-Centric, Network PC/Computing). Konsep kerja jaringan sedang menghakis hirarki dari sesebuah entiti. Jaringan akan menyusun atur semula pusat kekuasaan (autoriti, kekayaan dan ilmu pengetahuan-maklumat) dari dipegang oleh "kuasa pusat" kepada nod-nod atau pusat-pusat kuasa kecil yang diberi mandat (empowered), berdikari dan tersebar tetapi terikat dalam jaringan. Jangkauan jaringan adalah bersifat melintang dan mendatar. Kekuatan jaringan adalah terletak kepada :

  • kekuatan terkumpul setiap nod-nod dalam jaringan
  • kepantasan setiap nod-nod bertindak balas kepada sesuatu maklumat yang dialirkan dalam selirat jaringan
  • kekukuhan ikatan nod-nod dalam jaringan dari segi persediaan prasarana, perkongsian maklumat dan nilai budaya manusia-manusia yang berada dalam nod-nod dan sistem jaringan tersebut

Sebenarnya, revolusi maklumat yang kita alami sekarang lebih memihak kepada pembentukan dan gerak kerja organisasi berasaskan jaringan. Mahu tidak mahu, organisasi yang masih mengamalkan konsep kerja hirarki terpaksa menerima konsep kerja jaringan jika mereka benar-benar mahu memanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat (seperti client-server computing). Konsep kerja hirarki adalah untuk era industri yang berasaskan modal dan buruh manakala konsep kerja jaringan adalah untuk era maklumat yang menjadikan maklumat sebagai sumber strategik.

Malaysia kini masih berada dalam dua era sekali gus. Kita sedang ligat melaksanakan dan mengembangkan industri ringan dan berat serta bersedia dan membangunkan prasarana, kepakaran dan pasaran teknologi maklumat. Sememangnya institusi itu masih penting dan perlu memainkan peranan yang sedia ada. Tetapi, semua institusi perlu CEPAT memikirkan untuk mengadaptasikan struktur dan proses dalaman organisasi dengan keperluan Era Maklumat. Institusi yang sensitif, peka dan proaktif akan mula berpindah dari bentuk hirarki tradisi kepada bentuk jaringan yang anjal, berkongsi-sama dan berkembang biak umpama sarang labah-labah (web). Kejayaan adalah bergantung kepada sejauh mana sinergi diujudkan antara prinsip hirarki dan jaringan.

Dalam konteks persaingan, kita boleh belajar dari operasi ketenteraan dahulu dan sekarang. Amerika (institusi) telah dikalahkan oleh Viet Cong yang beroperasi dalam kumpulan kecil (jaringan). Russia (institusi) mengalami kekalahan dalam menentang Chechya dan Afghanistan yang beroperasi dalam jaringan kumpulan penyerang yang kecil. Pengajarannya ialah :

Konsep kerja institusi boleh dikalahkan oleh konsep kerja jaringan. Jadi, kita memerlukan konsep jaringan untuk bersaing dengan entiti yang menggunakan konsep jaringan. Masa hadapan akan dikuasai oleh sesiapa sahaja yang pakar dalam memanfaatkan konsep jaringan.


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved