"Lebuhraya Maklumat - Menambah Nilai kepada MASA"
Berita Komputer, November 20, 1996

Sejak dari Azali lagi, Allah s.w.t. telah mengingatkan kita akan kepentingan MASA dengan firman Nya dalam Surah Al’Ashr, ayat 1 hingga 3 :

"Demi MASA. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran."

Kini, ramai di antara kita sudah dapat merasai akan kesan MASA dalam hidup kita. Yang ketara ialah MASA kini dirasakan berlalu begitu laju dan cepat. KELAJUAN dan KECEPATAN pula berkaitan dengan MASA melalui formula-formula mudah ini :

 KELAJUAN = JARAK / MASA

KECEPATAN = KELAJUAN/MASA = (JARAK/MASA)/MASA

Formula-formula mudah ini tersangat penting dalam bidang ilmu-ilmu Matematik, Fizik dan Kimia yang menjadi asas kepada sains dan teknologi. Sains dan teknologi pula adalah asas kepada negara maju (dalam konteks duniawi).

Penghargaan dan pengiktirafan akan pentingnya MASA adalah terbukti dengan sinario-sinario berikut yang biasa kita dengar dan pernah hadapi :

  • Walaupun memandu di lebuhraya kini lebih mahal (kerana tol), masih ramai yang terus menggunakannya kerana boleh memandu LAJU dan CEPAT sampai ke destinasi,
  • Perkhidmatan Pos LAJU memang ada pasarannya kerana barangan atau maklumat akan dihantar dengan CEPAT kepada penerimanya,
  • Telefon bimbit (handphone) sudah menjadi perkakasan keperluan kerana pengguna boleh bertukar maklumat (komunikasi) dengan CEPAT, di mana sahaja,
  • Perjalanan dalam negeri dengan kapalterbang bagi rakyat Malaysia sudah menjadi pilihan kerana ianya lebih LAJU, CEPAT dan menjimat MASA,
  • Bercambahnya pengkalan maklumat (databases) dengan perisian pencarian yang mudah membolehkan maklumat dicari dengan CEPAT,
  • Penggunaan laluan elektronik (LAN, WAN, Internet/Intranet) semakin penting dan di terima pakai kerana maklumat boleh diterima/hantar dengan LAJU dan CEPAT.

Apa yang amat jelas dari sinario-sinario di atas ialah - MASA dipendekkan dan dijimatkan. Penjimatan MASA kini telah diakui oleh negara-negara maju (advanced nations) sebagai lebih berharga, iaitu lebih dari jumlah perbelanjaan untuk menjimatkannya. MASA yang berlalu (dibazirkan) adalah tidak dapat ditukar ganti dengan apa sahaja.

Alvin Toffler telah menekankan akan teori Kesan Kecepatan (Acceleration Effect) yang dikaitkan secara langsung dengan MASA dan LAJU dalam kedua-dua bukunya (Future Shock - 1970, Powershift - 1990). Dalam konteks ekonomi dan perniagaan, teori ini menyatakan : "Apabila kadar aktiviti ekonomi atau perniagaan dipercepatkan, setiap unit MASA yang dijimatkan akan menghasilkan keuntungan lebih dari wang yang dibelanjakan untuk menghasilkan penjimatan MASA tersebut." 

Contoh-contoh yang beliau berikan pada masa itu yang menunjukkan MASA telah dijadikan faktor kritikal, kini menjadi piawai dan neraca pencapaian sesebuah syarikat atau negara. Di antaranya :

  • Masa tindakbalas (response time) - kecepatan sesebuah entiti membuat tindakan balas kepada perubahan sekeliling atau dalaman yang berlaku,
  • Konsep JIT (Just-in Time) seperti JIT Delivery dan JIT Information - Maklumat dan Produk/Servis diambil atau dikeluarkan tepat pada masanya sesuai dengan keperluan, pasaran dan jadual,
  • Time-based competition (pertandingan berasaskan masa) - Masa dijadikan faktor strategik dalam penyediaan dan pengeluaran (roll out) produk dan perkhidmatan. Ini banyak berlaku dalam industri perisian dan komputer. Tercepat atau terlambat dalam pengeluaran akan memberi kesan kepada jualan dan keuntungan.
  • Operasi Masa-Sebenar (real time operations) - Pelaksanaan sesuatu operasi yang perjalanan dan hasilnya dikawal secara berterusan ketika sedang berlaku

 Dengan adanya lebuhraya maklumat di abad 21, dengan kemampuan mengalirkan isipadu maklumat multimedia yang besar dan laju (boleh menjangkau kelajuan Gigabit/sesaat), kesannya kepada KECEPATAN atau Acceleration Effect akan begitu drastik. KECEPATAN atau kadar perubahan laju dalam satu tempoh masa, akan dipercepatkan lagi apabila maklumat yang dialirkan itu membolehkan penerimanya membuat tindakan yang tepat, berkesan dan berhasil. 

Dengan kata lain, lebuhraya maklumat dengan keupayaan mengalirkan maklumat dan kandungan maklumat itu sendiri akan menambah nilai MASA dan menjadikan MASA satu faktor paling penting dan kritikal. Penilaian kepada tahap kecemerlangan sesuatu entiti (individu, keluarga, perkumpulan, syarikat dan negara) akan dikategorikan dalam julat "cepat" dan "lambat". Negara yang "cepat" ialah negara yang sudah bersedia dan proaktif dalam penyediaan prasarana lebuhraya maklumat, kandungan maklumat dan pengguna maklumat. Maklumat (ilmu pengetahuan, fakta, data, pendapat, ide) yang mudah dicapai dan diproses akan membolehkan pengguna maklumat membuat tindakan selanjutnya dengan kesan keseluruhannya ialah, perobahan. 

Bagaimanakah persediaan Malaysia kini dalam usaha mencapai tahap negara "cepat" - cepat dalam membuat keputusan (decision making), bertindak, membangun dan merobah ? Untuk mencapai tahap itu, Malaysia perlu CEPAT dalam mempersiapkan diri dengan :

  • Prasarana lebuhraya maklumat,
  • Kandungan maklumat dalam lebuhraya maklumat
  • Pengguna lebuhraya maklumat dan kandungannya

Setakat ini, kerajaan sudah komited dengan pembangunan prasarana Koridor Raya Multimedia (MSC) yang bakal beroperasi sepenuhnya sekitar tahun 1998. Satu tahap iltizam yang sama amat diperlukan untuk memastikan kandungan maklumat tempatan dan penggunanya dipersiapkan terlebih dahulu. Kedua-dua faktor persediaan perlu dilakukan CEPAT jika kita tidak mahu melihat MSC menjadi "Gajah Putih" atau vacuum yang ada akan diisikan dengan maklumat dari luar


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved