"Undang-undang dan Dunia Siber Internet"
Berita Komputer, November 13 1996

Dengan "penduduk"nya yang bakal melebihi 60 juta sedikit masa lagi dan kelak mencecah ratusan juta pada tahun 2000, Internet sudah membentuk dunianya yang tersendiri, kini lebih dikenali dengan Dunia Siber (Cyber World). Manusia dari pelbagai dan berlainan agama, negara, sistem perundangan, bangsa, warna kulit, bahasa, budaya serta gaya hidup kini berhubung dan bertukar maklumat melalui Internet. Apa yang pernah dan sedang dilalui di Dunia Sebenar atau In Real Life (IRL) kini cuba dihidupkan di Dunia Siber. Internet yang dahulunya cuma dihuni oleh kelompok manusia yang sama iaitu golongan intelek (akademik, saintis dan pelajar) kini dibanjiri oleh berjuta manusia dari semua lapisan. Manusia sedang berhijrah secara elektronik ke Dunia Siber, membawa tradisi dan perundangan masing-masing dari Dunia Sebenar dan sekaligus menimbulkan ketegangan dan konfrontasi.

Dengan keupayaan Internet untuk menyalurkan maklumat dalam bentuk teks, grafik, bunyi, animasi dan video, manusia mengambil kesempatan ini untuk meluahkan isi hati, pendapat, ide dan kritikan dengan memanipulasikan bentuk-bentuk maklumat tersebut. Di samping kegunaannya yang positif, Internet yang bebas boleh juga menjadi tempat tumbuhnya unsur-unsur jahat yang menimbulkan dendam, kebencian, perpecahan dan kerosakan yang mempengaruhi sesiapa sahaja tanpa mengenal batas budaya dan umur pencapainya. Mahu tidak mahu, satu bentuk perundangan tersendiri, atau Undang-undang Siber (Cyber Laws) diperlukan untuk menjadikan Internet selamat dan harmoni untuk "didiami". 

Parlimen US baru-baru ini telah meluluskan Akta Komunikasi Bersih (Communications Decency Act - CDA) yang dibentangkan oleh Senator James Exon. Akta tersebut memberi kekuasaan kepada Kerajaan Pusat US untuk mengawal "kurang peradaban" (indecency) dalam komunikasi Internet. Rakyat Amerika yang meyakini akta ini telah mencabul salah satu asas penting dalam konstitusi US, dikenali The First Amendment yang memelihara kebebasan bercakap (freedom of expression/speech) rakyat terus melenting. Tentu ramai pelunsur Web masih ingat suatu ketika dahulu di mana banyak halaman Web telah dihitamkan dan ditambah dengan grafik reben biru. Kempen reben biru ini adalah untuk menentang CDA. Singapura dan China juga telah mengambil langkah-langkah tersendiri untuk mengawal agar rakyatnya tidak dicemari dengan unsur-unsur dan budaya tidak baik yang boleh dibawa masuk melalui Internet. 

Salah satu sebab yang paling utama mengapa US dan beberapa negara mengadakan undang-undang sedemikian ialah terlalu ketaranya sebaran maklumat pornografi di Dunia Siber. Kajian yang dibuat oleh Pusat Carnegie Mellon ke atas 68 buah BBS (Bulletin Board Systems) komersil untuk orang dewasa dari 32 buah negeri di US menghasilkan bukti yang mengejutkan. Sebanyak 450,620 imej, animasi dan teks berbentuk pornografi telah di capai dan simpan (downloaded) oleh pengguna sebanyak 6,432,297 kali. 

Jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, ada beberapa isu utama yang perlu difikirkan oleh penguatkuasa undang-undang dalam membentuk undang-undang Siber. Pada asasnya, memang perlu ada satu bentuk pengawalan ke atas Dunia Siber selagi ianya di "huni" makhluk yang bernama manusia. Manusia sebagai makhluk ciptaan Allah memerlukan petunjuk, sebagaimana yang tersebut dalam Al-Quran sejak Azali lagi : 

"Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, yaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkann itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus." (Al-Baqarah : 213) 

Dengan adanya undang-undang Siber yang bertujuan untuk mengawal anasir-anasir negatif, tidak bermaksud ianya juga telah menafikan hak kebebasan memberi pendapat dan bercakap, sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. 

Dengan adanya undang-undang Siber, ada lima isu utama yang menjadi cabaran sebagaimana yang dibentangkan oleh Edwin Diamond dan Stephen Bates (dalam artikel "Law and Order Comes to Cyberspace), seperti berikut : 

Sejauh mana undang-undang Siber dapat memelihara Dunia Siber dari maklumat-maklumat negatif ? 

Internet telah dicipta sebegitu rupa untuk membolehkan sesiapa sahaja menghantar apa sahaja maklumat daripada mana sahaja tanpa mengira masa. Jadi, sejauh mana undang-undang Siber boleh dilaksanakan dan dihormati oleh penggunanya ? A.J. Liebling, seorang penerbit, pernah berkata "Kebebasan menerbit hanya sah kepada mereka yang memilikinya (unit penerbitan). Di Internet, samada untuk kebaikan atau keburukan, semua orang "memiliki" unit penerbitannya sendiri." 

Undang-undang dunia berbeza mengikut daerah, negeri dan negara. Undang-undang siapa yang akan digunakan di Dunia Siber ? 

Majalah Penthouse adalah diharamkan kemasukannya ke Malaysia kerana kandungan gambar-gambar bogel dan artikel-artikel berahi. Penthouse telah meujudkan edisi World Wide Web dengan arahan di muka pertama seperti berikut (terjemahan) - "Jika anda mencapai Penthouse edisi Internet dari negara-negara di mana maklumat orang dewasa (adult material) adalah dilarang dalam perundangan tempatan, jangan pergi lebih dari itu…" Adakah kenyataan singkat sebegini sudah cukup untuk memelihara mereka dari di dakwa oleh undang-undang Malaysia kerana "menyebar" bahan-bahan lucah ? 

Apabila ide, pendapat dan luahan perasaan yang berbentuk mengancam dan subversif disebarkan oleh jaringan komputer seperti Internet, siapa yang bertanggung jawab ? 

Sebuah syarikat broker di New York, Stratton Oakmont, telah dihujani dengan e-mel oleh beberapa individu melalui Prodigy online, membuat beberapa tuduhan yang memalukan. Stratton Oakmont kemudian menyaman Prodigy sebanyak US$200 juta sebagai saman malu. Peguam Prodigy menentang bahawa Prodigy menyediakan laluan pasif, sebagaimana syarikat yang menyediakan perkhidmatan talian talipon. Stratton Oakmon pula mengatakan Prodigy terlibat dengan perniagaan penerbitan elektronik dan bertanggung jawab ke atas semua maklumat yang diterbitkan secara online. Ramai penjaring Malaysia yang mendapat e-mel berkenaan dengan surat dari Setiausaha Bahagian UMNO Kapar dan juga halaman Web yang mempersendakan orang Melayu di Singapura. Persoalannya, siapa yang bertanggung jawab ? 

Bagaimanakan memelihara kanak-kanak dari maklumat-maklumat berahi ? 

Sesiapa sahaja boleh menghantar e-mel mengandungi cerita perlakuan seks kepada forum diskusi kanak-kanak, sebagaimana yang berlaku di Kanada baru-baru ini. Adalah mustahil buat masa ini untuk mengenal pasti siapa yang menghantar dan siapa yang menerima maklumat sedemikian di Internet. Seorang pengurus sebuah kedai buku untuk dewasa akan dengan mudah menghalang kanak-kanak masuk ke kedainya, tetapi bukan mudah untuk seorang pengurus Web maklumat dewasa di Internet.

Bagaimana seorang artis yang kreatif memelihara karya elektroniknya dari "pencuri digital" ? 

Beberapa penulis telah menjumpai hasil penulisannya yang ada hak cipta terpelihara telah dipromosikan tanpa mendapat kebenaran dan juga dibayar sagu hati oleh syarikat-syarikat penjual maklumat. Di Internet, sesebuah buku elektronik tidak menghadapi masalah untuk di "cetak" semula. Jadi, bagaimana penulis mendapat hasil tambahan melalui pencetakan semula penulisannya ? 

Sesungguhnya Dunia Siber yang sedang terbentuk mencabar status quo dan establishment perundangan yang ada sekarang. Kerajaan dan penetap polisi perlu melakukan anjakan paradigma (paradigm shift) dalam membentuk perundangan untuk Dunia Siber di ‘alaf baru ini. Pertembungan yang bakal berlaku ialah dalam sudut ide dan intelek. Malaysia, dengan iltizam dan persediaan rapi seperti meujudkan Multimedia Super Corridor (MSC) adalah terkehadapan dalam mengenengahkan ide dan pendapat dalam menetapkan undang-undang Siber yang sepatutnya universal da mudah diterima pakai oleh penduduk Internet. Ciri-ciri yang perlu ada pada undang-undang Siber boleh diambil dari ciri-ciri yang ada pada perisian Browser - senang difahami, cross-platform dan user-friendly.


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved