"Menjadikan Internet Selamat Di Rumah"
Berita Komputer, October 30 1996

Kehadiran era globalisasi maklumat, sebagaimana yang kita lihat dan alami sekarang, adalah pasti berlaku dan tidak boleh disekat-sekat lagi. Ini dibuktikan dengan pembangunan prasarana sistem perhubungan pantas seperti lebuhraya maklumat (Internet) dan satelit serta pengkayaan dan perkembangan kandungan maklumat di dalamnya. Sebagaimana aliran elektrik yang telah mencetuskan zaman dan masyarakat industri yang menjadikan elektrik sebagai asas tenaga untuk menggerakkan jentera-jentera pembangunan, aliran maklumat akan mencetuskan zaman dan masyarakat berpengetahuan yang menjadikan maklumat sebagai asas kekuatan untuk pembangunan di abad 21. Oleh itu, pemahaman kita akan sejarah Internet, ancamannya kepada generasi muda dan budaya bangsa dan penyakit-penyakit "high-tech" seperti ketagih Internet yang bakal timbul, kita akan lebih bersedia dan proaktif untuk memastikan Internet adalah bermanfaat dan selamat diterima pakai hingga ke dalam rumah.

Pelbagai pihak mesti memainkan peranan untuk menjadikan Internet satu "dunia" selamat dan harmoni. Melalui penggubalan undang-undang dan akta-akta siber, kerajaan dan entiti swasta adalah bertanggung jawab untuk memastikan nilai dan budaya tempatan terpelihara, Internet diperkayakan dengan maklumat tempatan dan jenayah komputer dapat dikawal. Melalui sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian, para pendidik adalah bertanggung jawab untuk mendidik pelajar dalam penggunaan Internet yang bermanfaat dan menjadikan Internet sebagai perpustakaan dan sumber maklumat untuk tujuan penyelidikan dan penganalisaan. Ibubapa juga memainkan peranan penting kerana Internet akan ujud di dalam rumah malah di bilik-bilik. Mahu tidak mahu, ibubapa kena ambil tahu dan "celik Internet" untuk memastikan Internet adalah agen pembangun dan bukannya agen perosak anak-anak mereka di rumah.

Di Amerika, satu badan yang dipanggil
National Center for Missing and Exploited Children adalah begitu aktif dalam memastikan Internet adalah tempat yang selamat untuk anak-anak. Lawrence J. Magid adalah di antara ahlinya yang banyak memberi panduan dan saranan samada kepada ibubapa dan kerajaan. Beliau telah mendedahkan beberapa risiko utama yang bakal di hadapi oleh anak-anak yang mencapai Internet. Remaja adalah kumpulan sasaran utama kerana mereka ini selalunya mengguna dan mencapai Internet tanpa pemerhatian rapi ibubapa (mungkin sudah boleh "diharap"?). Remaja akan berkemungkinan dan lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam forum diskusi yang menyentuh topik percintaan, perhubungan dan ke tahap aktiviti seks. Di antara risiko-risiko nya ialah :

  • Pendedahan kepada maklumat yang tidak sesuai seperti maklumat-maklumat berbentuk ideologi sesat, seksual dan keganasan
  • Penderaan Fizikal - Ini boleh berlaku jika anak-anak menyediakan maklumat perhubungan dan menyusun atur pertemuan melalui Internet yang boleh membahayakan dirinya dan ahli keluarga yang lain. Ada beberapa kes di negara Barat di mana kanak-kanak dirogol setelah ianya berjaya dipujuk melalui Internet untuk mengadakan pertemuan.
  • Gangguan bahasa - Ini selalu berlaku di mana anak-anak menerima e-mel atau terlibat dengan forum diskusi yang mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, lucah dan mengancam.

Kini, sudah ada teknologi yang boleh membantu ibubapa untuk menjadikan Internet selamat diguna di rumah. Ada beberapa perisian-perisian yang dicipta khas untuk mengawal capaian maklumat di Internet seperti yang disenaraikan di bawah :

Kesemua perisian-perisian ini menyediakan banyak fungsi-fungsi yang hampir sama dalam usaha mengawal kemasukan maklumat-maklumat yang tidak sesuai. Cyber Patrol umpamanya, adalah perisian yang mengurus capaian Internet dan membantu ibubapa dan guru mengawal capaian Internet anak-anak dan murid-murid seperti :

  • mengawal capaian kepada masa-masa tertentu sahaja dalam sehari
  • menghadkan masa penuh yang digunakan di Internet dalam sehari atau seminggu
  • menghalang capaian ke tempat-tempat tertentu berdasarkan kandungannya
  • menghalang atau membenarkan capaian ke tempat-tempat tertentu bergantung kepada kehendak anda dengan membuat perubahan tertentu kepada fail maklumat yang disediakan
  • mengawal capaian ke tempat-tempat yang popular dengan permainan di Internet atau di mana maklumat kewangan peribadi disimpan di komputer sendiri
  • membenarkan capaian ke tempat-tempat tertentu di Internet atau fail-fail di komputer peribadi melalui katalaluan utama (Deputy password)

Cara yang lebih berkesan untuk jangkamasa panjang ialah ibubapa dan anak-anak bekerjasama untuk menjadikan penggunaan Internet sebagai aktiviti keluarga di rumah yang bermanfaat, menyeronokkan dan mendidik. Tidak ada tempat lain, melainkan institusi keluarga dan rumah yang harmoni, yang dapat menghasilkan generasi baru yang stabil akhlak dan mindanya.

Lawrence J. Magid telah menyenaraikan beberapa garis panduan untuk ibubapa yang bertanggung jawab akan aktiviti-aktiviti anak-anak mereka di Internet boleh mengurangkan risiko-risiko dan menjadikan Internet sesuatu yang selamat di dalam rumah. Ketika mencapai Internet, jadikan peraturan keluarga dan rumah untuk :

  1. tidak mengeluarkan maklumat penting keluarga - alamat rumah, pejabat dan sekolah, atau nombor talipon - melalui Internet seperti halaman Web umum, IRC dan "bulletin boards".
  2. Mengetahui dan memahami perkhidmatan Internet yang anak anda guna. Jika anda tidak tahu cara menggunanya, pastikan anak anda menunjukkan caranya.
  3. Jangan biarkan anak anda menyusun atur pertemuan secara fizikal dengan pengguna komputer yang dihubunginya tanpa restu anda.
  4. Jangan membalas e-mel atau pesanan yang bersifat menggoda, lucah, mengancam dan menimbulkan ketidakselesaan.
  5. Segera hubungi penyedia capaian seperti Jaring jika anda "terserempak" maklumat-maklumat yang menyalahi undang-undang negara seperti gambar-gambar lucah
  6. Ingatlah - orang yang ditemui secara "on-line" tidak semestinya seperti apa yang digambarkan
  7. Ingatlah - apa yang dibaca secara "on-line" tidak semestinya benar belaka
  8. Tentukan peraturan penggunaan Internet untuk anak-anak
  9. Jadikan penggunaan Internet sebagai aktiviti keluarga, bukannya aktiviti sendirian

Ikrar Anak-anak Dalam Mengguna dan Mencapai Internet

  1. Saya tidak akan memberi maklumat peribadi seperti alamat, nombor talipon, alamat kerja/nombor talipon ibubapa, atau alamat dan lokasi sekolah saya tanpa kebenaran ibubapa saya
  2. Saya akan terus memberitahu ibubapa saya jika saya terjumpa atau dihantar dengan maklumat yang tidak menyelesakan
  3. Saya akan menolak untuk berjumpa dengan seseorang yang "ditemui" di Internet sebelum merujuk kepada ibubapa saya. Jika ibubapa saya bersetuju akan perjumpaan sedemikian, saya akan pastikan ianya berlaku di tempat awam dan ibu atau bapa saya akan menemani saya
  4. Saya tidak akan menghantar gambar saya dalam bentuk digital kepada seseorang melalui Internet tanpa merujuk terlebih dahulu kepada ibubapa saya
  5. Saya tidak akan membalas apa jua pesanan yang bertujuan membuat saya tidak selesa. Jika saya merasa demikian, saya akan memberitahu ibubapa saya supaya mereka boleh menghubungi penyedia perkhidmatan Internet
  6. Saya akan berbincang dengan ibubapa saya supaya kami sama-sama membentuk peraturan ketika mencapai Internet. Kami akan menyetujui masa yang sesuai untuk mencapai Internet, berapa lama dan tempat-tempat yang sesuai untuk dilawati. Saya tidak akan mencapai halaman-halaman yang tidak dibenarkan atau melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan

 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved