"Adakah Anda Ketagih Internet ?"
Berita Komputer, October 23 1996

Dalam usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020, kita sekarang ini masih dilanda dengan penyakit-penyakit sosial seperti ketagihan dadah. Berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk membanteras gejala ini yang majoriti dari pengidapnya adalah anak-anak muda Melayu.

Belum pun habis kita dapat menangani gejala ketagihan dadah ini, arus teknologi maklumat yang merempuh masyarakat dalam semua bidang kehidupan juga memperkenalkan "penyakit-penyakit" baru disamping kebaikan-kebaikannya yang banyak. Di samping kandungannya yang boleh mempengaruhi minda dan intelek, penggunaan Internet yang tidak terkawal boleh membawa kepada penyakit Ketagihan Internet atau "Internet Addiction Disorder (IAD)". Kepada pengguna Internet, cuba teliti diri anda kelak, adakah anda "Penagih Internet" ?

Penyakit Ketagihan Internet memberi cabaran baru kepada pakar jiwa, para pendidik, ibu bapa, majikan dan kerajaan. Ianya seolah-seolah memberi amaran bahawasanya era baru yang bakal kita semua tempuhi akan dipenuhi dengan penagih-penagih "high-tech" jika tindakan proaktif tidak diambil dari sekarang. Salah satu sebab mengapa syarikat-syarikat besar masih tidak membenarkan kakitangannya membuat capaian penuh ke Internet (setakat ini hanya e-mel untuk tujuan komunikasi pantas) ialah kerana bimbangkan jatuhnya tahap produktiviti kerana "tersangkut" terlalu lama di Internet. Berdasarkan pengalaman penulis dan pengguna lain, aktiviti-aktiviti di Internet seperti melunsur web, perbincangan IRC (Internet Relay Chat) atau Webchat dan permainan berkumpulan seperti MUD (Multi User Dungeon) sememangnya sangat mengasyikkan dan boleh menghabiskan masa berjam-jam tanpa disedari.

Ketagihan selalunya dikaitkan dengan dadah (drugs) dan didefinasikan oleh Bratter dan Forest (1985) seperti berikut :
"Satu corak tingkah laku yang tersendiri akibat penggunaan dadah yang melampau dan tidak terkawal. Tingkah laku seseorang penagih adalah, seperti sentiasa mahu menggunakan dadah dan sedaya upaya berusaha untuk mendapatkannya (walaupun dengan cara yang salah), dan ada kemungkinan besar perlakuan sedemikian untuk berulang lagi."

Ketagihan bukan sahaja diukur dari sudut kuantiti sahaja, malah lebih dari itu, dilihat dari segi kesan Ketagihan Internet kepada pengidapnya dalam konteks sosial. M. Freeman (The Addiction Process: Effective Social Work Approaches, Longman New York, 1992, (p212-224)), telah membuat kajian terperinci dengan membuat perbandingan antara tingkah laku penggunaan melampau (compulsive behaviour) dengan ketagihan (addictive behaviour) ke atas sesuatu benda. Sememangnya ada banyak persamaan.

Negara-negara Barat sudah mengambil tindakan proaktif untuk membanteras gejala baru ini dari berkembang biak. Salah satu cara ialah menubuhkan Pusat Maklumat Ketagihan Internet (The Center for On-line Addiction di URL -
http://www.pitt.edu/~ksy/). Ianya telah diwujudkan pada bulan Januari 1995 dengan tujuan utama untuk memberi kesedaran akan fenomena Ketagihan Internet. Dengan diketuai oleh Dr. Kimberley S. Young dari Jabatan Psikologi, Universiti Pittsburgh, Bradford, Pusat ini telah menjalankan kajian empirikal yang ekstensif mengenai Ketagihan Internet. Pengguna Internet tempatan boleh melawat halaman web Pusat ini dan memberi kerjasama dengan mengisi borang soal selidik yang disediakan. Jawabannya akan diwartakan di halaman web Pusat itu dalam beberapa bulan lagi.

Ketagihan Internet kini sudah mendapat perhatian serius di kalangan pakar kesihatan jiwa sebagai suatu bentuk penyakit baru (disorder) yang memberi impak negatif kepada kehidupan sosial, pekerjaan dan keluarga pengidapnya. Pusat ini juga telah mengenal pasti bentuk-bentuk masalah yang ditimbulkan oleh "Penagih Internet" kepada pakar jiwa, pendidik dan pengurus sumber tenaga manusia sebagaimana yang ditimbulkan oleh penagih dadah, arak dan kaki judi.

Satu kajian juga telah menunjukkan kadar peningkatan penyakit Ketagihan Internet atau Internet Addiction Disorder (IAD) adalah eksponensial. Ianya selari dengan perkembangan Internet sendiri yang juga berbentuk eksponensial. Satu lagi cara untuk membantu pengidap IAD ialah dengan menubuhkan Kumpulan Sokongan Ketagihan Internet (Internet Addiction Support Group (IASG)). (URL :
http://www2.nano.no/~tomho/iad.html) untuk membantu para pengidap-pengidapnya yang mahukan khidmat-nasihat.

Daripada banyak kaji selidik yang telah dibuat, pakar jiwa telah mengenal pasti tanda-tanda utama penyakit Ketagihan Internet. Seperti di halaman web ini (URL : http://
home.hkstar.com/ ~joewoo/symptom.html), 10 tanda-tanda Ketagihan Internet telah dikenal pasti dan disenaraikan seperti berikut :

  1. Menggunakan servis "on-line" seperti Internet SETIAP HARI tanpa tertinggal sedikit pun,
  2. Tidak dapat menjaga masa ketika berada "on-line" di Internet
  3. Aktiviti luaran (seperti berziarah, pergi masjid, bersukan, makan malam di luar) semakin berkurangan,
  4. Semakin kurang menjaga waktu makan samada di rumah atau di tempat kerja, sebaliknya hanya makan di hadapan monitor komputer,
  5. Menafikan menggunakan terlalu banyak masa di Internet,
  6. Orang lain (suami/isteri, kawan, ahli keluarga) merungut anda terlalu lama berada di hadapan monitor,
  7. Memeriksa mel elektronik beberapa kali dalam satu hari,
  8. Anda fikirkan anda telah menjumpai satu halaman web yang terbaik dan beriya-iya mahu memberikan URL (alamat web) nya kepada orang lain,
  9. Masih lagi mahu membuat akses ke Internet walaupun kerja-kerja pejabat/rumah terlalu banyak
  10. Membuat akses ke Internet secara "sembunyi" apabila suami/isteri atau ahli keluarga tiada di rumah, dengan rasa kelegaan kerana dapat melakukannya,

Kepada pengguna-pengguna Internet tempatan, cuba kaji selidik diri-sendiri samada tanda-tanda di atas terdapat pada diri anda. Ataupun ibu bapa yang prihatin boleh melihat samada tanda-tanda di atas sudah "melekat" kepada anak-anak yang ada capaian Internet. Soalannya - "Adakah anda atau anak anda sudah Ketagihan Internet ?"

Sebagaimana analogi yang dibuat oleh salah seorang pemimpin kita, Internet itu ibarat sebilah pisau. Kegunaan yang baik dan bermanfaat ialah untuk memotong sayur, buah-buahan dan seumpamanya. Kegunaannya yang memudharatkan ialah mencederakan atau membunuh seseorang. Yang menentukan bukanlah pisau tersebut, tetapi PENGGUNA PISAU itu sendiri.


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved