"Ancaman Besar Internet kepada Generasi Muda
dan Budaya Bangsa"

Berita Komputer, October 16 1996

"Untuk memajukan sesuatu bangsa dan negara tidaklah mudah. Ia memerlukan masa dan usaha yang bersungguh-sungguh. Tetapi untuk menghancurkan sesuatu bangsa dan negara amat mudah sekali…….. Jangan gadai masa depan kita. Jangan gadai budaya dan tamadun baru yang akan kita bentuk, hanya kerana sedikit keuntungan di hari ini,"

(Petikan dari sebahagian Ucapan Dasar Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO, 10/10/96)

Dengan memahami sejarah Internet, kita dapat menerima hakikat bahawa sejumlah besar kandungan maklumat Internet sehingga kini masih dalam penguasaan negara Barat seperti Amerika Syarikat. Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, kita masih lagi menjadi pengimpot maklumat dari luar, dan bukannya pengekspot dan penyedia maklumat.

Dalam kita asyik membicarakan akan peluang "membuat duit" dan kehebatan Internet sebagai sistem komunikasi global yang pantas dan murah serta kandungan maklumatnya yang terlalu banyak dari serata dunia, kita seolah-olah terlupa hendak mendedahkan ancaman Internet kepada masyarakat dan seterusnya negara bangsa. Secara teorinya, hampir 60 juta pengguna Internet kini boleh memasukkan dan mencapai maklumat SECARA TERUS melalui Internet, seperti yang ditekankan oleh Bill Gates dalam bukunya The Road Ahead (terjemahan) :
"Pada masa akan datang, setiap ahli masyarakat, termasuk setiap anak, akan mudah mendapat banyak maklumat di hujung jari (melalui Internet) berbanding sekarang. Saya percaya dengan sedia adanya maklumat yang terlalu banyak akan menimbulkan rasa ingin tahu dan imaginasi kepada ramai orang. Pendidikan akan menjadi terlalu individualistik dan peribadi. Lebuh raya maklumat akan merobah fokus pendidikan daripada institusi kepada individu."

Implikasinya ialah sistem Internet yang pantas dan maklumatnya yang global dan mudah dicapai bakal memberi kesan kepada pendidikan masyarakat tempatan terutamanya generasi muda kini yang kelak menjadi "penghuni dan pengguna" tetap lebuh raya maklumat di abad 21. Segala ilmu, fakta, pendapat, citarasa, perasaan, kemarahan, perbuatan, keinginan, nilai dan budaya yang TERKANDUNG dalam maklumat multimedia dari Internet akan dibaca (teks) dilihat (grafik dan animasi) dan didengar (bunyi) oleh pencapainya. Proses pendidikan dan pembudayaan bermula apabila kandungan maklumat yang dibaca, dilihat dan didengar mula mempengaruhi intelek dan minda. Kadar pembelajaran dan pembudayaan ini adalah terlalu cepat selaju dan sebanyak maklumat yang mengalir masuk ke pemikiran melalui sistem Internet.

Oleh itu, ancaman besar Internet kepada generasi muda dan nilai budaya bangsa kita ialah kandungan maklumat yang tidak sihat, bercanggah dengan tatasusila dan budaya murni Timur. Bagaimanakah mudahnya maklumat sebegini dicapai ? Semudah menekan butang tetikus (mouse) dan kita boleh menerimanya dalam beberapa SAAT!

Di negara Barat, nilai komersil yang dikongkong oleh hawa nafsu (marah, berahi, seks, tamak dan seumpamanya) telah menguasai semua nilai-nilai yang sekaligus menghancurkan budaya bangsa mereka. Gaya hidup mereka yang tiada batasan kini dikomersilkan melalui Internet. Satu ujian ringkas telah dibuat untuk melihat topik dan kandungan apakah yang secara kasarnya boleh dicapai dengan mudah di Internet. Dengan memasukkan beberapa kata utama (key words) ke dalam perisian Search Engines seperti Alta Vista dan Webcrawler, pemerhatian berikut telah dicatit :

Alta Vista

WebCrawler

Kata Utama

Bil. perkataan

Peratus

Subjek

Bil. dokumen

Peratus

sex

4497174

94.3

sex

25680

78.8

islam

121825

2.5

islam

1862

5.7

melayu

3643

0.08

melayu

36

0.1

malaysia

194055

4.0

malaysia

5004

15.4

Jumlah

4816697

100.00

Jumlah

32582

100.0

Subjek "sex" dalam pelbagai media begitu mudah dicapai dengan kebarangkalian lebih dari 80%. Subjek tentang "melayu" adalah begitu kecil sekitar 0.1% sahaja.

Satu lagi sumber maklumat di Internet ialah forum-forum perbincangan seperti Mailing Lists, Usenet Newsgroups, BITNET dan beberapa lagi. Usenet Newsgroups adalah yang terbesar dengan kumpulan perbincangan yang mencecah 15,000 buah. Kajian Barat baru-baru ini mendedahkan topik perbincangan di Usenet telah dipenuhi dengan perbincangan mengenai seks dan perlakuannya yang bebas. Ini dibuktikan dengan usaha JARING yang hanya membenarkan sekitar 8,000 forum perbincangan Usenet boleh dicapai melalui JARING. 7,000 forum perbincangan lain dikira tidak bersesuaian dengan citarasa dan nilai budaya masyarakat Malaysia. Adakah kita sudah selamat dari serangan pemikiran dan minda ? Jawapannya TIDAK kerana Internet sememangnya dicipta untuk membolehkan maklumat mengalir walaupun ada serangan nuklear. Melalui server pencari seperti Alta Vista dan Deja News sahaja, kita tetap boleh mencapai maklumat dari forum perbincangan yang telah di "hentikan" oleh JARING. Ini tidak termasuk melalui "pintu-pintu rahsia" lain yang boleh dicari (kalau rajin dan tahu tekniknya).

Contoh berikut adalah sekadar hendak mengillustrasikan bentuk perbincangan. Dalam forum-forum alt.sex.bestiality dan alt.sex.incest umpamanya membincangkan perlakuan-perlakuan seks dengan binatang dan antara ahli keluarga. Ada di antaranya cerita imaginasi dan ada kisah benar. Cuba bayangkan, seorang remaja kita yang tiada pegangan agama dan nilai budaya, membaca kisah sebegini yang sudah menjadi norma hidup Barat, dibaca dan dihayati beberapa kali, sehingga tertanam di mindanya perlakuan itu perkara biasa untuk manusia. Apakah langkah seterusnya yang ia akan ambil setelah menerima "pendidikan" sebegini ? Kemungkinan besar ia mahu mencubanya.

Dua pensyarah Universiti Malaya (UM), DR SYED AZMAN SYED ABDULLAH dan DR NORAINI HASHIM dengan dibantu oleh pelajarnya membuat penyelidikan khas mengenai gejala tidak sihat di kalangan remaja ketika Konsert Rock Scorpion baru-baru ini. Dari temuramah dan "survey" yang dibuat, 54% menyatakan pernah meminum minuman keras, 67% pernah menonton filem lucah, 81% menghisap rokok, 91% tidak sembahyang Asar/Maghrib, 40% mahu mencari ketenagan jiwa pergi ke konsert, 28% mengatakan boleh "seks bebas". Majoriti dari pengunjung ialah anak Melayu.

Arus teknologi maklumat kini masih lagi diperingkat permulaan dan sedang berkembang pesat menjadi arus perdana. Untuk menjadi negara bangsa dengan tamadun baru, kita mesti mencipta dan mempengaruhi arus, dan bukan mengikut arus. Kita mesti berusaha untuk mengimbangi kandungan maklumat di Internet supaya kegawatan dan kemelut keruntuhan moral anak bangsa kita kini tidak menjadi barah di abad 21 kelak. Arus baru melalui lebuhraya maklumat ialah KANDUNGANnya.


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved