MSC - Pemangkin Perubahan!
Berita Komputer, Oktober 29 1997

Ketika artikel ini ditulis, saya sedang berada di dalam sebuah bilik "Operasi dan Peperangan" (Operations and War Room) untuk sebuah konsortium yang mahu menyumbang kepada pembangunan aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia. Bilik yang beroperasi 24 jam, dengan lebih 10 buah komputer meja dan "notebook", ada mesin cetak/fotokopi berkuasa tinggi yang disewa, dikawal 24 jam dengan pengawal keselamatan, sambungan berterusan semua komputer ke Internet melalui komputer "proxy" dan modem, ketua-ketua pegawai eksekutif, operasi dan pakar-pakar mereka semua bersama "turun gelanggang" untuk menghasilkan cadangan konsep yang terbaik, dan baru dimasukkan dengan "katil mini" bagi mereka yang sudah letih memerah otak dan melihat skrin komputer untuk rehat sejenak bagi meneruskan usaha setelah segar sedikit. 1 November adalah tarikh penting – untuk menyerahkan semua kertas cadangan. Semua syarikat dan konsortium yang terlibat pasti sama menghadapi detik-detik cemas yang pantas bergerak, "under pressure" untuk mencapai satu tujuan, satu matlamat – menjadikan MSC sebagai agen dan pemangkin perubahan!

Sehingga tarikh ini (23/11/97), sudah masuk setahun saya menulis di dalam Komputer ini. Terima kasih saya ucapkan kepada sidang editor Komputer kerana memberi saya peluang untuk berkongsi pandangan dengan rakyat Malaysia dalam usaha kami "Memasyarakatkan Internet". Dalam masa setahun saya menulis, juga mengharungi cabaran dan hidup dalam dunia usahawan dan teknologi baru seperti Internet, terlalu banyak perubahan yang saya alami dan lihat. Ada yang pahit dan ada yang manis. Semuanya itu mengukuhkan kecekalan, membentuk kematangan berfikir, mengkayakan lagi minda, pengalaman dan jaringan. Apakah yang memangkinkan perubahan? Samada dalam hidup saya atau mereka yang memilih jalan yang serupa? Kita sebenarnya tidak boleh menolak hakikat bahawa – MSC sebagai pemangkin perubahan.

Apakah bentuk perubahan yang dialami dan yang dilihat? Dari apa yang berlaku, seperti yang saya perhati dan analisa dari bilik "Operasi dan Peperangan" konsortium saya, ada beberapa perubahan penting untuk dikongsi di sini.

Perubahan Cara Fikir (Mindset)

Sejak penubuhan konsortium (saya harap ianya berlaku dalam konsortium lain), perubahan cara fikir sudah terserlah. Modus Operandi dan matlamat konsortium ialah untuk membuat sumbangan (contribution-centric) ke arah menjayakan Wawasan kerajaan melalui perlaksanaan pembangunan aplikasi perdana MSC. Mereka yang bersama konsortium telah berikrar untuk menyumbang apa yang terbaik dari teknologi kepakaran yang mereka ada. Semua yang terlibat berazam mahu membuktikan bahawa "Malaysia Boleh!" bukan lagi slogan main-main. Cuma yang dipinta dari kerajaan ialah beri peluang kepada anak-anak tempatan untuk membuktikan kemampuan mereka. Perubahan dalam cara fikir sebegini adalah amat penting sebagai titik tolak kepada pembentukan generasi Abad 21 yang lebih berdikari, yakin diri dan berani mencuba perkara baru. Satu halangan pertama yang sekian lama membekukan fikiran (seterusnya tindakan) sudah tertolak ke tepi.

Sebelum ini pun memang sudah ada pemangkin perubahan yang membuka mata dan minda. Saya sendiri tidak menyangka suatu hari nanti saya akan menaiki helikopter dan pergi ke pelantar minyak jauh ditengah laut, ketika saya bekerja dengan sebuah syarikat pengeluaran gas dan petroleum. Saya juga tidak menyangka suatu hari nanti saya akan menaiki kereta buatan tempatan seperti kereta Proton Saga Iswara saya. Perubahan dalam pembangunan kebendaan sebenarnya bermula dengan perubahan cara fikir.

Perubahan Sikap – "Semua untuk satu, satu untuk semua"

Pernah satu ketika (sekarang ada lagi?), orang Melayu dikaitkan dengan satu sikap buruk – "Kau, kau, aku, aku, kubur kau, kubur aku, lain-lain". Maksud disini ialah sikap mementingkan diri sendiri tanpa melihat ummat ini ibarat satu badan (hadis). Di dalam konsortium saya, satu motto bersama telah dibentuk iaitu "Semua untuk satu, satu untuk semua" atau "All for one, one for all". Maksudnya ialah semua kejayaan yang bakal diperolehi akan dikongsi sama oleh konsortium yang satu ini dan satu kejayaan yang bakal diperolehi, adalah untuk semua syarikat di dalam konsortium ini. (diharap penjelasan ini tidak memeningkan kepala).

Ya, kebanyakan syarikat-syarikat yang terlibat di dalam projek MSC ini bersetuju bahawa peluang kek perniagaan dari projek MSC adalah terlalu besar untuk "dimakan" berseorangan. Memang hampir mustahil untuk menjayakan projek yang sedemikian besar, canggih, kompleks, kos tinggi dan konseptual boleh dijayakan hanya segelintir syarikat. Baharulah semua menghargai peranan setiap komponen badan – badan, kaki, tangan, mata, hidung, telinga, hatta bulu roma sekalipun. Syarikat-syarikat yang terlibat dengan pelbagai kekuatan dan kelemahan, tetap ada peranan masing-masing dalam MSC. Hatta, seorang kakitangan biasa pun ada peranan. Contohnya kalau si kakitangan ni tak tahu nak klik butang tetikus atau memahami sesuatu penjelasan prosedur, bagaimana kita hendak harapkan rakyat jelata untuk memahami perkara baru seperti Internet?

Perubahan cara kerja – berpaksikan teknologi ("technology-centric")

Sekarang ini pun, penggunaan teknologi dalam kehidupan semakin menular dan diterima pakai dengan pantas oleh penghuni dunia. Semua jenis teknologi mahu membantu mencapai dua objektif utama ini – mempercepatkan dan memudahkan dalam apa jua tindakan. Kalau manusia hendak menyalahgunakan teknologi, tentu berlaku perkara yang tidak diingini.

Teknologi telah merubah cara kita bekerja dan ini sedang berlaku. Apabila terlancarnya aplikasi-aplikasi perdana MSC, maka akan berlaku lagi satu loncatan dalam hidup. Kalau dahulu dan sekarang, untuk membayar bil JPJ umpamanya, kita perlu mengharungi kesesakan lalulintas, berpeluh dan bersabar untuk beratur, kena isi borang banyak kali kerana tiada arahan jelas, bila ada MSC, semuanya itu bakal menjadi mimpi silam. Jika ada komputer, perisian pengimbas, modem, capaian Internet, maka sudah boleh membuat pembayaran secara maya dari mana sahaja. Bukan sahaja ianya merubah cara kerja sebagai individu, ia bakal merubah cara hidup satu masyarakat yang telah menerima MSC sebagai satu elemen asas dalam hidup.

Bagi diri saya, perubahan terbaru yang menarik ialah apabila saya "membawa pejabat" saya ke mana sahaja. Berbekalkan sebuah komputer bimbit (notebook) yang dibeli oleh syarikat (alhamdulillah), saya menjalankan tugas tidak kira tempat dan masa. Semua nya lengkap – ruangan cakera keras yang luas, perisian produktiviti yang membolehkan saya membuat apa sahaja, perisian pengurusan masa dan maklumat, modem PCMCIA dan capaian ke Internet.

Ya, MSC adalah pemangkin perubahan! Sudahkah anda terbuka hati untuk berubah ke arah kebaikan?

______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet"... Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-9161718, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm



is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved