Extranet Global Compaq - Model Negara Abad 21 ?
Berita Komputer, Ogos 27 1997

Internet telah memperkenalkan satu dunia baru yang lebih dikenali sebagai "dunia siber". Dunia siber ini mempunyai beberapa ciri-ciri asas seperti:

  • Menjaringkan berpuluh juta manusia (individu dan perkumpulan) yang memiliki capaian Internet dan membentuk komuniti maya atau elektronik
  • Menjangkau batasan dan halangan sempadan negara bangsa dan geografi
  • Menjangkau batasan warna kulit, bangsa dan bahasa
  • Menjangkau batasan masa (sentiasa aktif dan hidup sepanjang tahun)
  • Transaksi digital dan elektronik menggantikan transaksi konvensional
  • Penghapusan sistem hirarki yang digantikan dengan sistem jaringan
  • Perhubungan, pertukaran dan perkongsian maklumat dalam bentuk multimedia, murah dan pantas

Pengeluar komputer peribadi terbesar dunia, Compaq, sekarang ini sedang dalam proses membangunkan jaringan-jaringan komputer antara-entiti atau "extranet" yang disebut sebagai paling besar dalam sejarah dunia. (Communications Week, 11 Ogos 1997). Berikut ialah beberapa maklumat penting mengenai "extranet" raksasa yang sedang dalam pembinaan sekarang ini.

  • Ianya menjangkau 80 buah negara
  • Setelah siap pada akhir tahun ini, jaringan extranet "Compaq On Line" akan menghubungkan 3,000 penjual utama dan beribu-ribu lagi penjual lain seluruh dunia, yang kemudiannya dihubungkan pula dengan sistem Intranet Compaq - "Compaq In Line" - yang menjaringkan 24,000 pengguna. Mereka ini dilengkapi dengan komputer berperisian Windows NT atau Windows 95 dan lain-lain perisian.
  • Projek integrasi bernama "Mansion" akan menjaringkan wakil penjual Compaq dengan sistem komputer untuk pembuatan, inventori, tempahan dan lain-lain aplikasi perniagaan berasaskan sistem SAP R/3. Projek "Mansion" juga menggabungkan aplikasi elektronik seperti perniagaan elektronik, perbualan Internet, elektronik mel, otomasi sistem jualan, perisian penerbitan, laman jual beli dan pengkalan maklumat besar yang mengaitkan pengguna, wakil penjual, wakil distributor dan kakitangan Compaq sendiri.
  • "Compaq On Line" berupaya memadankan tempahan dari seluruh dunia dengan pembuatan dan penghantaran dalam masa sebenar (real time).
  • "Compaq On Line" kini dilawati (kiraan hits) sekitar 100,000 imbasan sehari dan bilangan ini dijangka mencapai lebih 1 juta sehari apabila jaringan extranet global sudah siap pada akhir tahun ini.
  • Extranet akan dijaringkan dengan intranet syarikat untuk menyusun atur pelan dan jadual pembuatan setiap lapan jam di kilang-kilang di Dallas, Houston dan Brazil, termasuk juga pusat pembahagian di Amsterdam dan Scotland, untuk memenuhi tempahan pelanggan dari seluruh dunia

Kebaikan yang dijangkakan diperolehi dalam masa yang singkat ialah:

  • Jaringan dalaman (Intranet), antara-entiti (extranet) dan luaran (internet) akan memberi khidmat yang lebih baik dan efisien kepada sistem sebaran dan jualan. Jaringan baru ini akan mengurangkan kos pembuatan dan inventori serta menyediakan saluran hubungan terus dengan pelanggan korporat.
  • Jaringan ini membolehkan penyedian produk berdasarkan tempahan sebenar oleh pelanggan, bukannya berasaskan unjuran jualan, dan memberi pengguna kecepatan, keanjalan untuk membuat capaian terus kepada maklumat produk dan perkhidmatan Compaq melalui Internet.
  • Memberi wakil penjual keupayaan untuk membuat konfigurasi, meletak harga dan menempah produk secara "online", dan seterusnya membuat pemasangan dan ujian produk terakhir.
  • Memendekkan putaran dan pelan pengeluaran produk, mengurang kos inventori, memudahkan pengendalian stok dan pada masa yang sama boleh mengetahui dengan tepat akan kemahuan pengguna dan bila masanya
  • Kos produk telah dikurangkan sehingga 20 peratus ke atas jenama Deskpro 2000 dan 4000 setelah menggunakan sistem pembuatan berasaskan tempahan sebenar.
  • Dijangkakan hasil jualan melalui sistem Extranet boleh mencapai US18 billion. Menurut satu sumber, Compaq telah berjaya mendapatkan kontrak bernilai US450 juta dengan NASA melalui sistem extranet ini

Jika jaringan Extranet Global Compaq (EGC) ini siap sepenuhnya dan beroperasi, ia membolehkan berjuta-juta manusia sentiasa berinteraksi, berjual beli, membeli belah dan bertukar maklumat. Sebelum EGC, sebenarnya sudah ada komuniti elektronik yang berkeahlian lebih dari satu juta orang seperti American Online, Prodigy, dan Microsoft Network (MSN). Walaubagaimanapun, semua produk dan perkhidmatan yang disediakan oleh ketiga-tiga komuniti elektronik ini lebih tertumpu kepada majoriti penggunanya yang menetap di Amerika Syarikat.

Apakah keterlaluan jika saya mengatakan EGC mungkin boleh menjadi model "negara" Abad 21 yang berasaskan sepenuhnya kepada teknologi maklumat? Secara teorinya, Ketua Pegawai Eksekutif Compaq boleh menyampaikan amanat dan berkongsi wawasan beliau kepada sesiapa sahaja yang berada di dalam jaringan EGC. Adalah terlalu mudah dan cepat untuk "negara" Compaq menyalurkan polisi, piawai dan nilai mereka kepada "rakyat" nya yang terdiri dari wakil penjual, distributor, pekerja dan pengguna dari 80 buah negara.

Dengan "rakyat"nya yang sudah menerima sepenuhnya cara hidup berasaskan teknologi maklumat, EGC akan lebih responsif, antisipatif dan bertindak pantas jika dibandingkan dengan rakyat dalam 80 negara yang berasingan. Kepimpinan dalam EGC boleh menjangka dan melihat lebih jauh ke hadapan kerana maklumat yang lebih tepat, terkini dan semasa boleh membantu mereka membuat unjuran. Perubahan boleh dilakukan dengan lebih cepat jika terdapat apa-apa perubahan mendadak. Apabila manusia dan sistem teknologi maklumat di dalam EGC sudah sebati, stabil dan teradun, maka sistem keseluruhan sudah memiliki ciri-ciri automatik seperti dalam sistem badan manusia yang dikenali sebagai sistem homeostasis. Homeostasis adalah sistem pengawalan diri manusia yang berpengkalan di pangkal otak. Contohnya, apabila suhu badan manusia turun secara mendadak, tindakbalas homeostatik akan menyebabkan manusia itu mengambil tindakan otomatik untuk mengimbangi kesejukan badan, seperti mencapai baju sejuk dan memakainya atau mengurangkan suhu penghawa dingin. Proses ini berlaku secara otomatik dan cepat. EGC boleh mencapai tahap sebegini jika ia benar-benar terlaksana.

Kita meyakini Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC) adalah pemangkin kepada perubahan - daripada bentuk negara yang ada sekarang kepada bentuk negara jaringan dengan ciri-ciri tersebut di atas.

_______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet". Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Pertanian Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-4699401, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm



is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved