Aset Intelektual - Penentu
Daya Saing Syarikat Abad 21
Berita Komputer, September 24 1997

"Sementara itu marilah kita tumpukan kepada penguasaan ilmu dan teknologi yang canggih untuk melancarkan negara kita ke era Teknologi Maklumat. Kita telah banyak berjaya dalam usaha menjadikan negara kita negara industri pembuatan. Tetapi hari ini kita memasuki zaman IT, zaman `information technology', zaman pekerja berpengetahuan atau `knowledge worker'. Apakah dapat kita menguasai maklumat baru dan cara kerja yang tidak lagi memerlukan tenaga dan keringat, tetapi sebaliknya memerlukan pengetahuan? Apakah kita mampu atau tidak?"[Ucapan Perdana Menteri Malaysia melalui RTM sempena menyambut tahun baru 1997]

Saya telah menghadiri satu mesyuarat konsortium yang mahu menyumbang kepada kejayaan Koridor Raya Multimedia (MSC) baru-baru ini. Ianya telah dipengerusikan oleh seorang tokoh perniagaan tempatan yang telah terbukti berjaya menempatkan Malaysia di mata dunia melalui prestasi syarikat dan perniagaan beliau. Setelah memahami misi beliau dalam menubuhkan konsortium tersebut, saya boleh nyatakan misi yang mahu dibawa adalah menyahut cabaran Perdana Menteri seperti di dalam ucapan di atas - iaitu memastikan syarikat-syarikat dan sumber manusia tempatan meraih dan memanfaatkan sepenuhnya kejayaan MSC kelak. Apa yang paling penting ialah ASET INTELEKTUAL akan berputik dan berkembang dari syarikat-syarikat dan sumber manusia tempatan. Perkembangan mutakhir telah menunjukkan, Aset Intelektual akan menjadi faktor penentu kepada daya saing dan kemampanan syarikat, malah negara Malaysia, di Abad 21 yang mencabar.

Semakin kita menuju dan hampir ke Era Maklumat, aset (harta) yang kian penting lagi menonjol di dalam syarikat-syarikat yang berjaya dan berkembang ialah sumber manusia di dalamnya yang memiliki apa yang dipanggil Aset Intelektual (Intellectual Capital). Aset Intelektual ini tersimpan kukuh di dalam otak, akal dan jiwa manusia yang bekerja di sana. Walaupun Aset Intelektual ini sangat susah dan rumit untuk diukur, semakin ramai penganalisa dan cendekiawan akademik percaya bahawa syarikat-syarikat perlu memasukkan nilai aset ini di dalam buku kira-kira syarikat demi beberapa sebab tertentu. Salah satu sebab yang jelas ialah nilai Aset Intelektual boleh memperbaiki dan mempertingkatkan nilai pasaran (market capitalization) sesebuah syarikat. Syarikat Netscape yang kini sedang hebat mencabar ketuanan Microsoft dalam pembangunan perisian Internet, pernah mencapai nilai pasaran tertinggi sehingga US 4 billion berasaskan harga stok syarikat tersebut. Pada hakikatnya, Netscape hanyalah syarikat yang masih muda dan kecil dengan nilai jualan sekadar mencecah beberapa juta (US) setahun. Tetapi, para pelabur telah menaikkan nilai pasaran syarikat tersebut berasaskan nilai yang tidak nyata (intangibles), seperti apa yang ada di dalam kepala - Aset Intelektual - pemimpin-pemimpin utama Netscape seperti Marc Andreessen, Jim Barksdale dan Jim Clark.

Selama ini, Aset Intelektual atau sumber manusia dalam syarikat selalu diabaikan dalam menentukan nilai pasaran syarikat. Nilai pasaran syarikat, yang melambangkan kejayaan syarikat, selalu dikira berasaskan dengan aset fizikal syarikat seperti bangunan yang gah, kelengkapan teknologi canggih, jentera terkini, dan nilai ringgit yang diperolehi. Satu contoh yang mudah dan konvensional ialah meja Ketua Eksekutif yang berlapikkan kulit dan berkayu cengal lagi mahal. Bukan meja tersebut yang membuat keputusan penentu lagi berdaya saing, tetapi Ketua Eksekutif yang duduk dibelakangnya yang berbuat demikian - dengan Aset Intelektualnya. Walaupun demikian, akauntan syarikat akan mengikut tradisi menilai harga meja tersebut sebanyak RM10,000 (contoh), mengaudit, membuat insuran untuknya dan mengambil nilai meja sebagai salah satu faktor dalam menentukan nilai pasaran syarikat. Sumber manusia seperti Ketua Eksekutif, seperti biasa akan dimasukkan dalam kategori perbelanjaan atau termasuk dalam kumpulan "menghabihkan boreh" kata orang Negeri Sembilan. Nampak seperti tidak masuk dek akal.

Jika dihalusi, mengurus secara berkesan ilmu pengetahuan dan maklumat yang menjadi komponen utama Aset Intelektual, akan menatijahkan kelebihan berterusan kepada sesebuah syarikat di dalam pasaran. Samada syarikat itu berkembang, menyusun atur proses kerja (reengineering), mengecilkan saiz (downsizing), yang memastikan semuanya ini menjadi dan berjaya ialah sumber manusia yang menghayati dan melaksanakan misi.

Kini, sudah ada syarikat-syarikat yang mengambil kira Aset Intelektual sebagai nilai pasaran syarikat. Contohnya ialah syarikat perunding pengurusan terbesar di Australia, Morgan & Banks. Dalam bulan Ogos 1996 yang lalu, nilai pasaran syarikat ini ialah AU $65 juta, walaupun nilai di dalam buku kira-kira ialah AU $8 juta sahaja. Di manakah letaknya nilai lebihan AU $57 juta lagi ?

Menurut Dr. Karl Erik Sveiby, pengasas kepada institusi Sveiby Knowledge Management, nilai lebihan tersebut terletak di dalam aset tidak-nyata (invisible assets) (rujuk Error! Bookmark not defined.. Sveiby memecahkan aset tidak-nyata kepada tiga kategori: struktur dalaman (hakcipta, konsep, sistem komputer dan pentadbiran), struktur luaran (perhubungan syarikat dengan pelanggan/rakan niaga, jenama, "trademark" dan reputasi) dan kompetensi individu (kepakaran tenaga kerja, pendidikan, pengalaman, nilai, budaya dan kepakaran sosial). Dr. David Skyrme dari syarikat perunding pengurusan David Skyrme Associates (rujuk http://www.skyrme.com/) amat yakin bahawa aset tidak-nyata akan menjadi faktor penentu kepada daya saing di dalam sistem jaringan ekonomi global..

Hasil dari kaji selidik oleh A.T. Kearney ke atas para eksekutif dari 11 buah negara (http://www.atkearney.com/capital/news9d.html) telah menunjukkan pengiktirafan pengurusan ke atas pentingnya Aset Intelektual. Contohnya, apabila sesebuah syarikat membuat perubahan struktur organisasi, pengurusan akan menggantikan kerja-kerja tanpa kemahiran dengan kerja-kerja yang memerlukan kekuatan mental dan keupayaan menyelesaikan permasalahan (problem-solving). Lebih dari satu pertiga dari eksekutif yang terlibat percaya isu sebegini adalah kritikal dalam menjayakan perancangan strategik syarikat.

Syarikat-syarikat utama dunia sudah pun mengambil langkah strategik memelihara Aset Intelektual mereka. Syarikat-syarikat seperti Skandia, Nasdaq, Chevron, Dow Chemical dan beberapa lagi syarikat lain telah pun mewujudkan beberapa posisi peringkat direktor yang bertanggung jawab mengurus Aset Intelektual !

Sebagai rumusan, pertama, cuba kita kaitkan perkembangan di atas dengan projek MSC yang menjadi pemangkin perubahan negara ke arah negara yang berasaskan teknologi maklumat. Kedua, cuba lihat perkembangan di atas dalam konteks nilai matawang Malaysia yang kini berada di paras bahaya. Siapakah "pahlawan bangsa dan negara" yang bakal menjadi pasak kepada negara berasaskan teknologi maklumat serta menaikkan nilai matawang negara ke tahap yang berdaya saing, berdaya maju lagi kukuh ?

Tidak lain dan tidak bukan rakyat Malaysia sendiri yang kini menyahut cabaran Perdana Menteri untuk menjadi Aset Intelektual di dalam syarikat-syarikat mereka, membentuk beberapa buah konsortium, untuk meraih peluang perniagaan di samping menjadi aset tidak-nyata yang bakal menaikkan nilai pasaran Malaysia di arena ekonomi global. Peranan pihak berkuasa dan berwajib pula ialah untuk memastikan Aset Intelektual ini tidak mengalir keluar atau tidak diperolehi dan dipupuk oleh rakyat Malaysia sendiri. Jika ini berlaku, maka dibimbangi kita "akan jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali" (hadis Rasulullah s.a.w.).

_______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet". Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Pertanian Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-4699401, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm



is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved