Pembudayaan Teknologi Maklumat, Tanggung Jawab Semua !
Berita Komputer, Ogos 20 1997

Sebenarnya, masih ramai di antara kita yang merasakan 'Alaf Baru yang berasaskan teknologi maklumat tidak "relevan" atau tidak ada kena mengena dalam kehidupan mereka sekarang. Ingin saya kongsi bersama akan beberapa pengalaman peribadi yang menggambarkan suasana "tidak sihat" ini.

Dalam mendokong misi "Memasyarakatkan Internet", saya telah menemui pelbagai lapisan masyarakat dan saya tidak akan jemu untuk membuka ufuk minda mereka dengan menjelaskan bagaimana Zaman Internet bakal merobah dengan drastik cara hidup, minda dan budaya negara bangsa di Abad 21. Ada yang mendengar dengan "mata terbeliak" dan penuh prihatin. Ada yang nampak seronok pada masa itu sahaja tetapi kemudian tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mendaftar bagi mencapai Internet. Ramai yang menampakkan raut wajah "Internet tidak ada kena mengena dalam hidup saya buat masa ini, jadi, tak perlu ambil tahu".

Saya cuba menyakinkan beberapa orang Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer) syarikat akan bagaimana sistem Intranet (jaringan dalaman) dan Internet (jaringan global) dapat menjadikan syarikat mereka lebih efisien dan kos-efektif dalam penyebaran, perkongsian dan pertukaran maklumat multimedia. Malangnya, ada yang masih memiliki persepsi bahawa komputer setakat untuk menaip, bermain "Solitaire" dan "Star War", atau membuang masa "surfing" di Internet jika ada capaian. Merugikan syarikat sahaja.

Apabila bercakap dengan beberapa orang ibubapa pula akan perlunya mereka juga mengikuti perkembangan Internet, mereka memberi alasan komputer dan Internet ini bukan untuk mereka lagi, biarlah anak-anak yang menguasainya kerana masa akan datang ialah zaman mereka. Malah, ada juga yang menolak langsung teknologi ini kerana bimbang kandungan Internet yang tidak sihat akan merosakkan anak-anak mereka.

Apabila saya cuba memberi galakan kepada beberapa orang pemimpin dan eksekutif untuk merobah cara dan budaya kerja dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat dan Internet, ramai yang lebih selesa dengan cara dan budaya kerja lama seperti membuat kerja secara bersiri, tidak "multi-tasking", masih berfikiran hirarki, bukan jaringan, dan masih mengharapkan orang lain (seperti untuk menaip) dan tidak "empower" diri sendiri dengan peralatan canggih dan terkini.

Dari pengalaman-pengalaman di atas, saya boleh merumuskan dengan yakin bahawa masih ramai di antara kita samada kita ialah ketua pegawai eksekutif, ibubapa, pemimpin, eksekutif, ahli politik, guru dan orang awam, yang masih belum melakukan ANJAKAN PARADIGMA dalam minda dan cara fikir. Saya boleh merasakan demikian kerana saya sudah "Memasyarakatkan Internet" dalam cara fikir, minda dan cara kerja saya. Saya akan merasa resah dan "patah ranting" apabila cakera keras komputer saya "crash" dan saya akan memperbaikinya pada hari yang sama juga. Saya pasti akan memeriksa mel elektronik dua kali sehari. Semua rujukan agama saya (seperti Al-Quran 30 juzuk, beberapa terjemahan, sahih Bukhari dan Muslim, sirah Nabi Muhammad s.a.w.) semua nya dalam bentuk digital dan dari Internet. Dalam penulisan untuk Komputer, saya lebih merujuk kepada maklumat terkini dari beberapa tapak web terkenal daripada membuka buku atau majalah. Saya lebih banyak menggunakan mel elektronik untuk delegasi tugas kepada kakitangan saya atau berhubung dengan rakan perniagaan dalam dan luar negeri.

Untuk mencapai tahap seperti di atas, saya telah mengambil masa hampir sepuluh (10) tahun, sejak saya mula mengenal komputer melalui komputer "Apple 2c" dan komputer pertama saya "Commodore 64". Memang, melakukan Anjakan Paradigma memerlukan usaha dan mengambil masa.

Oleh kerana kesan dan hasil daripada teknologi maklumat adalah mengenai semua orang, maka semua lapisan masyarakat MESTI melakukan Anjakan Paradigma, menguasai dan membudayakan Teknologi Maklumat dalam kehidupan.

Untuk para ketua pegawai eksekutif, saya menyarankan agar kikislah persepsi yang negatif terhadap penggunaan komputer dan Internet. Rajin-rajinlah membaca "Komputer" atau "Computimes" untuk memahami sendiri akan banyak manfaat yang boleh diperolehi dari komputer dan Internet. Yang lebih penting, mulalah belajar dan menggunakan komputer dan Internet. Tidak perlu malu kerana kedudukan dan usia lanjut.

Untuk para ibubapa, persepsi yang mengatakan komputer dan Internet adalah untuk anak-anak sahaja atau merosakkan anak-anak, adalah tidak tepat. Anak-anak lambat laun akan tetap didedahkan kepada komputer dan Internet melalui program Sekolah Bistari kerajaan. Adalah lebih merbahaya jika ibubapa membiarkan anak-anak mereka bersendirian menggunakan Internet yang tiada sempadan capaian maklumatnya. Mahu tidak mahu, ibubapa yang prihatin MESTI berusaha menguasai dan membudayakan teknologi baru ini. Ibubapa sepatutnya yang lebih peka dan terkehadapan dari anak-anak didik mereka.

Tetapi memang benar, dari statistik penggunaan komputer dan Internet di beberapa Pusat Capaian Internet HIT seperti Cyber Lounge di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Taman Permata dan Kota Bharu Kelantan, para pelajar adalah pengunjung teramai dan ada yang menjadi pelanggan tetap. Mereka lebih cepat menerima dan selesa dengan penggunaan komputer dan Internet dalam kehidupan mereka. Maka, adalah menjadi tanggung jawab kita "generasi tua" sekarang untuk memastikan mereka terselamat dan menjadi generasi pelapis berteknologi tinggi yang memberi kebaikan kepada diri sendiri dan ummah.

_______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet".. Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Pertanian Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-4699401, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved