Guna IT Seleweng Masyarakat

Berita Komputer, Mei 20 1998

 

       Sesungguhnya Allah s.w.t. itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Untuk memberi kemudahan dan kesenangan kepada seluruh hambaNya dalam dunia yang kian pantas dan kompleks, Allah telah menganugerahkan teknologi maklumat dan Internet kepada kita. Kitalah yang perlu bertanggung jawab dan amanah untuk memanfaatkan kesemua itu sebaik mungkin.

''Perkembangan teknologi adalah begitu pesat sekali dan jika kita tidak tahu cara untuk menguruskan cabaran ini, maka kita akan menderita dan masyarakat juga tidak akan menjadi lebih baik,'' Perdana Menteri pernah mengingatkan kita, ketika berucap di Institut Teknologi Kreatif Limkokwing (LICT) pada 3 Mac lalu.

      Setiap anugerah Allah sebenarnya adalah untuk kebaikan. Salah satu aplikasi paling popular Internet, mel elektronik umpamanya, mempunyai potensi besar untuk mempertautkan hubungan silaturrahim dan persahabatan di kalangan manusia yang menggunakannya. Tambahan pula, mereka yang lebih awal menerokai dunia maya Internet, telah membentuk satu etika berinteraksi melalui mel elektronik yang dikenali sebagai "Netiquette".

     Malangnya, masih ada manusia yang dianugerah ilmu untuk memanfaatkan teknologi maklumat, tetapi telah diselewengkan penggunaannya untuk tujuan yang tidak baik dan boleh merosakkan pemikiran mereka yang menerima maklumat daripadanya. Dengan tidak mematuhi "Netiquette", mereka yang tidak bertanggung jawab ini telah menghantar mel elektronik kepada sesiapa sahaja tanpa penerimanya merelai dan merestuinya. Dalam bahasa Internet, perbuatan menghantar mel-mel elektronik secara sesuka hati tanpa restu penerimanya adalah dipanggil "spam". Tujuan perbuatan tidak beradab ini pula pelbagai seperti untuk tujuan:

  • Komersil - iklan, skim piramid, permintaan hantar mel komersil, brosur elektronik dan seumpamanya
  • Bukan komersil - mel berantai, maklumat tipu, kempen, pemikiran sesat dan seumpamanya

     Bagi mereka yang sudah membudayakan penggunaan mel elektronik dalam kehidupan harian, fenomena ini telah menjadi kebiasaan dan telah mempelajari teknik dan taktik untuk berhadapan dengan mel-mel "spam" ini. Walaubagaimanapun, apabila teknologi maklumat anugerah Allah telah disalahguna untuk menyelewengkan umat dari agama Allah, maka ini adalah satu kesalahan besar yang perlu diketengahkan kepada masyarakat, agar proses "Memasyarakatkan Internet" itu berlaku dengan masyarakat terus bersyukur dengan anugerah tersebut.

     Sejak kebelakangan ini, golongan Anti Hadith telah menggunakan Internet, terutamanya mel elektronik, untuk menyebarkan dakyah sesat mereka. Untuk makluman semua, golongan Anti Hadith telah difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri berikut:    

  • Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
  • Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
  • Melaka - 29 Feb 1996, No 78
  • Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3

Di antara sebab-sebab pokok mengapa golongan Anti Hadith ini sesat dan murtad ialah:

  1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
  2. Menolak dua kalimah Syahadah.
  3. Menolak Qada’ dan Qadar
  4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah A-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.
  5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
  6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

(maklumat dipetik dari: http://www.islam.gov.my/sesat/BM/Ahadis.html)

Negara Brunei juga telah mengeluarkan amaran melalui laman web akan bahaya golongan Anti Hadith ini, sila lawat laman web berikut: http://jtb.brunet.bn/php/titah/mau92.htm

     Daripada pengalaman HIJAU mengendalikan forum diskusi maya (mailing lists) seperti "Islah-Net" dan "MSM-Net", juga maklumat-maklumat dari forum diskusi maya lain seperti "Hizbi-Net" dan "Abim-Link", saya dapat mengkaji cara gerakerja golongan ini di alam maya.

     Pertama, mereka berselindung disebalik nama samaran melalui perkhidmatan mel elektronik percuma dari luar seperti Hotmail, Rocketmail dan Bigfoot. Dengan menggunakan perkhidmatan percuma dari luar negara, usaha untuk mengekori atau "trace" mereka ini bukanlah kerja mudah. Cara yang paling mudah ialah melaporkan salah guna ini kepada syarikat-syarikat tersebut. Walaubagaimanapun, setelah akaun tersebut dihentikan, mereka akan membuat akaun baru dengan nama samaran lain dan meneruskan "serangan maya" mereka.

     Kedua, mereka mendaftarkan diri mereka ke dalam forum-forum diskusi maya yang saya sebut di atas dengan menggunakan akaun mel yang lain. Tujuannya ialah untuk "mencekup" alamat-alamat mel yang aktif dalam forum-forum tersebut dan memasukkan alamat-alamat mel tersebut ke forum maya yang mereka wujudkan sendiri untuk menyebarkan dakyah mereka.

     Alhamdulillah, sesungguhnya masyarakat Internet adalah masyarakat yang mahukan harmoni dan ketenangan. Mereka saling bantu membantu dalam menangani elemen-elemen yang merosakkan masyarakat ini. Laporan telah dibuat kepada pihak-pihak berwajib yang berkaitan mengenai aktiviti-aktiviti golongan Anti Hadith ini. Dari segi teorinya, teknologi memang membolehkan kita mengekori dan menjejaki penghantar mel atau "spam" sebegini sehingga tertangkap. Kita mengharapkan pihak berwajib menjalankan tanggung jawab mereka demi memastikan salah gunaan teknologi maklumat dapat dibenteras.

     Walaubagaimanapun, kita sebagai pengguna biasa mel elektronik, masih boleh bertindak untuk menghadapi mel-mel elektronik yang tidak direstui itu. Saya sarankan langkah-langkah berikut apabila anda menerima mel-mel sebegini:

  1. Padam atau "delete" sahaja mel yang tidak berkenaan tanpa membuka isinya
  2. Aktifkan fungsi penapisan perisian mel elektronik anda agar mel-mel yang telah dikenalpasti sebagai "spam" dapat ditapis dan dipadam terus
  3. Hubungi syarikat penyedia perkhidmatan Internet seperti Jaring dan TMNet jika penghantar mel sedemikian didapati menggunakan perkhidmatan mereka. Syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan Internet ini selalunya mempunyai polisi yang jelas terhadap mel-mel "spam" ini.

Ini baru salah satu dari cabaran hidup Era Maklumat yang telah kita alami sekarang. Kita masih belum tahu apa lagi bentuk cabaran-cabaran baru yang bakal muncul.

Semoga Allah s.w.t. memberi kita kekuatan dan persediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran Era Maklumat di Abad 21.

 

_______________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet"... Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-9161718, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm



is electronically published by
Hijau Networld Office
UPM-MTDC
Technology Incubation Center One,UPM,
43400 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 9161718/19, Fax : 9161720

Mei 1998- All Rights Reserved