IT Dalam Ketenteraan - Pengajaran Dari Amerika
Berita Komputer, November 19 1997

BRamai yang sudah ‘arif dengan penggunaan dan kepentingan teknologi maklumat atau "information technology" (IT) di dalam perniagaan dan kehidupan awam. Tetapi, kita jarang mendengar bagaimana IT juga akan memainkan peranan penting di dalam ketenteraan. Kepentingan maklumat di dalam peperangan dan sistem pertahanan negara memang tidak boleh disangkal lagi. Di dalam Al-Quran dan juga sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. banyak menceritakan bagaimana maklumat diperlukan dan dimanfaatkan untuk strategi peperangan dan pertahanan diri. Contoh klasik ialah kisah Nabi Sulaiman yang mengarahkan seekor burung untuk membuat kerja perisikan bagi mendapatkan maklumat penting. Dalam satu peperangan, Rasulullah s.a.w. telah mengumpulkan maklumat tentang musuh bagi menilai kekuatan fizikal musuh. Artikel kali ini adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat dengan pembaca bagaimana Pentagon Amerika mempersiapkan ketenteraan mereka dengan IT bagi menghadapi cabaran peperangan Abad 21.

Kekuatan dan ketenteraan zaman industri adalah berasaskan ketuanan persenjataan ("weapon superiority"). Untuk zaman maklumat, Pentagon Amerika (Electronic Engineering Time, 13/10/97) telah mengolah strategi baru ketenteraan yang berasaskan ketuanan maklumat atau "information superiority". Maklumat membolehkan persenjataan konvensional seperti kereta kebal, kapal terbang, kapal laut dan peluru berpandu menjadi lebih bijak ("smart"). Teknologi maklumat dan jaringan telah mengalih strategi ketenteraan Amerika kepada doktrin peperangan berpusatkan jaringan atau "network-centric warfare". Untuk itu, Jabatan Pertahanan Negara Amerika akan membelanjakan US10.2 billion (RM34 billion) bagi membeli perkakasan dan perisian telekomunikasi untuk membangunkan prasarana jaringan. Jaringan baru dan canggih ini akan menghubungkan semua aset komunikasi tentera, termasuk satelit-satelit komunikasi tentera dan komersil, perkhidmatan talian suwa ("leased line"), agensi-agensi ketenteraan dalam kerajaan dan jaringan-jaringan bergerak.

Inisiatif dan tindakan di atas adalah dipandu oleh apa yang dipanggil Wawasan Bersama 2010 ("Joint Vision 2010"), satu halatuju Pentagon Amerika untuk mempersiapkan mereka menghadapi peperangan di ‘alaf baru. Secara keseluruhannya, jaringan persenjataan dan maklumat akan mempertingkatkan secara mendadak keupayaan pengarahan ("command"), penguasaan ("control"), komunikasi, komputer, hasil risikan ("intelligence"), pemerhatian ("surveillance") dan pertemuan sulit ("reconnaissance"). Matlamat utama strategi kesediaan suasana peperangan atau "battlefield awareness" ialah dengan merangkaikan semua sistem pengenalan ("sensors"), pemprosesan dan tentera di medan perang dengan prasarana jaringan pantas yang boleh menyalurkan maklumat multimedia dalam masa sebenar ("real time") apabila diperlukan bila-bila masa.

Elemen-elemen utama kepada strategi peperangan berasaskan teknologi maklumat dan jaringan ialah:

Grid maklumat atau "information grid", yang menyediakan prasarana komunikasi dan perkomputeran,

Grid pengenalan atau "sensor grids", yang mengenalpasti kedudukan tepat pihak musuh,

Grid pertempuran atau "engagement grids", yang membantu menalakan peluru dan senjata ke arah pihak musuh.

Pertambahan dengan banyaknya senjata bijak ("smart weapons") juga telah memangkinkan peralihan kepada peperangan berasaskan jaringan dan maklumat. Persenjataan bijak adalah sangat bergantung kepada ketepatan dan kecepatan penerimaan maklumat bagi membolehkannya "berfikir dengan tepat" sebelum menghalakan dirinya ke arah sasaran pihak lawan. Peperangan antara Amerika dan Iraq dahulu telah menunjukkan bagaimana senjata bijak digunakan oleh Amerika untuk memusnahkan lokasi ketenteraan (juga lokasi orang awam) Iraq. Di dalam industri komputer, kita biasa mendengar kenyataan "plug and play" yang bermaksud kita cuma pasang perkakasan ke komputer dan terus guna kerana yang lainnya dilakukan secara automatik oleh perisian. Di dalam ketenteraan, diperkenalkan pula kenyataan "plug and shoot". Mungkin maksudnya ialah penggunaan senjata yang bijak, bermaklumat dan berasaskan jaringan akan lebih mudah dan tepat mengenai sasaran.

Dalam usaha membangunkan prasarana persenjataan dan peperangan berasaskan jaringan, para perancang ketenteraan Amerika menghadapi cabaran untuk membangunkan persekitaran pengoperasian yang sama untuk menghubung dan menggabungkan elemen-elemen terasing di dalam strategi maklumat Pentagon.

Kewujudan persekitaran pengoperasian yang sama untuk semua lapisan ketenteraan dan persenjataan adalah menjadi kunci utama untuk benar-benar menghasilkan keupayaan "plug-and-shoot" komander-komander peperangan.

Dari sudut lain pula, penggunaan IT di dalam ketenteraan adalah juga untuk mengurangkan kos operasi. Umpamanya, tentera laut Amerika telah memasang fiber optik dan sistem perkomputeran kepada kapal Aegis mereka, dan sekaligus mengurangkan bilangan tentera laut yang diperlukan untuk mengendalikan kapal Aegis tersebut.

Banyak yang dapat dipelajari dari inisiatif kerajaan Amerika dalam usaha mempertingkatkan kemampuan sistem ketenteraan mereka. Walaupun mungkin ada di antara teknologi yang digunakan itu tidak terdapat di dalam pasaran, sebenarnya sistem yang sedemikian sudah boleh dibangunkan dengan menggunakan perisian dan perkakasan komersil. Di sinilah terletaknya kreativiti kita untuk mencari jalan penyelesaian dari komponen-komponen teknologi yang ada.

Setelah memahami sedikit sebanyak sejauh mana Amerika telah mempersiap siagakan persenjataan dan ketenteraan mereka dengan IT, bagaimana dengan negara kita?

Kita serahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk memikirkannya.

______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet". Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Cyber Club, UPM-MTDC Technology Incubation Centre One, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-9161718/19/20, Faks : 03-4070866, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved