Cip Pemprosesan - Akan Semakin Canggih di Abad 21 Berita Komputer, September 17 1997

Di dalam semua jenis komputer dan peralatan bistari, ada dua elemen yang paling penting dan tidak dapat dipisahkan - cip pemprosesan dan perisian. Tanpa kedua-dua elemen ini, semua jenis komputer dan peralatan akan menjadi barangan yang tidak berfungsi.

Sehingga ke saat ini, cip pemprosesan (microprocessor chip) masih lagi melalui perubahan yang amat pantas dan keupayaannya terus bertambah dengan kadar yang cepat. Kini, penggunaan cip pemprosesan adalah amat meluas. Ianya ibarat "otak" kepada apa jua peralatan dan perkakasan. Hatta, jam dinding di rumah saya pun dipasangkan cip pemprosesan yang akan melaungkan takbir sebanyak tiga kali setiap kali satu jam berlalu. Tiada siapa menyangka, termasuk pencipta "otak" buatan ini, cip pemprosesan kini mempunyai aplikasi yang tiada sempadan dan kreatif.

Begitulah yang disebutkan oleh Jack Kilby, 73 tahun, dalam temuramah dengan CNN baru-baru ini. Beliaulah yang bertanggung jawab mencipta cip pemprosesan pertama dunia pada bulan September 1958, yang ketika itu lebih dikenali sebagai sirkit bersepadu (integrated circuit). Beliau sendiri tidak menyangka cip pemprosesan telah digunakan untuk menyanyikan lagu hari jadi apabila kad hari jadi dibuka.

40 tahun yang lalu, sirkit bersepadu ciptaan Kilby cuma bersamaan dengan satu transistor, tiga resistor dan satu kapasitor. Cip pemprosesan moden sekarang boleh memiliki sehingga 125 juta transistor di atas sekeping silikon dan digunakan dalam hampir semua benda, bermula dari peluru berpandu sehinggalah kepada mesin jawapan talipon dan permainan komputer tangan.

Kewujudan cip pemprosesan dan beberapa baris kod arahan atau perisian di dalam sesuatu benda akan menjadikan benda tersebut bistari (smart). Ianya boleh berfungsi secara automatik (mengikut arahan yang diprogramkan), menerima arahan dari benda lain atau dari jauh (remote access).

Kini, beberapa syarikat mahu mengeksploitasikan keupayaan cip pemprosesan dalam komputer lebih jauh dan canggih lagi. Kita mungkin tidak dapat membayangkannya sebelum ini.

Intel, syarikat pembuat cip pemprosesan terbesar dunia, mahukan kita dapat mencapai dan melunsur Internet walaupun sedang memandu kereta. Syarikat tersebut telah bergabung dengan syarikat kereta dari Perancis, Peugeot Citroen SA di Pameran Kereta Frankfurt untuk menunjukkan sebuah kereta yang dilengkapi dengan komputer peribadi yang menerima arahan melalui suara. Kereta sedemikian boleh menerima mel elektronik, mencari berita terkini dari Internet, mendapatkan maklumat terkini mengenai trafik, malah boleh juga memainkan filem digital untuk kanak-kanak yang duduk di bahagian belakang. Banyak lagi keupayaan lain yang boleh ditambah apabila sesebuah kereta itu memiliki cip pemprosesan yang berkuasa tinggi. Intel menjangkakan ada potensi pasaran untuk lima juta buah kereta yang dilengkapi dengan komputer berasaskan cip pemprosesan Intel dalam masa tiga tahun akan datang.

Beberapa syarikat lain juga sedang menyediakan pakej komputer yang boleh dipasang mudah ke kereta-kereta. Salah satu tugas komputer dalam kereta ialah sebagai sistem mengemudi ketika memandu. Dengan menggunakan hubungan dan jaringan talipon selular, para pemandu kereta boleh mencapai maklumat keadaan trafik yang terkini, ramalan kaji cuaca mutakhir, jadual penerbangan dan maklumat jalanraya. Pemandu juga boleh memberi arahan melalui suara untuk meminta komputer menyediakan mel elektronik, menerima faks, memeriksa panggilan talipon dan membaca berita dari Internet. Walaubagaimanapun, kecanggihan sebegini boleh memberi kesan kepada keselamatan pemandu di jalanraya jika tidak berhati-hati.

Sebuah lagi syarikat yang begitu agresif dan kreatif dalam industri cip pemprosesan ialah Lucent Technologies. Baru-baru ini, syarikat tersebut telah mengumumkan satu generasi baru cip komputer yang direkacipta untuk mengurangkan kos telekomunikasi dengan mengurangkan penggunaan kuasa elektrik di dalam cip-cip mereka. Cip pemprosesan mereka dengan siri DSP 16000 boleh mengurangkan kos komponen elektronik dalam perkakasan sehingga 50 peratus.

Cip pemprosesan baru ini lebih dikenali sebagai pemprosesan maklumat digital (digital signal processors). Apa jua barangan akan menggunakan cip ini untuk menukarkan maklumat elektrik ke dalam komputer untuk pemprosesan selanjutnya. Pesaing kuat dan tradisional Lucent Technologies dalam pasaran cip ini ialah Texas Instruments yang menguasai 45 peratus dari pasaran. Penjualan cip jenis ini telah melebihi jualan cip komputer jenis lain. Menurut Semico, menjelang tahun 2000, penjualan cip jenis ini akan bertambah dari nilai USD3.19 billion kepada USD6.56 billion.

Di samping dua syarikat utama yang disebutkan di atas (Intel dan Lucent Technologies), ada banyak lagi syarikat-syarikat kecil dan baru yang terus memperbaiki dan mencipta cip pemprosesan yang makin berkuasa dan makin canggih. Satu ketika dahulu, cip pemprosesan di dalam komputer peribadi cuma berkelajuan sekitar 4 MHz. Kini, sudah ada cip pemprosesan komputer peribadi yang mencapai kelajuan 400 hingga 500 MHz. Satu pertambahan kelajuan lebih seratus kali ganda.

Di Abad 21 kelak, fikirkanlah apa jua benda, perkakasan atau peralatan. Sudah pasti akan ditanamkan "otak" atau cip pemperosesan. Cip pemprosesan akan menjadi satu benda wajib dalam perkakasan yang bakal memberi kemudahan kepada manusia. Yang paling penting untuk diambil perhatian ialah semua benda, peralatan dan perkakasan ini akan diintegrasikan melalui komputer peribadi untuk membolehkan kawalan berpusat (centralized control) dilakukan.

Bayangkan satu hari yang pasti tiba - hampir semua peralatan dan perkakasan di rumah anda boleh dikawal selia melalui komputer peribadi anda dan dari mana jua melalui Internet !

_______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet". Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Pertanian Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-4699401, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm



is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved