Kekunci Digital - Cara Baru US Kuasai Dunia?
Berita Komputer, Mei 28 1997

Kesungguhan Kerajaan Malaysia untuk memperkasa dan mempersiapkan negara memasuki Era Maklumat abad 21 adalah begitu ketara sekali. Iltizam sedemikian dipelopori sendiri oleh Perdana Menteri kita yang terus menerus mempromosi Koridor Raya Multimedia atau "Multimedia Super Corridor (MSC)" di peringkat antarabangsa walaupun beliau sedang bercuti ketika ini.

MSC akan menjadi laluan perdana dan pantas kepada maklumat pelbagai media antara Malaysia dan dunia. Melalui tujuh (7) applikasi utama MSC, Malaysia akan menjadi negara bermaklumat, pengguna maklumat yang intensif dan membentuk sistem-sistem utama negara (ekonomi, pentadbiran, perhubungan) yang berasaskan teknologi maklumat dan kandungan maklumat. Walaubagaimanapun, model negara abad 21 ini mungkin terancam jika tiada keselamatan maklumat dan infrastruktur yang terkawal dan dipercayai.

Isu keselamatan dan "privacy" maklumat kini menjadi agenda hangat di Amerika Syarikat (US). Kerajaan Clinton kelihatannya tidak berputus asa untuk mencadangkan strategi baru walaupun usaha yang sama pada tahun 1993 untuk memperkenalkan "Clipper Chip" mendapat tentangan hebat dari masyarakat perniagaan dan awam. "Clipper Chip" adalah satu alat yang menyimpan maklumat kekunci digital utama (master key) untuk setiap teknologi enkripsi (encryption technology). Kerajaan Amerika adalah berhak untuk menggunakan "Clipper Chip" ini untuk "membuka" maklumat-maklumat rahsia untuk tujuan-tujuan penyiasatan.

Baru-baru ini, Kerajaan Clinton sekali lagi mencadangkan pengawalan teknologi kekunci digital untuk melindungi maklumat melalui pakej yang berbeza. Cadangan kali ini dinamakan Infrastruktur Antarabangsa Penyimpanan Kekunci Digital (global key-recovery-based encryption infrastructure). Infrastruktur dan sistem ini akan dibangun dan diseliakan oleh pihak ketiga di mana ianya akan menjadi pusat antarabangsa untuk "penyimpanan yang selamat" bagi semua kekunci digital yang digunakan untuk "mengunci" maklumat-maklumat yang rahsia, sensitif, peribadi dan berharga. Melalui kebenaran Kerajaan US, polis, agensi guaman dan agensi perisik akan diberi laluan untuk mendapat kekunci digital dari pusat ini bagi membolehkan penyiasatan ke atas maklumat yang diragui. Sekumpulan pakar dalam bidang kekunci digital telah membuat kajian terperinci akan implikasi teknikal yang bakal ditimbulkan oleh inisiatif terbaru ini. (Sila lawat http:// www.crypto.com/key_study/)

Oleh kerana implikasi cadangan Clinton itu bersifat antarabangsa, maka rakyat Malaysia yang bakal menjadi warga bermaklumat perlu prihatin dan meneliti setiap perkembangan tersebut. Lebih-lebih lagi kajian terbaru agensi perisik Amerika, "Central Intelligent Agency (CIA)" yang menyatakan "serangan maklumat siber" akan berlaku ke atas Amerika (http://www.emergency.com/cybercia.htm).

Teknologi digital telah membolehkan apa sahaja maklumat diubah bentuk dalam format digital dan dialirkan melalui lebuhraya maklumat seperti MSC. Jika MSC tidak menyediakan infrastruktur yang dipercayai dan selamat, syarikat-syarikat, individu dan orang awam akan merasa berat dan bimbang untuk membenarkan maklumat-maklumat mereka mengalir bebas melalui MSC.

Semua lapisan masyarakat memerlukan keselamatan dan perlindungan maklumat kerana semua jenis maklumat yang peribadi, sensitif dan berharga kini sudah beralih ke dalam bentuk elektronik. Contoh-contoh yang jelas ialah seperti:

  • Maklumat-maklumat peribadi dan komunikasi perniagaan seperti percakapan telefon, pesanan faks, mel elektronik
  • Pertukaran dan transaksi maklumat kewangan dalam bentuk elektronik
  • Maklumat perniagaan yang sensitif dan rahsia
  • Maklumat atau data yang digunakan untuk pengoperasian sistem infrastruktur kritikal seperti maklumat lalulintas udara, jaringan talipon, grid kuasa elektrik dan seumpamanya.

Dalam masyarakat Era Maklumat, kesemua bentuk maklumat di atas boleh diuruskan secara elektronik. Dengan terdedahnya maklumat-maklumat tersebut kepada negara luar yang sangsi, perisik industri, penjenayah canggih dan organisasi pengganas, akan menjadikan masyarakat kita terbuka kepada apa jua bentuk serangan, penganiayaan dan penindasan.

Keujudan Pusat Penyimpanan Kekunci Digital Antarabangsa boleh memberi beberapa ancaman yang perlu difikirkan bersama.

Sistem yang rumit dan terbuka kepada pencerobohan - seperti yang dirumuskan oleh 11 orang pakar kekunci digital, sistem yang dicadangkan itu adalah "tersangat rumit untuk dicipta, dibangunkan, dibuat penilaian dan dioperasi dengan selamat dan terkawal". Dalam sebuah sistem yang rumit, akan selalu ada "loop holes" dan kesilapan teknikal yang mendedahkan kekunci digital kepada bahaya luar.

Pusat yang menjadi tumpuan penjenayah canggih - 11 orang pakar tersebut juga memberi amaran akan bahayanya menyimpan semua kekunci digital di satu pusat atau tempat. Ianya akan menjadi tumpuan kepada penjenayah canggih dan "hackers" untuk mencuba nasib dan memecah masuk demi mendapatkan maklumat yang mahal itu.

Keujudan manusia yang tidak jujur dan pecah amanah - Sudah pasti, penjaga pusat tersebut akan mengetahui semua kekunci digital tersebut dan jika ada yang tidak jujur dan pecah amanah, maka kekunci digital akan jatuh ke tangan pihak yang tidak diingini.

Kelebihan kompetitif kepada pemilik Pusat (Amerika) - Amerika sudah tentu mahu meletakkan Pusat Penyimpanan Kekunci Digital tersebut dibawah seliaan mereka. Dengan itu, mereka memiliki kelebihan kompetitif dalam semua bidang jika dibanding dengan negara lain termasuk Malaysia. Maklumat adalah simbol kuasa di Era Maklumat sama seperti kekuasaan peralatan tentera di Era Perang Dingin yang baru terkubur. Siapa yang lebih dahulu mengetahui, maka ia akan lebih dahulu bersedia dan bertindak.

Kita tidak mahu kita "jatuh ke dalam lubang yang sama dua kali - hadis" atau "keluar dari mulut buaya kemudian masuk ke mulut singa". Undang-undang siber yang kita bentuk untuk "Masyarakat Internet" kita mesti memelihara rakyat dari penjajahan bentuk baru ini. Sehingga kini, hampir semua piawaian antarabangsa (international standards) adalah bermula dari syarikat dan kerajaan Barat. Ianya lebih halus dan berpihak (bias) kerana piawaian tersebut tertanam di dalam kod-kod program komputer yang kini banyak mengawal cara hidup kita tanpa disedari. Kita mahu maklumat yang mengalir di dalam selirat fiber optik MSC itu adalah terpelihara demi memastikan MSC mendapat kepercayaan dan keyakinan pengguna dan pelabur tempatan serta luaran.



is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved