Bersukan dan Mencari Kerja di Internet
Berita Komputer, Januari 29 1997

(Nota : keluaran kali ini adalah bahagian ke 5 dalam pembentangan topik "Kebangkitan Komuniti Elektronik. Tajuk adalah terpulang kepada Editor, yang penting - menarik)

Di samping industri percutian dan pelancongan, aktiviti sukan juga kini telah mula memanfaatkan teknologi Internet untuk menjangkau terus kepada pelanggan dari seluruh dunia. Sukan umpamanya, ada proses-proses pengguna yang tersendiri seperti mendapatkan keputusan sesuatu pertandingan sukan, menonton perlawanan, menghadiri sesuatu perlawanan dan berhubung dengan peminat sukan lain. Di dalam dunia sekarang yang bukan elektronik, media dan cara yang berbeza diperlukan untuk memenuhi kehendak-kehendak di atas. Siaran berita TV dan ruangan sukan dalam suratkhabar selalunya membuat pengumuman keputusan perlawanan; siaran langsung perlawanan selalunya melalui TV dan radio; penjualan tiket pertandingan selalunya dibuat di kaunter dan agensi penjualan tiket. Melihat kepada jumlah bilangan peminat sukan yang amat besar (secara global), gelagat peminat sukan yang sentiasa mahukan maklumat sukan yang diminati dan juga kesediaan mereka untuk berbelanja besar kerana sukan, proses pengguna peminat sukan adalah amat berpotensi untuk dirobah menjadi komuniti elektronik.

Begitulah yang dilihat oleh Starwave, sebuah syarikat di Bellevue Washington, hasil pemikiran dan ide Paul Allen yang juga salah seorang pemilik dan "billionaire" Microsoft. Perniagaan Starwave memberi fokus kepada proses pengguna yang berkaitan dengan sukan, hiburan, aktiviti luaran dan keibubapaan.

Dalam bulan November 1994, Starwave telah melancarkan komuniti elektroniknya yang pertama (dari empat buah komuniti elektronik), perkhidmatan untuk peminat sukan di Internet. Allen telah bekerjasama dengan syarikat penyiaran sukan terkenal ESPN untuk mengadakan ESPNet Sports Zone (http://espn.sportszone.com) di World Wide Web. Sejak itu, komuniti elektronik sukan ini telah menjadi tumpuan peminat sukan seluruh dunia. SportsZone telah menjadi salah satu tempat yang paling popular di Internet. Keuntungan melalui pengiklanan mencapai nilai jutaan ringgit. Bayaran keahlian sebanyak USD4.95 sebulan dan tawaran kandungan yang ekstensif (seperti video klip sukan terpilih dan pendapat pakar sukan yang ramai) telah menarik 140,000 pelanggan berbayar dari seluruh dunia. Starwave meramalkan keahlian SportsZone akan melepasi keahlian dalam Sports Illustrated (dengan keahlian 3.1 juta orang) menjelang tahun 1998.

Apakah sebab utama kepada perkembangan mendadak dalam perkhidmatan ini ? Komuniti elektronik sebenarnya telah melebihi media lain dalam beberapa dimensi utama untuk peminat sukan: ilmu pengetahuan, jaringan (networking) dan keupayaan berinteraksi. Dalam menyediakan ilmu pengetahuan, ESPNet SportsZone adalah apa yang diimpikan oleh peminat sukan. Komuniti ini menyediakan maklumat terkini, kedudukan markah dan statistik untuk 40 jenis sukan dari seluruh dunia, malah dikemaskini sepanjang masa. (Allen juga memiliki syarikat utama dalam menyediakan maklumat statistik sukan). Seorang peminat sukan baseball umpamanya, boleh mendapatkan maklumat yang sangat lengkap mengenai seseorang pemain baseball yang diminati, seperti, sejarah hidupnya, prestasinya dalam sesuatu perlawanan, apakah perlawanan terbaik baginya dan di mana dan banyak lagi. Kandungan maklumat statistik yang dikemaskini setiap hari, tidak boleh ditandingi mana-mana media cetak dan penyiaran. Dalam dimensi jaringan, peminat-peminat boleh membentuk forum diskusi untuk membincang atau "bersembang" tentang sesuatu perlawanan, bermain "games" antara mereka dengan memilih pasukan sukan secara simulasi. Dalam keupayaan berinteraksi, komuniti menyediakan ruang untuk ahli-ahlinya terlibat dalam memberi undi dan markah dan terlibat dalam temuramah "on-line" dengan pemain sukan terkemuka.

Starwave juga mempunyai keupayaan untuk mengumpulkan perkhidmatan setempat (aggregation). Sebagai petanda yang SportsZone akan menyediakan penyiaran sukan, SportsZone telah pertama kalinya membuat siaran langsung perlawanan baseball melalui Internet. Yang penting juga, Allen memiliki 80% saham dalam TicketMaster, agensi pengeluar tiket terbesar Amerika yang memegang lesen eksklusif mengeluarkan tiket di banyak stadium. Apa yang dapat dijangkakan kelak, pengguna ESPNet SportsZone boleh melihat status terkini sesuatu perlawanan dan kemudian terus membeli tiket secara "on-line". Lebih dari itu, TicketMaster kini sedang membentuk sistem komputer yang akan membenarkan pembeli tiket memilih tempat duduk dan "mencuba" menonton dari situ secara "on-line" sebelum membuat keputusan membeli tiket tersebut.

Proses Pengguna dalam proses mencari kerja juga adalah amat berpotensi untuk dibentuk komuniti elektronik. Dalam dunia sekarang, proses mencari kerja adalah terpencar (fragmented), remeh tetapi kritikal. Industri mencari dan penyediaan kerja ini mengandungi syarikat-syarikat yang melakukan kerja-kerja pencarian, latihan dan "match-making", media menyiarkan iklan pekerjaan dan peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta, pusat-pusat pengajian menyediakan khidmat nasihat kepada bakal graduan yang akan bekerja, kaunseling dalam karier, penyediaan resume. Jika dilihat, Proses Pengguna dalam bidang ini tidak terkumpul atau aggregation (iaitu terlalu terpencar dan memakan masa), maklumat yang kurang (ramai bakal pekerja masih belum memahami dunia pekerjaan dan peluang dalam karier mereka).

Beberapa syarikat telah menerokai pembentukan komuniti elektronik industri ini di Internet. Dua buah syarikat yang menjadi contoh ialah Bernard Hodes Advertising dan Mainstream Online yang akan menunjukkan bagaimana industri ini akan dirobah sekitar Proses Pengguna dalam mencari kerja. Bernard Hodes umpamanya memaparkan contoh yang jelas bagaimana sesebuah syarikat yang kreatif dapat merobah dirinya dari cara konvensional dan lama (Proses Pengeluar) kepada cara baru Proses Pengguna yang dapat memanfaatkan teknologi Internet.

Bernard Hodes adalah agensi terbesar Amerika yang menyediakan perkhidmatan mencari kerja. Empat tahun lalu, mereka menggunakan cara konvensional dalam menyediakan perkhidmatan ini sehinggalah mereka membuat kajian penggunaan komputer dan media elektronik dalam proses pencarian kerja. Pada mulanya, Bernard Hodes berbincang dengan penyedia laluan elektronik seperti Prodigy bagaimana mereka boleh menyebarkan maklumat kerja pelanggannya. Apabila World Wide Web menjadi isu panas pada tahun 1993, mereka segera mewujudkan tapak web mereka yang dinamakan CareerMosaic. CareerMosaic (http://www.careermosaic.com) pada awalnya tidak lebih daripada brochure atau papan iklan elektronik. Mereka mendapati kemudian Internet boleh menyediakan keupayaan lebih dari itu. CareerMosaic kini boleh menyenaraikan peluang kerja dari majikan, mengumpulkan resume secara "on-line", membuat "match-making" antara kerja dan bakal pekerja. Setiap bulan, lebih 400,000 pencari kerja melawat tapak Web CareerMosaic. Di antara syarikat bertaraf antarabangsa yang menggunakan perkhidmatan ini ialah AT&T, Dun & Bradstreet, Microsoft, Chemical Bank, Dell Computer and Arizona Public Service Co.

CareerMosaic sebenarnya telah merobah proses mencari kerja di sekitar Proses Pengguna. Sekaligus, CareerMosaic telah melakukan tugas akhbar cetak dalam mengiklankan kerja (bisnes bernilai USD3 billion di US), tugas agensi pekerjaan dalam memadankan kerja dengan bakal pekerja (bisnes bernilai USD25 billion). CareerMosaic melakukan pengumpulan (aggregation) dengan meletakkan peringkat-peringkat proses pencarian kerja setempat, menghubungkan nasihat karier dengan syarikat terbabit untuk menambahkan pengetahuan, menyediakan "customization" dalam proses pemadanan.

Begitulah contoh-contoh yang dapat dipaparkan di sini dan dalam artikel yang lalu. Ianya telah dimulakan di Amerika hampir tiga tahun yang lalu. Dalam konteks Malaysia, potensi besar sedang menunggu apabila masyarakat Malaysia berbondong-bondong mengadaptasikan Internet dalam kehidupan. Kita lihat banyak Proses Pengguna dalam kehidupan rakyat Malaysia boleh dibentuk komuniti elektronik. Apakah pilihan strategik pengurus dalam memanfaatkan teknologi Internet ini ? Ikuti perbincangan ini di dalam artikel selanjutnya.


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved