Siapa Mahu Jadi
Ketua Pegawai Maklumat?
Berita Komputer, Oktober 15 1997

Bil. Artikel : Dua Puluh Tujuh
Penulis : Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie*

 

Industri teknologi maklumat adalah salah satu industri yang paling dinamik dan pantas berubah. Pembudayaan teknologi maklumat bukan sahaja merubah cara kerja malah struktur penyusunan dan posisi di dalam organisasi. Sebagai bukti bahawa maklumat akan menjadi faktor penentu daya saing dan kejayaan, kini sudah banyak syarikat yang tertumpu kepada teknologi maklumat mewujudkan posisi di dalam syarikat berasaskan maklumat. Posisi-posisi seperti "Ketua Pegawai Maklumat", "Ketua Pegawai Pembelajaran" dan Ketua Pegawai Pengetahuan" kini mengambil tempat penting di dalam syarikat-syarikat sebegini. Walaupun posisi-posisi sebegini meliputi skop tugas yang luas seperti penyelidikan, latihan, koordinasi maklumat dan menyusun maklumat strategik, ramai yang bersetuju bahawa tugas utama mereka ialah untuk menghasilkan "leverage" daripada maklumat dan pengetahuan teknikal serta perniagaan.

 

Maka keperluan kepada pakar pengetahuan dan maklumat terus meningkat. Melihat peluang ini, sebuah universiti di Amerika Syarikat, University of California, telah memperkenalkan program sarjana muda untuk melatih pelajar kepakaran yang diperlukan untuk menjadi pegawai maklumat atau kepakaran yang berkaitan dengannya.

 

Negara terkehadapan dalam teknologi maklumat, Amerika Syarikat, memandang serius akan kekurangan tenaga kerja teknologi maklumat pada masa akan datang. Dalam sebuah kajian terbaru yang bertajuk "America's New Deficit: The Shortage of Information Technology Workers", yang dijalankan oleh Jabatan Perniagaan Amerika, kekurangan tenaga kerja berteknologi tinggi di sana kini menjangkau 190,000 orang dan menjangkakan akan lebih teruk jika tiada tindakan segera diambil. Lebih spesifik lagi, kajian mereka menunjukkan Amerika memerlukan purata 95,000 orang pekerja maklumat yang baru setiap tahun sedangkan hanya 25,000 pelajar Amerika yang memiliki ijazah sarjana muda di dalam komputer dan sains maklumat pada tahun 1994.

 

Dengan berkembang pesatnya penerimaan teknologi maklumat dalam kehidupan oleh manusia seluruh dunia, maka apa yang berlaku di Amerika kini akan cepat menular ke negara-negara lain, termasuk Malaysia yang berazam untuk menjadikan Koridor Raya Multimedia sebagai pemangkin kepada negara Malaysia yang bermaklumat sepenuhnya pada tahun 2020.

 

Saya berpendapat universiti-universiti di Malaysia sekarang perlu mengambil iktibar dari inisiatif yang diambil oleh sebuah universiti di Amerika. Dengan adanya Koridor Raya Multimedia, keperluan kepada pekerja maklumat adalah pasti dan universiti yang kebanyakannya telah diswastakan akan mendapat ganjaran dari program-program yang mereka sediakan.

 

Untuk mengukuhkan lagi kepentingan program-program sebegini di universiti, seorang penganalisa veteran, Encik Wayne Toms dari Delphi Consulting Group Inc. di Boston telah memperakui program dan modul latihan dari University of California tadi. "Pengetahuan dan maklumat adalah saling berkait rapat," kata beliau. "Memahami maklumat, mengetahui bagaimana manusia belajar, dan bagaimana manusia mengajar adalah sama-sama penting. Apabila sesebuah organisasi itu telah yakin akan apakah pengetahuan yang mereka ada dan bagaimana mahu mengurusnya, mereka boleh mencapai kejayaan lebih baik dari sebelumnya." Ketua Pegawai Pengetahuan atau "Chief knowledge officer" menjalankan tugas di atas seperti menyediakan struktur di mana maklumat atau pengetahuan daripada sesebuah bahagian dapat dicapai dan dikongsi sama oleh sesiapa sahaja di dalam syarikat.

 

Skop kerja dan bidang tugas pegawai maklumat dan pengetahuan dijangka akan berkembang kerana kebanyakan syarikat akan tertumpu kepada kakitangan (fokus utama maklumat dan pengetahuan) daripada teknologi yang sentiasa berubah. Menurut David Jones, Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi di Xerox Professional Document Services, "tugas seseorang pegawai pengetahuan atau maklumat sebenarnya berkaitan rapat dengan perubahan budaya. Selagi budaya sesebuah organisasi itu tidak dirubah, selagi itulah organisasi tersebut tidak akan mendapat manfaat daripada teknologi (seperti teknologi maklumat)."

 

Posisi-posisi yang disebutkan di atas telah diwujudkan dengan berkembangnya kepentingan pengetahuan dan maklumat dalam semua bidang kehidupan. Akan banyak lagi posisi (dan skop kerja baru) yang akan dibentuk untuk menguruskan pengetahuan dan maklumat dalam pelbagai kategori. Ini bermakna akan wujud lebih banyak peluang pekerjaan baru yang memerlukan para pekerja yang sudah sedia dari segi paradigma, budaya kerja, teknologi maklumat dan sesuatu fokus pengetahuan dan maklumat yang mahu diuruskannya.

 

Lihat bagaimana keseriusan Amerika Syarikat dalam isu ini apabila Setiausaha Perniagaan mereka merumuskan di dalam laporan kajian terbaru yang disebut sebelum ini, "kekurangan meruncing tenaga kerja yang boleh mengurus maklumat dan pengetahuan berasaskan teknologi maklumat boleh membahayakan inovasi, produktiviti dan daya saing Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa."

 

Keperluan kepada pegawai-pegawai pengetahuan dan maklumat di Malaysia dijangkakan akan meningkat secara drastik. Sekurang-kurangnya bermula daripada bulan Februari 1998 (4 bulan lagi !) dan tahun-tahun berikutnya. Perlaksanaan projek-projek pilot aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia kebanyakannya akan bermula pada bulan Februari 1998 dan seterusnya.

 

Sekali lagi, kita rakyat Malaysia jangan lepaskan peluang ini. Syarikat-syarikat tempatan yang tidak mewujudkan posisi-posisi sedemikian, anda dikhuatiri tidak lagi kompetitif dan berdaya saing pada abad akan datang. Posisi-posisi sedemikian perlu diisi oleh anak-anak tempatan kerana hanya anak-anak tempatanlah yang lebih layak melakukan perubahan budaya. Jangan dibiarkan "luka lama berdarah kembali".
______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet"... Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Pertanian Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-4699401, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm



is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved