Keperluan Asas Proses Pengguna
Berita Komputer, Januari 15 1997

(Nota : keluaran kali ini adalah bahagian ke 3 dalam pembentangan topik "Kebangkitan Komuniti Elektronik)

Memahami keperluan asas Proses Pengguna adalah penting dalam konteks pembentukan Komuniti Elektronik tempatan yang bakal memanfaatkan sepenuhnya prasarana dan applikasi dalam lebuhraya maklumat induk kita - Koridor Raya Multimedia. Seperti yang saya nyatakan dahulu, kita tidak mahu Koridor Raya Multimedia hanya menjadi gajah putih, dan lebih membimbangkan lagi jika orang luar yang membentuk komuniti elektronik mengikut citarasa mereka.

Champy dan rakan-rakan telah mengenal pasti tujuh keperluan asas Proses Pengguna dan diperincikan di bawah.

1. Ilmu Pengetahuan

Pengguna akan mencari maklumat-maklumat yang berkaitan sebelum membuat keputusan yang paling sesuai. Usaha pencarian adalah termasuk mendapatkan alternatif, harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan, dan kualiti barangan dan perkhidmatan tersebut. Pengguna kini dengan mudah dapat mencapai lautan maklumat dan ilmu pengetahuan secara "on-line". Penciptaan World Wide Web pada tahun 1991 dan penerimaan pengguna kepada perkhidmatan elektronik seperti CompuServe, America Online dan Prodigy telah memudahkan pencarian maklumat dan sekaligus menurunkan harga penggunaan maklumat. Setiap masa, para pengguna boleh memperolehi maklumat khas (seperti majalah Laporan Pengguna) dan mencapai pakar-pakar seperti peguam, kaunselor dan penasihat kewangan secara elektronik.

2. Interaksi

Diperlukan dalam berkomunikasi dengan penyedia barangan dan perkhidmatan. Fasiliti sebegini akan menjadi kritikal dan amat diperlukan jika sesuatu Proses Pengguna itu kompleks dan merumitkan. Proses mencari kerja, membeli rumah dan mencari kolej yang sesuai untuk anak-anak adalah di antara contoh aktiviti kehidupan yang mempunyai Proses Pengguna yang kompleks. Sebenarnya, ketidak upayaan media-media akhbar bercetak untuk menyediakan interaktiviti telah menyebabkan ianya terhad dalam membantu menyelesaikan Proses Pengguna. Sebaliknya, Internet telah menyediakan keupayaan sedemikian yang menjadikannya medium untuk interaksi dua-hala atau pelbagai hala.

3. Jaringan

Usaha mencari dan berbincang/berbicara dengan pengguna lain yang berkongsi keperluan dan pengalaman yang sama. Di antara usaha-usaha awalan (sebelum penggunaan Internet terkenal) dalam membentuk jaringan adalah seperti kumpulan koperasi, kumpulan-kumpulan sokongan dan pertubuhan alumni. Salah satu usaha terawal dalam membentuk jaringan secara elektronik ialah radio ham. Dalam dunia sekarang dengan jaringan komputer global, pembentukan jaringan telah muncul dalam bentuk baru dan diperhebatkan kerana keterbatasan masa dan geografi telah tiada. Keupayaan membentuk jaringanlah yang menyebabkan Internet cepat diterima pakai oleh para penyelidik, saintis dan kakitangan kerajaan ketika ianya diperkenalkan.

4. Pengalaman Melalui Deria

Dengan menggunakan keupayaan komputer menayangkan gambar, memperdengarkan bunyi dan sentuhan melalui sarung tangan khas dalam membantu membuat keputusan pengguna. Teknologi terkini seperti "Virtual Reality" sedang berkembang dengan begitu cepat sehingga ke satu tahap di mana pengguna akan menikmati pengalaman melalui deria yang hampir lengkap secara "on-line". Penjualan rumah secara elektronik umpamanya akan cepat popular sekiranya ia boleh menggantikan lawatan ke rumah secara fizikal. Lebih banyak kita boleh membuat lawatan dan pemeriksaan rumah secara elektronik, maka lebih kuranglah kita perlu bergerak secara fizikal (yang selalunya memakan masa, tenaga dan kos). Di suatu peringkat kelak, pengalaman melalui dunia elektronik akan menggantikan pengalaman seumpamanya dalam dunia sebenar; Teknologi "Virtual Reality" umpamanya, akan membolehkan pembeli kereta membuat uji pandu secara elektronik (seperti permainan kereta lumba yang ada sekarang).

5. Kesediaan atau "ubiquity" (maklumat)

Mendapatkan apa sahaja maklumat dengan segera tidak kira masa dan tempat. Internet dan teknologi "on-line" yang lain telah memudahkan pengguna mencapai pelbagai maklumat dan perkhidmatan mengikut masa dan kehendak pengguna. Contohnya, peminat sukan tidak perlu lagi menunggu surat khabar hari esok untuk mengetahui keputusan perlawanan malam ini. Pencapaian maklumat di Internet dari rumah telah menjadi "trend" popular yang membuktikan bagaimana teknologi maklumat telah meningkatkan keupayaan pengguna. Penggunaan Internet akan melata sebagaimana ATM (automatic teller machines) bank-bank telah diterima pakai.

6. Barangan setempat (aggregation)

Ialah mengumpulkan beberapa barangan dan perkhidmatan perlu di dalam Proses Pengguna. Apabila penduduk-penduduk bandar besar di Amerika Syarikat berhijrah beramai-ramai ke pinggir bandar dalam tahun 50-an, mereka dapati usaha membeli-belah adalah amat menyulitkan. Kedai-kedai tidak ada berhampiran mereka sebagaimana di bandar. Sebagai tindakbalas, pembangun kawasan perumahan telah membangunkan juga pasaraya yang membolehkan "aggregation" atau pengumpulan barangan perlu setempat. Dengan konsep yang sama, pembangun komuniti elektronik telah meletakkan setempat barangan dan perkhidmatan untuk melengkapkan Proses Pengguna. Dalam proses membeli rumah umpamanya, maklumat pembangun rumah, rumah, peguam, jabatan kerajaan yang terlibat akan diletakkan setempat dan saling dihubung kaitkan (hyperlink). Tanpa teknologi seperti Internet, memenuhi proses-proses seperti di atas adalah lebih mahal.

7. Mengikut citarasa (customization)

Menyediakan barangan mengikut citarasa pengguna daripada membuat hanya satu saiz untuk semua. Contohnya, dalam proses membeli rumah melalui komuniti elektronik the National Association of Realtors, pengguna boleh membuat pilihan dari 45 kriteria yang berbeza. Pengguna boleh memilih berapa banyak tempat pembakar kayu diperlukan atau berapa saiz garaj kereta yang diperlukan. Keupayaan komputer dalam membuat kiraan matematik kompleks adalah amat membantu dalam mendapatkan "matching" barangan yang diperlukan oleh pengguna.

Itulah tujuh keperluan asas dalam Proses Pengguna yang perlu difahami oleh pembangun komuniti elektronik di tanahair. Kita lihat penggunaan komputer kini bukan lagi terbatas kepada menaip, bermain "games", dan menjadi alat kumpulan elit. Komputer yang dihubungkan dengan Internet akan memberi kuasa tambah (empowerment) kepada pengguna. Ingatkah kita bagaimana seorang yang cacat (lumpuh) merasakan hidupnya bersinar kembali apabila beliau boleh menjalankan "aktiviti" melalui Internet ?

Sebenarnya keperluan asas ini saling berkait dan susah dipisahkan. Maka, keupayaan pembangun komuniti elektronik melihatnya dalam bentuk berasingan dan bersama adalah membantu. Langkah seterusnya ialah untuk memahami bagaimana teknologi Internet dimanfaatkan sepenuhnya di Amerika dengan melihat contoh-contoh penggunaan dengan lebih terperinci. Sila ikuti sambungan seterusnya.


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved