Jangan Hanyut Dalam Arus Digital
Berita Komputer Ogos 6 dan 13 1997

Saya sempat menghadiri majlis pelancaran 15 Kertas Cadangan Permohonan Tender (CRFP) bagi projek perintis empat aplikasi perdana oleh Perdana Menteri (PM) kita pada 26 Julai 1997 yang lalu.

PM telah memberi ucap utama yang berisi kepada hadirin yang penuh sesak memenuhi dewan utama Hotel Nikko. Di ikuti pula dengan majlis pelancaran yang gilang gemilang, canggih, berwarna-warni dan menimbulkan rasa Izzah (besar hati kerana Allah) akan pencapaian pemimpin dan rakyat Malaysia sehingga kini. Majlis pelancaran ini sebenarnya menjadi batu tanda utama dalam perjalanan Malaysia dan rakyatnya menuju Abad 21 yang kian mencabar.

Satu ungkapan dari PM yang saya tidak dapat lupakan dan masih terngiang-ngiang hingga kini ialah apabila beliau menyebut, "BE PREPARED, BEFORE YOU ARE CAUGHT UNPREPARED" atau "Bersedialah, sebelum anda tertangkap atau terperangkap dalam keadaan tidak bersedia". Nasihat PM ini adalah juga sebagai peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersedia dari sekarang memandangkan kerajaan sendiri telah komited dan bersungguh-sungguh untuk membawa Malaysia ke 'Alaf Baru Abad 21.

Ungkapan yang pendek itu membawa maksud yang besar implikasinya kepada Malaysia dan rakyatnya di tahun-tahun yang mendatang. Koridor Raya Multimedia adalah satu bukti jelas akan sumbangan kerajaan untuk merealisasikan masyarakat bermaklumat pada tahun 2020. Kini, masyarakat pula yang perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma, berubah sikap, berfikiran positif, mempelajari teknologi baru dan membudayakan cara hidup baru yang kian hari tidak dapat lari dari pengaruh teknologi dan maklumat.

Dengan dunia sekarang sedang dalam arus perdana menuju Era Maklumat, adakah semua kita sudah bersedia? Atau kelak kita akan terkejut kerana terperangkap dalam keadaan tidak bersedia, walhal dunia sudah amat jauh meninggalkan kita? Saya ingin senaraikan beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian serius agar setiap perubahan yang sedang berlaku, terutamanya dalam Teknologi Maklumat, dapat kita adun dan serasikan mengikut ACUAN KITA sendiri.

Pendidikan - Maklumat yang mengalir pantas dan efisien akan memberi impak yang besar kepada pembelajaran dan pendidikan. Bill Gates pernah menyebut bahawa dengan adanya Internet, seorang pelajar boleh memiliki ilmu pengetahuan dari ramai guru, dari seluruh pelosok dunia. Maka, sistem pendidikan kini, yang bersifat tempatan, bersiri dan memiliki sistem saringan dalaman, akan menjadi tidak relevan dalam suasana baru. Kita perlu BERSEDIA dengan sistem pendidikan baru yang mengambil kira teknologi, maklumat yang dinamik dan perhubungan global yang kian mudah dan murah

Undang-undang Siber - Internet telah menjadikan dunia semakin kecil dan keupayaan berkomunikasi secara multimedia semakin menjadi sebahagian dari hidup. Beratus juta manusia akan berinteraksi melalui media elektronik yang lebih dikenali dengan Dunia Siber. Maka dunia baru yang tidak mengenal halangan sempadan, masa dan tempat ini memerlukan undang-undang tersendiri. Maka, kita sekali lagi perlu BERSEDIA untuk memastikan undang-undang Siber yang sedang dibentuk memenuhi agenda dan acuan perdana Malaysia.

Piawai Universal - Syarikat-syarikat gergasi teknologi maklumat seperti Microsoft, Sun Microsystem, Hewlette Packard dan IBM sedang berlumba-lumba mahu menonjolkan piawai perisian dan perkakasan masing-masing sebagai piawaian universal. Tanpa kita sedari, piawaian yang dikenakan (imposed) kepada pengguna terakhir (end-user) seperti kita, sebenarnya membentuk budaya kerja dan pemikiran mengikut piawaian tersebut. Untuk Malaysia menjadi tempat rujukan Ummah sejagat, maka kita juga perlu BERSEDIA mencapai tahap boleh menjadikan piawai mengiktu ACUAN KITA diterima pakai oleh masyarakat dunia.

Keselamatan Negara - Dalam semua keadaan, musuh akan mendapatkan maklumat dahulu sebelum merancang, membuat strategi dan bertindak. Apabila seluruh negara sudah dijaringkan, maka isu keselamatan akan menjadi lebih kritikal, lebih-lebih lagi di peringkat negara. Secara teorinya, semua maklumat (yang tidak dilindungi sebaik mungkin) yang mengalir di Internet, boleh disaring, tapis dan simpan oleh sesebuah entiti yang berkelengkapan canggih. CIA (Central Intelligent Agency of USA) sendiri pun ada "Internet" mereka sendiri yang lebih selamat dari "kebocoran" maklumat. Maka, kita perlu BERSEDIA dengan segera untuk memiliki teknologi dan budaya yang dapat melindungi kita dan negara dari kecurian maklumat sensitif dan kritikal yang membahayakan negara.

Hak Individu - Apabila segala maklumat, sehinggalah ke peringkat individu, sudah ditukar dalam format digital dan elektronik, ianya sudah boleh disalur dan dicapai melalui Internet. Juga, setiap "gerak-geri" individu yang melunsuri Internet, sudah boleh dikesan dan diikuti. Hak Individu sekarang sedang terancam. Maka, kita perlu BERSEDIA untuk mempersiapkan setiap warga Malaysia untuk lebih bersedia dan "alert" akan maklumat peribadi mereka. Cereka "The Net" sudah cukup menggambarkan bagaimana maklumat boleh dimanipulasikan untuk merosakkan kehidupan seseorang.

Budaya Malaysia - Internet yang menjaringkan ratusan juta manusia dari pelosok dunia, telah juga menjurus kepada pertembungan pelbagai budaya manusia. Sudah pasti, budaya yang lebih dominan akan lebih mempengaruhi dan menguasai pemikiran dalam jangkamasa panjang. Cuba renung baik-baik generasi muda sekarang yang bakal memimpin rakyat dan negara pada Abad 21, apakah acuan yang sedang membentuk budaya, pemikiran dan gerak laku mereka? Adakah budaya Melayu, Tionghua, India, Zapin, Mak Inang ataupun budaya rambut panjang, rock, heavy metal, "easy come easy go lifestyle", dadah, rasuah dan seumpamanya. Maka kita perlu lagi BERSEDIA untuk memastikan segala prasarana teknologi maklumat yang kita bina mesti memelihara budaya timur dan Asia yang lebih positif.

Sebenarnya, banyak lagi persediaan-persediaan yang perlu kita buat dalam kita membina Tamaddun Bangsa gemilang Abad 21. Ayoh kita BERSEDIA, sebagaimana pesan Perdana Menteri:

"BE PREPARED, BEFORE YOU ARE CAUGHT UNPREPARED"

_______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet". Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Pertanian Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-4699401, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved