Kebangkitan Komuniti Elektronik - Bahagian 2
Berita Komputer, Januari 8 1997

Lambat laun, keujudan komuniti-komuniti elektronik akan memberi kesan yang besar kepada semua syarikat yang menghasilkan barangan dan perkhidmatan pengguna, bukan setakat ke atas perkhidmatan berasaskan maklumat sahaja. Mereka akan menjadi satu pasaran baru yang luas dan bersifat global di mana berbillion ringgit barangan dan perkhidmatan akan dijual-beli. Mereka akan mencetuskan perobahan dalam strategi pemasaran dan perniagaan, definisi baru kepada sesuatu perniagaan, apakah yang ditawar, siapakah yang menjadi saingan dan dengan siapa pula kerjasama perniagaan diadakan. Komuniti-komuniti ini akan menjurus kepada definisi semula struktur industri yang sejak dari awal Zaman Industri telah disusun atur mengikut Proses Pengeluaran (production process) - satu proses yang bermula dari bahan-bahan mentah dan berakhir kepada barangan-barangan siap untuk pengguna. Dan mereka juga akan menamatkan keujudan syarikat-syarikat yang tidak dapat menambah nilai kepada pasaran-pasaran elektronik yang menyediakan hubungan terus antara penyedia barangan dan perkhidmatan dengan pengguna.

Syarikat-syarikat yang masih ujud dan memberi barangan dan khidmat melalui saluran baru ini, akan berhadapan dengan piawai prestasi yang sama sekali baru dan berbeza dengan piawai prestasi konvensional. Syarikat-syarikat ini akan melihat satu peralihan besar dalam kuasan pasaran (market power), dari para pengeluar kepada para pengguna. Peralihan ini sebenarnya sudah bermula sekitar tahun 1970-an dengan bermulanya persaingan berbentuk global dan keupayaan pengguna untuk memilih. Ianya dipercepatkan lagi pada tahun 1980-an dengan gerakan-gerakan yang menekankan kualiti (eg. Total Quality Management) dan "reengineering". Komuniti-komuniti elektronik yang sebenarnya terdiri dari individu-individu pengguna akan mula memberi kesan besar ke atas kuasa pasaran seperti mana yang pernah dilakukan oleh pengeluar-pengeluar berteknologi seperti Wal-Mart dan Target pada tahun-tahun 80 dan 90-an.

Keujudan komuniti-komuniti elektronik bukanlah perkara baru. Pada permulaan keujudan Internet, para pemikir akademik, pensyarah, penyelidik, dan kakitangan kerajaan telah menggunakan jaringan komputer dan membentuk komuniti yang memenuhi kehendak bersama. Membuat sasaran pasaran ke atas segmen-segmen pengguna yang kecil juga bukanlah perkara baru. Penerbitan-penerbitan khas, saluran-saluran TV yang banyak, katalog untuk tempahan melalui mel, kempen pemasaran menggunakan pengkalan maklumat dan lain-lain media telah menyediakan alat kepada syarikat untuk memperkemaskan strategi segmentasi pengguna. Walaubagaimanapun, penciptaan "World Wide Web" melalui Internet di awal 1990-an dan penggunaan komputer peribadi yang menular dan meluas (pervasive) sehingga ke rumah-rumah telah memberi satu keupayaan baru kepada syarikat-syarikat untuk membuat tawaran kepada setiap individu pengguna mengikut citarasa peribadi.

Fokus kepada Proses Pengguna (Consumer Process) menggambarkan satu evolusi fitrah, iaitu, gelombang seterusnya dalam "kejuruteraan semula" atau "reengineering". Dalam tahun 1980-an, para pengurus mendapati komputer peribadi, sistem telekomunikasi jaringan kawasan kecil dan luas (local- and wide-area networks), dan lain-lain teknologi telah membolehkan mereka menyusun semula proses kerja dalam korporat dengan lebih cekap dan berkesan. Mereka boleh menyusun kerja tidak lagi di sekitar fungsi-fungsi seperti jualan, pemasaran dan kewangan tetapi mengikut matlamat akhir proses perniagaan (business process) seperti memenuhi kehendak tempahan, konsep kepada pasaran, dan kehendak pelanggan. Teknologi di tahun 90-an sekarang membenarkan para pengurus memeriksa semula tugas-tugas pengguna mereka dalam mencapai sesuatu kehendak. Mereka boleh menggunakan Internet untuk merobah tugas-tugas tersebut dan mencipta semula Proses Pengguna.

Di dalam artikel ini, kami akan menjelaskan satu rangka konsep dan kerja berkenaan Proses Pengguna, dalam memahami implikasi strategik yang dibawa oleh Internet. Kami akan menjelaskan bagaimana Internet dan beberapa teknologi yang berkaitan telah merobah secara dasarnya Proses Pengguna yang seterusnya merobah cara bagaimana manusia memenuhi kehendak mereka. Kami telah mengkaji komuniti-komuniti elektronik yang terkehadapan membuat revolusi dalam cara pelanggan/pengguna merancang percutian, menyaksikan aktiviti sukan, mencari pekerjaan dan menjalankan aspek-aspek utama dalam hidup. Kami akan menunjukkan bagaimana teknologi baru ini telah membentuk semula struktur industri, barangan dan perkhidmatan, dan persaingan dalam bentuk baru. Akhirnya, kami akan mencadangkan langkah-langkah praktikal dalam membuat persiapan untuk menghadapi apa jua peluang dan ancaman yang berada di hadapan.

Cara-cara Baru Dalam Memenuhi Kehendak Para Pelanggan

Untuk mengenal pasti bagaimana Internet akan merobah pasaran adalah bermula dengan pemahaman bagaimana para pengguna mencapai atau melampias kehendak mereka, iaitu Proses Pengguna. Satu Proses Pengguna mengandungi beberapa langkah seseorang pengguna akan lalui dalam mendapatkan atau mengguna sesuatu barangan atau perkhidmatan demi memenuhi kehendak atau citarasa asas. Setiap Proses Pengguna akan berbeza antara satu sama lain dari segi bilangan langkah-langkah yang dilalui, kos dan masa yang diguna dalam melakukan sesuatu tugas dan tahap kerumitan (complexity).

Walaubagaimanapun, semua proses-proses pengguna yang kritikal adalah sama dari segi manusia itu sendiri memiliki beberapa kehendak-kehendak asas yang perlu dipenuhi dan ada di antaranya dapat dipenuhi dan diperelokkan lagi melalui penggunaan teknologi seperti Internet. Di antara perkara-perkara asas dalam Proses Pengguna ialah :

  • Ilmu pengetahuan - dengan bantuan maklumat-maklumat berkaitan dalam membuat keputusan
  • Interaksi - diperlukan oleh pengguna dalam berkomunikasi dengan pembekal atau penjual
  • Jaringan - berhubung dengan pengguna lain yang sudah mengguna dan berpengalaman
  • Pengalaman melalui deria - seperti melihat gambar dan mendengar bunyi
  • Kesediaan atau "ubiquity" (maklumat) - sentiasa mudah di perolehi dari mana sahaja ia di capai
  • Barangan setempat (aggregation) - pengumpulan maklumat-maklumat penting setempat
  • Mengikut citarasa - barangan dan perkhidmatan yang boleh diubah suai mengikut citarasa individu

 Insyaallah, penjelasan lanjut mengenai perkara-perkara asas di atas akan dibentangkan dalam artikel akan datang.


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved