Kebangkitan Komuniti Elektronik - Bahagian 1
Berita Komputer, Januari 1 1997

Manusia telah menghuni bumi ini sejak zaman berzaman. Setiap zaman itu pula telah mencorak manusia pada zaman tersebut dalam bentuk dan gaya hidup yang tersendiri. Manusia pada Zaman Batu digambarkan hidup di dalam gua-gua batu, memburu binatang untuk hidup dengan menggunakan senjata berasaskan batu, berhubung sesama mereka melalui simbol-simbol dan arahan-arahan di dinding-dinding gua. Muncul pula Zaman Pertanian di mana usaha-usaha ke atas tanah seperti perladangan dan bercucuk tanam mencorakkan gaya hidup pada masa itu. Zaman Industri pula mempamirkan satu bentuk masyarakat yang tersendiri dengan keupayaan mencipta mesin dan jentera berasaskan elektrik untuk membantu manusia dalam memproses hasil bumi ke suatu bentuk yang lebih tinggi nilainya.

Sekarang, kita sedang berada di ambang Zaman Maklumat yang pasti sedang mencorakkan masyarakat yang bakal berada di Zaman tersebut. Apa yang amat jelas sekarang ialah Zaman Maklumat akan diwarnai dengan penggunaan komputer dan cip pemprosesan yang melata (pervasive), pembentukan jaringan lebuhraya maklumat pelbagai media bertaraf global dan yang paling penting, pembentukan komuniti-komuniti elektronik dari serata dunia yang bakal membentuk cara hidup tersendiri Zaman Maklumat. Seluruh dunia kini sedang berubah ke arah itu !

Amerika kelihatannya adalah negara yang terawal dan terkehadapan dalam membentuk komuniti-komuniti elektronik. Oleh itu, bagi kita di Malaysia yang bersikap proaktif, banyak yang kita boleh pelajari dari negara-negara yang sudah terkehadapan. Oleh itu, penulisan saya kali ini akan menterjemahkan sepenuhnya satu artikel yang amat menarik dan strategik untuk pengetahuan rakyat Malaysia. Ianya ialah hasil penulisan James Champy, Robert Buday dan Nitin Nohria * di dalam Index Insights yang bertajuk "The Rise of the Electronic Community". Insyaallah, diakhir terjemahan ini, kita boleh bincangkan apakah tindakan susulan yang dapat diambil dalam konteks pembentukan komuniti elektronik di Malaysia.

Jaringan komputer seluruh dunia, yang lebih dikenali sebagai Internet, telah mula membuat perobahan radikal dalam perilaku para pengguna dalam mengendalikan kehidupan dalam semua segi - ekonomi, sosial, hiburan dan professional. Perniagaan-perniagaan berasaskan Internet telah dilancarkan untuk beberapa aktiviti-aktiviti pengguna secara maya - dari aktiviti membeli rumah dan kereta, kepada pendidikan di universiti dan kolej sehinggalah kepada perancangan percutian dan aktiviti mencari kerja. "Komuniti-komuniti elektronik" ini akan sama sekali merobah dan memberi definisi baru kepada semua industri, saluran penyebaran barangan dan sekaligus cara pemasaran yang ada sekarang. Di dalam isu Index Insights kali ini, James Champy, Robert Buday dan Nitin Nohria akan membuka mata para pengurus bagaimana hendak memanfaatkan peluang besar yang bakal ditawarkan oleh komuniti elektronik dan bagaimana hendak menghadapi ancaman-ancaman yang ditimbulkan. Kunci kepada kejayaan ialah dengan memahami konsep "proses-proses pengguna" dan bagaimana teknologi capaian elektronik seperti Internet telah merobah "proses-proses pengguna" dari akar umbi.

Jika Bill Gates memperkenalkan caranya, para pembeli rumah akan menjalankan proses pembelian rumah yang rumit dan memakan masa melalui Internet. Dengan beberapa klik tetikus, penyelesaian dari ketua eksekutif Microsoft itu membolehkan para pembeli rumah melihat beribu-ribu gambar rumah dari beratus-ratus buah komuniti. Beliau akan menyediakan borang elektronik permohonan membeli rumah yang boleh menyampaikan keperluan pinjaman dari pembeli kepada peminjam wang (seperti bank) dari seluruh dunia. Melalui beberapa borang elektronik yang lain, beliau membolehkan pembelian insuran rumah, mencari servis mengangkut barang, membuat pemeriksaan rumah, dan lain-lain proses membeli rumah, dilakukan dari komputer peribadi di rumah.

Jika Paul Allen iaitu salah seorang pengasas Microsoft berjaya, para peminat sukan akan dapat memenuhi minat mereka ketika sedang bersantai di kerusi empuk di rumah. Dengan sebuah komputer dan capaian ke Internet, peminat sukan akan dengan mudah mendapatkan statistik sesuatu perlawanan (seperti bolasepak) yang sedang berlangsung, "bercakap" dengan peminat sukan lain dari seluruh dunia dan melibatkan diri dalam permainan sukan secara maya. Akhirnya, mereka akan boleh membeli tiket perlawanan melalui Internet, malah dapat membuat simulasi untuk memilih tempat duduk terbaik dalam sesebuah stadium sebelum membuat keputusan membeli tiket bagi tempat duduk tersebut.

Jika syarikat Bernard Hodes Advertising Inc. meneruskan usahanya sekarang, para pencari kerja akan dapat menjalankan setiap peringkat proses pencarian kerja secara "on-line" melalui Internet. Bermula dengan penyediaan surat permohonan dan resume sehinggalah menjalankan "perjumpaan" dengan petugas majikan untuk temuramah. Dan jika penerbit majallah terkemuka Condé Nast mempertingkatkan perkhidmatan "on-line"nya, pelanggan akan dapat menyenggarakan setiap fasa proses persediaan percutian secara elektronik, sebelum percutian itu benar-benar berlaku.

Syarikat-syarikat yang disebut di atas dan diikuti oleh syarikat-syarikat lain sedang membangunkan perkhidmatan elektronik (on-line), setiap satunya memfokuskan kepada satu proses aktiviti pengguna seperti membeli kereta, membeli rumah dan merancang percutian. "Komuniti-komuniti Elektronik" telah dibentuk mengikut perkumpulan pelanggan yang mahu memenuhi kehendak yang sama. Teknologi yang dibawa oleh Internet telah memperkenalkan satu cara baru untuk ahli komuniti berinteraksi, berhubung dengan penyedia barangan dan perkhidmatan, dalam memenuhi objektif peribadi masing-masing.

Syarikat-syarikat yang membangunkan komuniti-komuniti elektronik telah mula memanfaatkan keupayaan unggul Internet: kebolehannya merobah cara para pengguna mencapai kehendak-kehendak asas dalam kehidupan; ekonomi, hiburan, sosial, professional dan banyak lagi. Samada secara sengaja atau kebetulan, syarikat-syarikat ini telah mula mengenal pasti rantaian perhubungan yang bernilai yang diperkenalkan oleh Internet: Proses Kepenggunaan, atau bagaimana para pelanggan memenuhi kehendak melalui interaksi maya di Internet.

Kami telah membuat kajian ke atas hampir 12 syarikat yang mempelopori komuniti elektronik. Pengalaman-pengalaman mereka semuanya menjurus kepada rumusan yang sama: Kekuasaan sebenar jaringan komputer seluruh dunia seperti Internet ialah terletak kepada keupayaannya merobah cara pengguna (manusia) memenuhi dan melampias kehendak-kehendak kritikal. Ianya merobah perspektif kita dalam melihat aktiviti-aktiviti kepenggunaan; daripada Proses Pengeluar (producer processes) kepada Proses Pengguna (consumer processes). Proses Pengguna boleh didefinasikan sebagai satu koleksi tugasan-tugasan atau peringkat-peringkat perbuatan seseorang pengguna/manusia dalam mencapai matlamat Proses Pengguna dalam membeli rumah umpamanya, termasuklah melawat ajen-ajen perumahan, meronda dan memeriksa sekeliling kawasan perumahan baru, mendapatkan borang permohonan dan insuran perumahan dan akhir sekali membuat pemeriksaan dan lawatan ke rumah terpilih. Apabila proses-proses ini di rekacipta semula sesuai untuk interaksi melalui Internet, proses membeli rumah akan dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan efektif. (Bersambung lagi dikeluaran akan datang…)

* James Champy ialah pengerusi dan ketua eksekutif CSC Index. Beliau ialah pengarang sebuah buku terkenal yang bertajuk "Reengineering Management: The Mandate for New Leadership and co-author of Reengineering the Corporation: A Manifesto for Business Revolution". Robert Buday ialah pengetua CSC Index. Beliau telah membuat beberapa penyelidikan berkenaan dengan komuniti-komuniti elektronik dan media baru. Nitin Nohria ialah seorang professor madya di Harvard Business School dan menjadi penolong pengarang untuk artikel the Harvard Business Review yang bertajuk "What Ever Happened to the Take-Charge Manager?".


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved