Era Maklumat - Cabaran Kepada Pemimpin
Berita Komputer, Disember 25 1996

Majoriti pemikir masa hadapan atau "futurists" telah sependapat bahawa Abad 21 adalah Era Maklumat yang berasaskan digital. Dalam format digital, maklumat menjadi lebih anjal (flexible) dan memberi kekuasaan tambahan kepada manusia kerana :

  • maklumat dengan kandungan maksud tertentu (arahan, ilmu, pelan bertindak, ide) boleh diolah semula dalam bentuk pelbagai media untuk pemahaman pihak yang menerimanya,
  • maklumat yang sudah diolah kini boleh disebarkan dengan pantas dan berkesan ke seluruh dunia melalui Internet, satelit, talivisyen, talipon biasa dan bimbit, radar dan lain-lain yang kesemuanya kini sudah direkacipta untuk boleh menerima maklumat digital,
  • manusia sudah boleh "berhubung dan memberi arahan" terus kepada perkakasan "smart and intelligent" ciptaannya yang kebanyakannya kini sudah ada cip atau "otak" pemperosesan untuk menerima dan memproses arahan-arahan yang diterima,
  • perhubungan dan integrasi antara perkakasan (hardware) melalui arahan-arahan digital yang diprogramkan (software) menghasilkan kesan sinergi yang bermanfaat kepada manusia juga,
  • maklumat yang berisi dan positif, apabila dikongsikan dengan lebih ramai pemikir yang kreatif, akan menghasilkan lebih banyak maklumat dengan ide dan isi baru yang lebih menguntungkan.

Manusia sebagai wakil dan khalifah Allah s.w.t. (Al-Baqarah : 30, An-Naml : 62, Shaad : 36) telah diamanahkan untuk memimpin, memakmur dan mentadbir bumi dan alam Allah ini. Maka manusia sejak dari Azali lagi memang memerlukan ilmu dan maklumat tentang bumi dan alam untuk menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan. Di Abad 21, kepentingan ilmu dan matlamat telah mencapai tahap yang tertinggi, sejajar dengan meningkatnya tahap pemikiran manusia sejagat yang dibantu oleh kemajuan dan kecanggihan prasarana dan teknologi maklumat dan komunikasi.

Walaupun individu hari ini dan akan datang telah diberi kuasa-tambah atau "empowerment" dengan keupayaan berkomunikasi dan mencapai maklumat dengan mudah, manusia dalam satu kelompok tersendiri tetap memerlukan seorang PEMIMPIN dikalangan mereka. Ianya adalah fitrah alam, bak kata seorang penyajak, "Rasul memimpin umat, Imam memimpin makmum, Menteri memimpin rakyat, Pengurus memimpin pekerja bawahan, Nakhoda memimpin kelasi, Panglima memimpin gurkha, Ibu memimpin anak, Suami memimpin isteri, Teruna memimpin dara, Hati memimpin budi, Siapa memimpin diri sendiri ?" ("Kepimpinan Dalam Pengurusan", Razali Mat Zin, 1993).

Oleh yang demikian, dalam konteks persediaan jiwa dan raga kelompok manusia dalam memasuki zaman baru seperti Era Maklumat, pemimpin tidak dapat lari dari mempersiap siagakan dirinya dahulu sebelum memimpin pengikut-pengikutnya menempuh alam yang berbeza dari yang ujud sekarang. Pemimpin yang tidak peka, prihatin dan sensitif akan hakikat dan keperluan sebegini akan menjadikan dirinya (serta pengikutnya) tidak serasi dengan zaman baru, tidak diterima pakai (irrelevant) oleh generasi zaman baru, lapok dalam ide dan pandangan, lesu dan terpencil dalam pengoperasian aktiviti kelompoknya dan yang amat menakutkan, hapus dan hilang begitu sahaja di zaman baru ! Mahukah kita melihat pepatah "Tidak Melayu Hilang Di Dunia" cuma menjadi metos dan legenda digital yang tersimpan dalam cip-cip penyimpanan sejarah (archive) di Abad 21, dek kerana kita sekarang lalai dan alpa akan cabaran-cabaran Era Maklumat yang mendatang ?

Mengapakah Era Maklumat MESTI dijadikan salah satu agenda utama oleh pemimpin sesebuah entiti seperti negara, parti politik dan bukan politik, syarikat perniagaan, pertubuhan, persatuan dan institusi keluarga ? Yang jelas ialah, pemimpin tidak dapat lari dari maklumat, dalam menjalankan fungsi kepimpinan yang akan dihuraikan secara ringkas.

Di antara fungsi-fungsi kepimpinan yang paling utama dan kritikan ialah ("Kepimpinan Dalam Pengurusan", Razali Mat Zin, 1993) :

  • Menetap Wawasan / Misi - adalah justifikasi penting akan ujudnya sesebuah entiti. Perancangan, perlaksanaan dan pengoperasian organisasi adalah berasaskan kepada wawasan dan misi yang telah disepakati bersama. Perdana Menteri kita umpamanya, telah mencetus dan mempasakkan Wawasan 2020 sebagai penunjuk arah rakyat Malaysia dalam menuju Abad 21.
  • Membuat Keputusan - adalah proses kritikal seseorang pemimpin yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran, halangan, isu, dilema, ancaman, peluang dan penyelesaian. Keupayaan membuat keputusan yang tepat, bernas dan berkesan adalah aset utama seorang pemimpin.
  • Membentuk Sistem Komunikasi - untuk memastikan segala wawasan, misi, arahan pengoperasian, kemaskini maklumat, perkongsian ide dan ilmu dapat disebarkan dengan pantas antara pemimpin dan pengikut.
  • Mendorong Pengikut - kerana pemimpin perlu memastikan wawasan dan misi tercapai. Pemimpin perlu ada keupayaan mendorong pengikutnya melalui tarikan peribadi, memberi inspirasi, menjadi model contoh, menyediakan ganjaran dan hukuman, memberi motivasi dan pengisian rohani.
  • Mengarah dan Mengawal Kumpulan / Pasukan - untuk memastikan keujudan pasukan kerja yang utuh, berkongsi sama, berusaha, teratur, disiplin dan berupaya menjalankan aktiviti.
  • Memahami Hubungan Manusia - adalah keupayaan paling penting kerana pemimpin sedang mengendali manusia yang pelbagai ragam, peringkat ilmu, pelbagai citarasa dan perasaan, gelagat dan tabiat.

 Di dalam dan di antara fungsi-fungsi kepimpinan di atas, maklumat dalam pelbagai bentuk terhasil dan tersebar dalam semua arah. Pemimpin dan pengikut adalah penghasil dan pengguna kepada maklumat yang bersimpang siur dan bertembung apabila fungsi-fungsi di atas memainkan peranan. Pemimpin akan menghasilkan maklumat wawasan dan misi, memerlukan maklumat untuk membuat keputusan, menyampaikan melalui sistem komunikasi akan maklumat wawasan/misi dan keputusan, menyebarkan maklumat berbentuk motivasi dalam mendorong pengikut, berkongsi maklumat perencanaan dan pengoperasian dalam mengarah kumpulan/pasukan, dan mengkaji dan menghayati maklumat kemanusiaan dalam mengeratkan lagi hubungan manusia.

Cabaran utama kepada pemimpin dalam menuju Era Maklumat ialah bagaimana hendak mengadaptasi dan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi dalam menjalankan fungsi-fungsi kepimpinan dengan sempurnanya. Berikut ialah beberapa saranan yang insyaallah dapat membantu pemimpin dalam menghadapi cabaran menuju Era Maklumat :

  • Mulakan proses adaptasi dan pembelajaran SEKARANG ! Ini adalah penting kerana teknologi maklumat dan komunikasi berkembang begitu cepat. Biasakan dengan komputer dan perisian Windows dan segera adakan capaian Internet samada melalui Jaring, TM-Net, Universiti atau syarikat sendiri. Masa masih ada untuk "catch up" kerana komputer kini AMAT MUDAH diguna. Ini adalah inisiatif pemimpin kerana "hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih".
  • Pastikan para pengikut mengadakan prasarana yang sama. Apabila pemimpin dan pengikut sudah memiliki ilmu dan prasarana asas seperti capaian Internet, pengendalian maklumat antara pemimpin-pengikut akan menjadi lebih berkesan dan efisien.
  • Berpemikiran terbuka dan global. Teknologi maklumat kini membuka ufuk perkongsian maklumat dengan ramai orang secara terus dan global. Pemimpin yang tidak terbuka (jumud, melihat ke dalam sahaja, eksklusif dan elit) akan ketinggalan dalam dunia dan kepompongnya sendiri.
  • Pantas dalam berinteraksi. Konsep jaringan (networking) telah mengenepikan hirarki. Dengan adanya Internet umpamanya, kecepatan dalam memberikan ide dan jawapan adalah kayu ukur yang utama. Aliran maklumat atas ke bawah (Dari pengerusi kepada pengarah, kepada pengurus, kepada eksekutif, dan akhirnya kepada ahli terbawah) sudah tidak sesuai lagi dengan konsep jaringan seperti Internet. Contohnya, pengikut hendak "bertemu" terus dengan pemimpin melalui perhubungan mel elektronik (e-mail) walaupun lokasi geografi membataskan pertemuan fizikal.

Wahai para pemimpin KITA, sudahkah anda memulakan langkah pertama, menuju Era Maklumat ?


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved