Di antara "tonton TV" dan "guna komputer"
Berita Komputer, Disember 18 1996

Jika kita membuat kaji selidik atau bertanya kepada semua lapisan umur masyarakat Malaysia, apakah satu peralatan elektrik dan elektronik yang pasti ada di hampir semua rumah, kemungkinan besar jawapan yang diberi ialah peralatan televisyen atau TV ! Kita pernah melihat dalam berita di TV bagaimana TV adalah salah satu alat utama yang diselamatkan (dengan mengusungnya di kepala) ketika banjir berlaku disalah sebuah negara. Hatta ada juga kisah yang memaparkan bagaimana TV telah diselamatkan dalam satu kebakaran di tanahair. Begitu sekali ada manusia sayangkan TV. Ya, TV kini sudah menjadi satu peralatan perlu samada sebagai sumber hiburan dan maklumat. Ianya bersifat "pervasive dan ubiquitous" iaitu apabila ia tiada, baharulah kita merasakan "kehilangan"nya.

Sememangnya kita akui TV ada peranan dan kegunaan, lebih-lebih lagi apabila teknologi kini sudah boleh menggabungkan TV, komputer dan komunikasi. Tetapi, apa yang perlu diberi perhatian ialah kesan penggunaan TV oleh masyarakat kita dalam bentuknya yang ada sekarang. Sedikit sebanyak ia boleh membentuk cara berfikir dan budaya kerja dan seterusnya jenis manusia itu sendiri.

Dalam skop kegunaan sekarang, TV adalah untuk di "tonton". Apabila kita hendak "menonton" TV, kita akan buka (switch on) TV, duduk di sofa atau atas lantai dengan menghadapi TV dan menonton. Ketika menonton TV, kita sekadar melihat aksi dan pergerakan di kaca TV dan mendengar bunyi-bunyian yang berkaitan. Dalam bentuk sekarang, perlakuan menonton TV adalah bersifat pasif dan sebelah-pihak. Ianya pasif kerana penonton cuma boleh melihat apa yang berlaku di kaca TV tanpa dapat memberi reaksi atau bertindak segera secara "on the spot". Ianya pasif dan sebelah-pihak kerana penonton hanya menjadi penerima maklumat samada ianya hiburan, berita, kisah, musik dan nyanyian. Pusat memproses maklumat ialah di dalam otak manusia yang menonton TV. Orang yang menonton TV tidak dapat bertindak ke atas maklumat yang diterima tetapi maklumat dari TV boleh merobah manusia yang menontonnya.

Bagaimana pula dengan komputer ? Berdasarkan statistik dan kaji selidik rambang yang saya buat melalui perbincangan dan pemerhatian, pendedahan atau "penetration" mengenai komputer dan penggunaannya di kalangan orang Melayu adalah terlalu rendah dan membimbangkan. Dalam kita sibuk melaungkan dan mempromosikan Internet dan Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC), masih ramai yang belum terfikir hendak membeli komputer. Masih ramai yang melihat komputer hanya sekadar untuk menaip dan cuma sesuai untuk penaip (typist). Apatah lagi hendak membezakan apa dia komputer 386, 486 atau Pentium. Selagi masih ada halangan untuk mengguna atau memiliki komputer, maka selagi itulah masyarakat kita tidak dapat "appreciate" akan manfaat dan kelebihan Internet dan MSC yang akan beroperasi tidak lama lagi, tahun 1998 !

Berbeza dari TV, komputer adalah untuk di "guna". Kita tidak "menonton" tetapi "mengguna" komputer. Apabila kita "mengguna" sesuatu, kita akan menjadi aktor utama yang ada kuasa dan "control" ke atas benda yang kita guna. Apabila kita mengguna komputer, kita ada kebebasan dan kekuasaan ke atas aplikasi dan maklumat yang hendak dimanipulasikan. Hatta kita bermain "games" melalui komputer sekali pun, kita tetap menjadi pelaku aktif yang mahu mencapai "kemenangan" atau markah tinggi. Dengan kuasa, kelajuan, aplikasi, keupayaan jaringan seperti Internet dan kesenangan mengguna (user friendliness) yang kian meningkat, komputer sebenarnya akan lebih "pervasive" dalam hidup kita. Ketiadaan komputer dalam semua bidang aktiviti kehidupan akan menatijahkan kesan yang lebih buruk dari ketiadaan TV.

Dalam konteks menambah ilmu pengetahuan, cara penerimaan ilmu melalui kedua-dua media ini adalah berbeza. Melalui TV, ilmu yang diterima adalah ilmu yang di "sogok" secara berjadual dan mengikut resepi yang tetap (pre-recorded). Melalui komputer, ilmu yang diterima adalah ilmu yang di "cari" melalui aplikasi teknikal, maklumat multimedia dari CD-ROM, penjelajahan Internet samada melalui melunsur Web (surfing),
mel elektronik (e-mail) dan fasiliti Internet lain.

Kesan penggunaan komputer yang produktif sebenarnya telah menampakkan hasil di dalam masyarakat Amerika. Baru-baru ini, hasil dari kaji selidik (survey) oleh Roper Starch Worldwide for Lexmark International (PRNewswire, 4 Disember 1996), salah sebuah syarikat percetakan terkemuka dunia, boleh memberi pengajaran kepada kita. Kaji selidik telah dilakukan melalui talipon ke atas 1,000 buah keluarga di Amerika yang memiliki dan menggunakan perisian dan perkakasan komputer (termasuk pencetak) di rumah. Laporan bertajuk "Lexmark Report on Computing and the American Family", telah mengenal pasti impak penggunaan komputer dalam keluarga ke atas isu-isu pendidikan, komunikasi dan kewangan. Hasil dari kaji selidik tersebut adalah positif dan dirumuskan di bawah.

Pendidikan

  • Hampir ibubapa (72%) bersetuju bahawa penggunaan komputer telah membantu anak-anak mereka menjadi lebih kreatif,
  • Hampir ibubapa (48%) menyatakan pencapaian akademik anak-anak mereka di sekolah telah ada peningkatan dengan pemilikan dan penggunaan komputer peribadi di rumah,
  • 43% dari ibubapa menyatakan pencapaian akademik anak-anak mereka telah meningkat dengan penggunaan alat pencetak berkomputer (printer),
  • 82% dari ibubapa menyatakan alat pencetak telah digunakan untuk penyediaan laporan dan projek sekolah anak-anak mereka,
  • 68% ahli keluarga menggunakan komputer untuk kerja-kerja sekolah dan rumah
  • 65% ahli keluarga menggunakan komputer untuk pembelajaran (perisian pendidikan/CD-ROM)
  • 42% ibubapa menyatakan komputer telah mengurangkan masa menonton TV anak-anak mereka kanak-kanak juga telah dididik untuk tidak takutkan teknologi (technology-phobia)
  • 1/3 dari ibu bapa (33%) menyatakan anak-anak mereka telah begitu selesa dengan penggunaan komputer berbanding dengan mereka sendiri, terutamanya dikalangan ibubapa yang berumur 50 tahun dan ke atas (44%)

 Komunikasi

  • Ramai mengakui penggunaan komputer telah memberi lebih masa berkualiti kepada keluarga. Penggunaan komputer dalam keluarga telah menjurus kepada komunikasi yang lebih antara ahli keluarga, saling berhubung dan berinteraksi.
  • 74% melaporkan menggunakan e-mail untuk saling berhubung dengan rakan-rakan dan ahli keluarga
  • 63% yang menggunakan Internet mengakui Internet telah membolehkan jalinan perhubungan di pelihara. Komputer telah digunakan untuk jalinan perhubungan peribadi dengan rakan-rakan (77%), dan keluarga (71%)

 Kewangan

  • Penggunaan komputer membantu keluarga dalam menangani isu kewangan dari segi membantu pengguna lebih berjaya dalam perniagaan dan dalam pengurusan kewangan keluarga,
  • 59% bersetuju dengan mendapat akses ke komuniti elektronik
    (American Online, Compuserve, Internet), membantu mereka terkehadapan (lebih daya saing) dalam perniagaan,
  • 38% bersetuju dengan akses itu, dapat berhubung dengan baik dengan rakan niaga di luar negara
  • Penggunaan komputer dapat mengawal kedudukan kewangan sekarang dan masa akan datang
  • Separuh (52%) pemilik komputer yang berkeluarga bersetuju bahawa komputer membantu mereka merancang masa hadapan kewangan mereka

Adalah diharapkan, statistik terkini dalam keluarga Amerika dari segi "penggunaan" komputer membuka mata kita bagaimana mereka benar-benar bersedia untuk menjadi Masyarakat Bermaklumat. Mereka tidak sekadar menjadi "penonton" malah "pengguna dan pelaku" ke arah merealisasikan masyarakat bermaklumat. Ada tiga jenis manusia dalam dunia ini. Pertama, ialah manusia yang tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling mereka (terlalu pasif). Kedua, ialah manusia yang sekadar "menonton" apa yang berlaku di sekeliling mereka (pasif). Ketiga, ialah manusia yang menjadi pelaku kepada apa yang berlaku (aktif). Kita sudah begitu lama menjadi "penonton" dalam banyak segi. Kini, kita perlu bangun (dari "menonton" TV ?), merobah dan mencipta sejarah dunia !


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved