"Memasyarakatkan Internet - Agenda Penting Abad 21"
Berita Komputer, October 2 1996

"Masyarakat" dalam definisi yang difahami umum ialah golongan manusia yang terdiri dari pelbagai latar belakang, warna kulit, keupayaan pemikiran dan kewangan, budaya dan sejarah hidup. Dalam keadaan yang serba rencam ini, memenuhi citarasa masyarakat dengan sesuatu yang baru bukanlah mudah. Usaha untuk mengenengahkan perkara baru seperti ide, konsep atau teknologi memerlukan keterlibatan banyak pihak dalam memperkenalkan, mendidik, memandu uji, memperbaiki dan memudahkan sesuatu perkara baru untuk kebaikan masyarakat. Internet umpamanya, adalah model de facto lebuhraya maklumat pada abad 21. Maka, ianya pasti menjadi keperluan sebagai sistem perhubungan dan sumber maklumat, seperti mana perlunya masyarakat kepada aliran elektrik, gas dan air.

Internet, suatu jaringan rangkaian komputer-komputer seluruh dunia, kini sedang menempatkan diri dalam masyarakat dengan begitu cepat. Walaupun teknologi tersebut sudah diperkenalkan sejak tahun 1960-an lagi, penerimaannya secara "berbondong- bondong" cuma bermula sekitar akhir tahun 1993 apabila perisian antara muka Mosaic "Browser" untuk World Wide Web telah dibangunkan dan memudahkan lagi pencarian maklumat di Internet.

Jika dilihat dari perspektif yang lebih tinggi, penerimaan masyarakat kepada Internet (di samping televisyen, radio, talipon dan satelit) adalah sebahagian dari arus perdana global dalam membentuk masyarakat kaya maklumat abad 21. Abad 21 yang berasaskan teknologi maklumat adalah benar (real) berdasarkan fakta-fakta berikut :

  • 40 juta pengguna Internet seluruh dunia masakini akan mencecah angka lebih 200 juta menjelang tahun 1999 (sumber : International Data Corporation, April 1995),
  • Pada bulan Ogos 1981, ada 213 buah komputer pelayan (server) Internet yang diketahui; sehingga Julai 1995, ada 6,642,000 buah komputer pelayan Internet. Menjelang tahun 2000, akan ada sekitar 101 juta buah komputer pelayan Internet. (sumber : Network Wizards, Julai 1995),
  • Bilangan kanak-kanak yang melunsur Web akan berkembang secara eksponensial dalam masa 5 tahun akan datang. Bilangan 2 juta masakini akan melonjak sehigga 14 juta menjelang tahun 2000 (sumber : Jupiter Communications, Oktober 1995),
  • Menurut Internet Society, salah satu badan penyelaras Internet dari Amerika, bahagian dunia yang masih belum mendapat capaian Internet cuma negara Afrika Tengah dan Utara. 

Oleh itu, isu menjadikan Internet sebahagian dari masyarakat Malaysia, atau dalam kata-kata aktif - "Memasyarakatkan Internet" - adalah agenda teramat penting menjelang abad 21. Ianya dilihat begitu kerana beberapa perkara utama seperti berikut :

Internet sebagai unsur perobahan abad 21 - Internet sekarang adalah dalam peringkat permulaan sebagai agen perobahan dalam kehidupan generasi kita sebagaimana elektrik dan talipon mencetuskan gaya hidup baru suatu ketika dahulu. Implikasinya terlalu luas meliputi undang-undang negara bangsa dunia, paradigma dan cara fikir, nilai dan budaya.

Internet sebagai sumber maklumat - Melalui Internet, kita didedahkan kepada kandungan maklumat yang tersangat luas malah makin berkembang dengan pesat. Menurut perisian pencari Alta Vista, kini sudah ada 30 juta halaman Web dari 275,600 komputer pelayan ! Maklumat adalah raja (content is king), menurut Bill Gates ketua eksekutif Microsoft. Maklumat boleh membentuk minda dan seterusnya perlakuan yang menjadi nilai hidup.

Internet sebagai sistem komunikasi pantas - Mel elektronik sebagai fungsi paling popular Internet kini menghubungkan lebih 50 juta penduduk Internet dengan pantas. Dengan hanya menekan butang "Hantar", maklumat pelbagai media boleh dihantar secara elektronik kepada sesiapa sahaja secara serentak dengan kadar murah. Fungsi lain yang sedang berkembang ialah seperti Internet Relay Chat (IRC), Video-conferencing dan Internet-Phone.

Internet sebagai jaringan manusia global - Internet sebenarnya merangkaikan manusia disebalik jaringan komputer. Apabila manusia berinteraksi dan bertukar maklumat dengan begitu mudah, aktiviti-aktiviti manusia akan berlaku lebih cepat dan merangsang lebih banyak perobahan global.

Internet sebagai "dunia" tersendiri (Cyber-World) - Internet membentuk "dunia"nya yang tersendiri dengan budaya, kandungan maklumat dan gaya interaksi tersendiri. Ianya bersifat tiada sempadan (borderless), tiada diskriminasi kulit dan warna, tiada penjaga yang tersendiri dan dinamik. "Penduduk"nya berhubung secara minda dan intelek walaupun jasad-jasad mereka berada jauh di antara satu sama lain. Dominasi terhadap minda dan intelek akan menjadi senjata strategik di abad 21.

Internet sebagai prasarana perniagaan - Internet pasti akan menyediakan peluang-peluang perniagaan yang luas dalam suasana baru. Kerumitan yang wujud sekarang sedang diperbaiki dari masa ke semasa. Peluang perniagaan termasuk iklan melalui halaman Web, transaksi kewangan secara elektronik, membeli-belah secara elektronik, pengkalan maklumat berbayar, interaksi tiga dimensi, dan banyak lagi perkhidmatan-perkhidmatan yang sedang dibangunkan. Peluang perniagaan dijangkakan mencapai angka beratus billion di abad 21.

Oleh itu, masyarakat Malaysia perlu bersedia untuk menerima perobahan-perobahan, peluang dan ancaman yang bakal berlaku dengan menjadikan Internet sebagai sebahagian dari kehidupan. Kita perlu boleh mencorak kandungan maklumat Internet supaya ianya memenuhi cabaran ke-6 Wawasan 2020 yang menyatakan "untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi mesa depan".

HIT menjadikan operasi "Memasyarakatkan Internet" atau "Making Internet Public" sebagai misi kewujudan entiti perniagaan yang mempunyai tanggung jawab sosial. Insyaallah, melalui ruangan ini, HIT akan membantu masyarakat memahami Internet dari segi teknikal, perbandingan kebaikan dan keburukan, pandangan dan ide baru berdasarkan kajian semasa.


 


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved