Kejayaan Jangka Panjang MSC - Untuk Siapa
Berita Komputer, Oktober 08 1997

 

Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam menyediakan kertas-kertas cadangan konsep untuk 15 Kertas Cadangan Permohonan Tender (CRFP) bagi projek perintis empat aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia atau "Multimedia Super Corridor" (MSC), cabaran di hadapan adalah hebat dan memerlukan kesungguhan. Kebanyakan syarikat-syarikat membentuk konsortium memandangkan skop projek dan kerja adalah terlalu luas dan berteknologi tinggi, lebih-lebih lagi masa yang diberi adalah terlalu singkat.

Perbincangan-perbincangan dalam menyediakan kertas cadangan konsep yang terbaik dalam sebuah konsortium telah membuka ufuk minda saya kepada hakikat yang lebih mendasar. Saya ingin berkongsi sama akan beberapa isu kritikal yang perlu kita SEMUA, rakyat Malaysia, memikirkannya bermula dengan satu persoalan pokok - Hasil dan kejayaan MSC dalam masa jangka panjang, sebenarnya untuk siapa ?

Timbulnya persoalan asas ini adalah hasil dari salah satu perbincangan. Apa yang menarik ialah perbincangan tersebut telah menonjolkan beberapa bentuk pemikiran ("mindset") atau paradigma samada di kalangan ahli-ahli pasukan saya atau ahli-ahli konsortium lain (melalui maklumat yang diterima). Perbedaan pemikiran-pemikiran ini adalah dari segi pendekatan (approach) bagaimana hendak memberi penyelesaian dan produk terbaik untuk menjayakan dan melaksanakan empat aplikasi perdana tersebut, sekaligus wawasan Negara.

Saya kategorikan beberapa bentuk-bentuk pemikiran dan pendekatan utama seperti berikut:

Pemikiran 1 - menggunakan pakej penyelesaian menyeluruh yang sedia ada ("on the shelves") yang boleh dibeli di pasaran (kebanyakannya diimport dari luar negeri, kemudian membuat penyesuaian (customization) untuk aplikasi-aplikasi perdana. Memerlukan kerjasama ("partnership / joint venture") dengan syarikat asing yang memiliki teknologi tersebut secara keseluruhan,

Pemikiran 2 - membeli dan menggunakan komponen-komponen teknologi (kebanyakannya dari luar negeri), kemudian disusun atur, diubah suai untuk memberi penyelesaian (solutions) terbaik lagi unik mengikut kehendak aplikasi-aplikasi perdana. Tahap keperluan mengadakan kerjasama ("partnership / joint venture") dengan syarikat asing yang memiliki komponen teknologi tersebut masih anjal (tidak berapa terikat),

Pemikiran 3 - seratus peratus bergantung kepada kepakaran tempatan yang akan berusaha memberi penyelesaian dengan menggunakan kepakaran, kreativiti, teknologi dan kompetensi tempatan. Teknologi dan komponen asas (seperti bahasa "programming", cip pemprosesan) masih dari luar kerana mereka lebih dahulu menciptanya.

Bentuk-bentuk pemikiran di atas menggambarkan spektrum pemikiran dalam 2 ekstrim iaitu pertama, terus bergantung kepada keupayaan dan teknologi luar di satu hujung, dan kedua, menggunakan keupayaan dan teknologi tempatan di hujung yang lain. Pemikiran 2 cuba mengambil jalan tengah.

Dengan masa yang singkat, syarat perlaksanaan projek yang mahukan hasil dalam masa yang cepat, keujudan terlalu banyak produk dan penyelesaian dari luar dan kepantasan bertukarnya teknologi, Pemikiran 1 lebih memenangi banyak pihak. Dalam menentukan penyelesaian kepada sesuatu bahagian, ramai yang akan secara spontan menyebut beberapa jenama produk teknologi yang sudah popular seperti:

Penyelesaian kepada pengkalan maklumat (databases) - gunakan pakej Informix atau Oracle

Penyelesaian kepada sistem capaian maklumat multimedia melalui web - gunakan pakej Microsoft, Netscape atau Lotus Domino

Penyelesaian kepada bahasa pembangunan perisian berasaskan piawai terbuka ("open standard") untuk Internet - gunakan pakej Java (Sun) atau ActiveX (Microsoft)

Penyelesaian kepada "audio/video streaming" - gunakan pakej teknologi Vivo atau VDO

Dengan "bangga"nya ada yang mengatakan 'kita tak perlu fikir susah-susah, semuanya sudah ada, tinggal beli dan pasang / buat konfigurasi sahaja'.

Ada juga yang telah "kalah sebelum bertarung" dengan mengatakan 'kita (syarikat tempatan yang baru lagi kecil) sudah tiada peluang lagi, semua aplikasi tersebut memerlukan penglibatan syarikat luar yang besar, juga memerlukan modal besar'. Jadi, syarikat gergasi tempatan sahaja yang ada "can besar" untuk dapat projek.

Dalam suasana yang ada sekarang, memang secara umumnya pemikiran 1 dan tindakan-tindakan lanjutannya adalah nampak lebih logikal. Tetapi, mari kita soal diri kita bertubi-tubi dengan soalan pokok tadi - Hasil dan kejayaan MSC dalam masa jangka panjang, sebenarnya untuk siapa ?

Sebelum kita menjawab soalan tersebut, cuba kita teliti dan analisa, bagaimana syarikat-syarikat gergasi yang menguasai teknologi sekarang cuba mengukuhkan dominasi dan monopoli mereka. Berkaitan dengan MSC, syarikat-syarikat tersebut sudah tentulah syarikat yang berkaitan dengan teknologi maklumat seperti Microsoft, Netscape, Sun Microsystems, IBM dan Oracle. Seperti yang pernah saya nukilkan dahulu, mereka ini mahu menguasai satu perkara iaitu PIAWAI (standard) dalam sesuatu komponen teknologi maklumat. Secara umumnya, piawai lah yang menentukan bagaimana proses berlakunya sesuatu cara kerja yang diprogramkan dalam kod-kod perisian. Contohnya, Sun Microsystems sedang berusaha menjadikan Java sebagai piawai melalui ISO (Computer Reseller News, 22/9/97) dan mendapat sokongan di antaranya Netscape dan IBM. Untuk piawai aplikasi web yang menggunakan komponen tidak setempat ("distributed component architecture"), Microsoft cuba mengenengahkan model DCOM ("Distributed Component Object Model") nya, manakala Oracle pula dengan model CORBA ("Common Object Request Broker Architecture"). Banyak lagi contoh-contoh "peperangan piawai" yang selalu disiarkan dalam akhbar-akhbat teknologi maklumat.

Mengapa syarikat-syarikat gergasi ini beria-ia mahu mendapatkan status piawai terbuka bagi model dan konsep mereka? Secara terbukanya, penerimaan piawai mereka oleh masyarakat dunia akan menjuruskan lebih banyak peluang produk-produk mereka yang memenuhi piawai tersebut dibeli dan menghasilkan untung! Secara yang lebih halus, penerimaan piawai oleh pengguna akan menghasilkan pengguna yang "terikat" dengan sesuatu proses/cara kerja yang tertanam di dalam kandungan piawai tersebut. Contoh yang mudah ialah penggunaan "browser" untuk melunsur web. Ya, memang pengguna patut gembira kerana Microsoft memberi "browser" mereka dengan percuma. Tetapi, tanpa kita sedari, setelah lama dan selalu menggunakan samada "browser" Microsoft atau Netscape, kita sudah terbiasa dan selesa. Lalu, apabila timbul soalan provokatif seperti 'apa kata kalau kita buat browser baru bercirikan Malaysia?', kita berkemungkinan besar akan menjawab secara spontan, 'tak payah susah payah, "browser" Microsoft atau Netscape, kan sudah ada dan mencukupi?'

Analisa dan contoh di atas diharapkan akan lebih membantu di dalam menjawab soalan asas tadi - Hasil dan kejayaan MSC dalam masa jangka panjang, sebenarnya untuk siapa ? Sudah pasti ramai yang boleh menjawab secara spontan, seperti, 'siapa lagi, untuk rakyat Malaysia lah.'

Sebenarnya saya bimbang, jika sekiranya kita selalu sangat "terantuk, tetapi masih belum tengadah", atau selalu sangat "terkena batang hidung" dalam isu-isu sebegini. Pemikiran 1 memang boleh menjayakan MSC dalam bentuk fizikalnya melalui aplikasi-aplikasi perdana nya. Apa yang menakutkan ialah, aset intelektual yang sepatutnya dipindahkan kepada orang-orang tempatan tidak berlaku. Dan keterbergantungan kita kepada "orang luar" nampaknya akan berterusan. Kita tidak mahu berlakunya bidalan ini, "lembu punya susu, sapi yang dapat nama". Malaysia yang memulakan ide MSC ini, tetapi orang lain yang dapat nama dan manfaat.

Kita hendak melihat MSC berjaya sebagaimana berjayanya Silicon Valley di Amerika menghasilkan individu-individu yang kini sudah berjaya seperti Bill Gates (Microsoft), Steve Jobs dan Andrew Grooves (Intel). MSC semestinya menghasilkan anak-anak tempatan yang berkaliber dan berupaya mencipta teknologi melalui penglibatan mereka menjayakan MSC dan seterusnya menjaja hasil ciptaan mereka ke dunia luar. Kita perlu berbangga dapat menghasilkan cip pemprosesan yang unik berjenamakan "intan" atau piawai bahasa program terkini berjenamakan "melayu" umpamanya.

Peranan pihak yang berwajib pula ialah memberi jalan dan peluang kepada usahawan-usahawan teknologi ini dan memastikan berlakunya pencarian dan penciptaan teknologi ("technology acquisition and invention"), lebih dari pemindahan teknologi ("technology transfer") semata-mata.

Melihatkan semangat beberapa konsortium yang sedang berusaha sekarang, saya yakin, Malaysia Boleh !

______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet"... Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Block C, UPM-MTDC, Tech. Incubation Centre One, Universiti Pertanian Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-9161718, Faks : 03-4669456, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm



is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved