Krisis Matawang - Pengajaran Penting Untuk Projek MSC
Berita Komputer, November 05 1997

Barangsiapa yang tidak merasa resah, bimbang dan prihatin akan kejatuhan nilai ringgit yang boleh meggugat keutuhan ekonomi negara, saya ingin memperingatkan agar "bangunlah dari tidur". Jangan menyangka apa yang berlaku di luar kehidupan kita tidak akan mengena diri kita. Apabila Allah s.w.t. mahu menurunkan ujian atau bala, ianya akan mengenai ramai orang, termasuk orang yang merasakan mereka tidak terlibat (Al Quran).

Krisis matawang yang telah melanda negara-negara Asia Tenggara, dan baru-baru ini menggegarkan dunia dengan kejatuhan ke paras paling buruk Bursa Saham New York, telah menjadi agenda utama media-media utama negara dan fokus kerajaan sendiri. Kerajaan kita bersungguh-sungguh mahu berdikari dalam menangani kegawatan ini. Walaupun kerajaan telah menangguhkan beberapa projek mewah negara, kerajaan telah beriltizam untuk meneruskan projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjadi asas penting negara dalam mengharungi Era Maklumat Abad 21. Persediaan untuk masa hadapan adalah lebih penting!

Krisis matawang dan projek MSC – apakah kaitan dan apakah pengajarannya? Seperti di dalam penulisan-penulisan saya yang lalu, saya selalu mengaitkan kejayaan sesuatu aktiviti serta sebab musababnya kepada unsur yang paling penting dalam pembangunan negara bangsa dan tamaddun – sikap dan persepsi manusia itu sendiri.

Krisis matawang yang melanda negara sekarang telah menyerlahkan satu sikap dan persepsi orang kita yang "tidak produktif". Pengalaman saya ketika bersama-sama dengan rakan-rakan dalam konsortium menyediakan kertas cadangan konsep untuk projek MSC juga menyerlahkan sikap dan persepsi yang sama. Pengalaman dan pengamatan saya ketika bekerja di dalam sebuah syarikat carigali minyak yang menggunakan ramai pakar luar negara, juga menyerlahkan sikap dan persepsi yang sama. Dan yang paling menarik ialah, pengalaman dan pengamatan ini dikongsi oleh ramai orang yang berada di dalam suasana dan industri yang seumpamanya. Apakah sikap dan persepsi yang "tidak produktif" itu?

Sebelum saya membincangkan topik ini, saya ingin minta awal-awal lagi, agar pembaca yang tidak bersetuju dengan pandangan ini tidak "melenting (marah)" dan memberi cap yang bukan-bukan kepada saya dan mereka yang seumpamanya. Zaman maklumat mahukan ummat yang lebih terbuka, berlapang dada, menerima ide-ide baru (walaupun isu lama).

Sikap dan persepsi itu ialah – KITA MASIH SUSAH HENDAK PERCAYA KEPADA ORANG TEMPATAN.

Di dalam industri dan perniagaan berteknologi tinggi lagi kompleks, banyak negara yang memerlukan bantuan dari mereka yang terlebih dahulu mengetahui dan mencipta sesuatu teknologi tersebut. Industri teknologi maklumat, nuklear, carigali minyak dan gas, komunikasi dan satelit, bioteknologi dan hatta ekonomi global, selalunya memerlukan bantuan pakar dari luar negara. Saya amat bersetuju untuk kita mendapatkan bantuan dan belajar dari sesiapa sahaja demi menjadikan diri kita lebih berilmu. Dan sepatutnya, apabila kita lebih berilmu, kita akan lebih berdikari, percaya kepada diri sendiri (dan juga mereka di kalangan kita), dan akhirnya kurang bergantung kepada orang luar yang telah mengajar kita. Ibarat seorang anak kecil, ia akan rimas dan tidak mahu selamanya dipimpin dan ditatih untuk belajar berjalan. Ia mahu dibebaskan untuk berjalan pantas dan berlari selepas itu. Ibubapa yang percaya dan yakin kepada anak kecil itu juga akan pasti gembira.

Malangnya, sikap dan persepsi tidak percayakan orang tempatan masih wujud, samada ianya berlaku secara sedar atau tidak. Pernah dalam satu insiden, apabila seorang jurutera tempatan membuat kertas cadangan yang memasukkan elemen penyelesaian berteknologi tinggi, ianya tidak diterima oleh pihak pengurusan. Apabila penyelesaian YANG SAMA dicadangkan oleh jurutera "bertaraf antarabangsa dari luar negara", ianya diterima dengan penuh keyakinan. Ataupun dalam insiden yang lain, apabila seorang jurutera atau pakar tempatan memberi pandangan bernas dalam sesuatu perbincangan, masih ada yang tidak yakin akan pandangan sedemikian dan ada yang ditolak ke tepi. Apabila pandangan yang sama disampaikan oleh seorang pakar "bertaraf antarabangsa", ianya diterima tanpa banyak persoalan.

Tidak ramai yang menyedari proses ini berlaku kerana sikap dan persepsi ini adalah perkara dalaman dan cara pemikiran seseorang individu. Ianya lebih ketara apabila terdapat perbezaan generasi (generation gap), pendedahan, pengalaman, serta pembawakan seseorang.

Di dalam krisis matawang yang menyerang nilai ringgit kita sekarang, saya masih melihat perkara ini dalam konteks yang sama. Tidaklah keterlaluan jika saya mengatakan sehinggakan ramai yang susah hendak percaya dan yakin akan apa yang diutarakan oleh Perdana Menteri (PM) kita dalam isu kritikal ini. Setelah Bursa Saham New York runtuh baru-baru ini, barulah ada yang mula celik mata dan buka telinga. Ketika mula-mula matawang Malaysia diserang dan PM terus menyatakan adanya "dalang bertaraf antarabangsa" yang merencanakan dan mengepalai usaha itu, ada yang tidak percaya. Ramai yang lebih yakin dengan pandangan "pakar antarabangsa" yang mengatakan ia hanyalah semata-mata kesan kuasa pasaran (market forces). Kemudian, serangan tersebut melanda Indeks Hang Seng di Hong Kong dan PM bersuara lagi dengan lebih lantang walaupun "pakar ekonomi antarabangsa" tetap mempertahankan pendapat mereka. Walaupun sudah ada yang mula buka sebelah mata, masih ada yang melihat pandangan PM susah nak dipercayai. Cara media Barat memainkan isu ini seolah-olah menampakkan PM kita sebagai "anti-establishment" dalam konteks ekonomi global. PM tetap menyatakan, "Saya berpendapat mereka sudah sedar bahawa ini adalah hasil manipulasi," kepada wartawan Malaysia di akhir Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) di Edinburgh baru-baru ini.

Apabila Wall Street menerima padahnya yang paling buruk selepas "Black Monday" sedekad yang lalu, "ramai kini sudah menyedari kebenaran dalam apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengenai spekulasi dan manipulasi di kedua-dua pasaran mata wang dan saham. Kenyataan yang mulanya dianggap tidak munasabah kini mula diterima akal," kata penganalisis di Inter-Pacific Securities, Danny Ooi, yang dipetik oleh sebuah agensi berita antarabangsa.

Saya ingin mengaitkan tragedi krisis matawang dengan persediaan negara menuju Era Maklumat. Model halatuju dunia mengikut Alvin Toffler, Johh Naisbitt dan Tapscott memberi gambaran yang sama – maklumat akan menguasai Abad 21 sebagaimana ekonomi (wang) menguasai hidup kita sekarang. Sebagaimana ekonomi dan matawang dimanipulasikan sekarang untuk menguasai mereka yang lemah, kita jangan terkejut dan hairan apabila maklumat akan dimanipulasikan kelak.

Apabila sifat tamak, haloba dan mahu menguasai segala-galanya menyelubungi jiwa, penjajahan masih tetap akan berlaku.

Saya melihat perjuangan yang mahu dibawa oleh PM dalam menentang mereka yang memanipulasikan matawang adalah lebih dari isu matawang semata-mata. Ianya adalah juga isu kepercayaan dan keyakinan, isu keyakinan diri dan rasa berdikari, dan isu kemerdekaan jiwa dan raga.

Ya, ini adalah isu dalaman, isu jiwa dan isu hati. Apabila PM menyebut kita tidak memerlukan bantuan "orang luar" dalam menangani nilai ringgit yang merosot, kita perlu mengerti apa yang tersirat, bukan sahaja tersurat. Dalam keadaan yang begitu kritikal (jika anda dapat menjiwai kegawatan yang melanda sekarang) ini, seorang pemimpin mahukan sokongan dari pengikutnya. Ramai pemimpin yang mungkin terasa "mereka sendirian" terutamanya dalam saat-saat genting.

Maka, projek MSC yang tetap mahu diteruskan oleh pimpinan kita adalah satu amanah yang mencabar kewibawan dan kebolehan kita – wahai anak tempatan. Tiada siapa yang bakal mendokong, menjayakan dan mengukuhkan lagi asas negara Abad 21 ini, melainkan kita juga – wahai anak tempatan.

Inilah masanya kita MESTI saling percaya mempercayai sesama kita. "Gua Caya Lu, Lu Caya Gua"!

______________________________________________________________________

* Siri penulisan ini adalah sebahagian dari sumbangan pendidikan penulis dalam misi beliau untuk "Memasyarakatkan Internet". Pembaca boleh berhubung, menghantar pendapat, komen atau ide kepada Haji Ahmad Jamali bin Haji Sepihie, Naib Presiden Kanan/Ketua Pegawai Operasi, Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd, Cyber Club, UPM-MTDC Technology Incubation Centre One, Universiti Putra Malaysia, 43400 Serdang, Selangor D.E. , Tel. : 03-9161718/19/20, Faks : 03-4070866, e-mel : jamali@hijau.com.my. Artikel-artikel terdahulu boleh dicapai di http://www.hijau.com.my/hitzine/berita_komp.htm


is electronically published by
Hijau Inovasi Teknologi Sdn Bhd
Block C, UPM-MTDC
Technology Incubation Center One, P.O. Box 261,
43409 Serdang, Selangor Darul Ehsan
Tel : 469 9401/402, Fax : 466 9456

January 1997 - All Rights Reserved