Perkaedahan dan Penilaian Menurut Islam
 
Pendahuluan.

Pendidikan sebenarnya tidak mempunyai suatu pengertian yang tetap dan tegas, namun ianya lebih fleksibel bergantung kepada isu pokok yang diperbincangkan, serta berubah mengikut aliran, tujuan dan tugas-tugas pendidikan pada sesuatu bangsa dan pada sesuatu masa.

Walau bagaimana pun, untuk memudahkan penjelasan, huraian pendidikan dari segi bahasa adalah paling mudah. Menurut Abd. Kadir Hj. Ismail (1974), dalam bahasa, pendidikan bolehlah diertikan sebagai pertumbuhan-pertumbuhan pemeliharaan, pengasuhan dan penyuburan. Dengan pengertian ini, nampaklah kepada kita bahawa kegiatan pendidikan itu bukanlah sesuatu yang dilakukan oleh seseorang terhadap manusia sahaja, namun terhadap semua makhluk tuhan yang hidup dan perlu dipelihara supaya ianya dapat berkembang dengan baik dan dapat dimanipulasikan supaya menjadi berguna dan menambahkan ketakwaan kepada penciptanya.

Manusia perlukan pendidikan secara khusus dan mendidik itu bukanlah suatu aktiviti yang mudah. Ini adalah kerana manusia sebagai individu yang unik mempunyai berbagai-bagai bakat yang tersendiri, pelbagai naluri, emosi, kecenderungan, kekuatan, kelemahan dan tabiat-tabiat yang berlainan antara satu sama lain.

Pendidik sukar untuk berjaya dalam usaha mendidik kecuali mereka mengetahui punca-punca kesukaran yang dihadapi dan menanganinya dengan berkesan dan membantu pelajar menggunakan kekuatan-kekuatan yang ada pada mereka untuk belajar dan mencapai kesempurnaan hidup.

Pendidik juga mestilah memastikan bahawa anak didiknya dapat mengembangkan bakatnya dengan baik agar dapat mengelakkan mereka daripada menyalahgunakan bakat mereka itu. Ini kerana manusia sentiasa dipengaruhi oleh nafsunya untuk berbuat kejahatan. Firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 53 yang bermaksud "Bahawa sesungguhnya nafsu itu adalah menyuruh berbuat jahat".

Dari segi tujuan pendidikan, Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa seseorang guru itu hendaklah memberitahu kepada murid-muridnya bahawa tujuan menuntut ilmu ialah untuk mendampingkan diri kepada Allah, bukan untuk menjadi ketua atau pun untuk bermegah-megah.

Maka dalam menjadikan pendidikan mencapai matlamatnya, pendidik mestilah mempunyai kaedah yang berkesan untuk mendidik. Untuk mempastikan sesuatu kaedah itu berkesan, penilaian terhadap kemajuan pembelajaran murid hendaklah dilakukan. Dengan kaedah yang betul dan penilaian yang berkesan, pendidik akan dapat mempastikan objektif pendidikan tercapai.

 

Definisi Perkaedahan dan Penilaian.  [Menu]

a) Perkaedahan.

Menurut A. Kadir Hj. Ismail (1974) perkaedahan merupakan cara-cara yang diikuti oleh seseorang guru untuk menyampaikan pelajaran kepada murid-murid supaya mereka dapat mencapai kejayaan dengan sepenuhnya, atau langkah-langkah yang diaturkan oleh guru sebelum ia masuk ke bilik darjah untuk menjalankan tugasnya yang akan digunakan kepada murid-murid supaya mereka menurut arahan dan perhatiannya.

Guru telah menetapkan kaedah yang akan digunakan terhadap murid-murid sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran supaya sesi tersebut nanti akan berjalan menurut kehendak guru. Guru juga akan dapat mengawal proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

 
b) Penilaian.

Mokhtar Ismail (1995) mentakrifkan penilaian sebagai proses menentukan mutu, kualiti, harga atau nilai sesuatu benda. Dalam konteks pendidikan, beliau memfokuskan penilaian kepada hasil pembelajaran yang telah dilalui oleh pelajar, iaitu setakat mana pelajar dapat menyerap kandungan pengajaran yang disampaikan oleh guru.

Popham (1975) berpendapat penilaian pendidikan yang sistematik mengandungi satu tafsiran formal tentang nilai fenomena pendidikan. Penilaian pendidikan itu mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran dihalakan.

Oleh itu, kita dapat katakan dari aspek pendidikan, penilaian boleh didefinisikan sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran telah dicapai oleh pelajar.

 

Perkaedahan Menurut Islam. [Menu]

Ibnu Khaldun berpendapat kaedah-kaedah pengajaran merupakan teknik-teknik untuk menyampaikan kandungan pengajaran kepada penuntut. Kaedah pengajaran ini hendaklah sentiasa dikaji dan diperbaiki dari masa ke semasa berdasarkan kepada kemampuan pelajar menerima bahan pembelajaran. Walau bagaimanpun, perubahan-perubahan itu hendaklah mempunyai garis-garis yang dijadikan panduan.

Ahmad Mohd. Salleh (1997) pula berpendapat kaedah adalah satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik. Ia merupakan langkah-langkah atau peringkat-peringkat pengajaran yang tersusun rapi dan kesinambungan yang harus dituruti dengan saksama bagi mencapai sesuatu pengajaran.

Menurut Al-Qabisi, asas perkaedahan dalam pendidikan dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu pembahagian mata pelajaran, objektif setiap mata pelajaran dan teknik dan pendekatan pengajaran.

 
Pembahagian Mata Pelajaran. [Menu]

Idea mengenai mata pelajaran kelihatan melalui mata-mata pelajaran yang dipelajari oleh kanak-kanak melalui buku-buku, antaranya ada yang dianggap sebagai ilmu-ilmu asasi dan ada yang dianggap sebagai ilmu-ilmu pilihan.
 

Ilmu-ilmu asasi:

a) Al-Qur’an.

Pendidikan asasi pertama yang mudah dipelajari oleh kanak-kanak melalui kitab ialah al-Qur’an di mana orang-orang Islam telah menuruti manhaj ini. Pendidikan al-Qur’an telah menjadi suatu uruf dan adat yang dibiasakan oleh umat Islam dalam membentuk anak-anak mereka di mana pelajaran al-Qur’an terhadap kanak-kanak menjadi asas bagi pelajaran-pelajaran lain selepasnya. Al-Qabisi mencadangkan orang-orang Islam supaya sentiasa gemar mengajar anak-anak mereka kepada al-Qur’an dan mendidik anak-anak juga menggunakan al-Qur’an.

 

b) Fiqh.

Selain daripada al-Qur’an, kanak-kanak juga hendaklah mempelajari sesuatu daripada fiqh yang merangkumi prinsip-prinsip asasnya. Ini kerana fiqh dapat membantu mereka menunaikan kewajipan-kewajipan terhadap agama. Sebagai contoh, pendidik perlulah mengajar dan menyuruh mereka sembahyang apabila mereka mencapai usia tujuh tahun dan memukul mereka jika mereka ingkar pada usia sepuluh tahun. Pendidik mestilah mengajar mereka wuduk dan sembahyang kerana ia termasuk dalam urusan agama mereka, serta rukun-rukun dan wajib dalam sembahyang.

Selanjutnya al-Qabisi turut menitikberatkan agar kanak-kanak mempelajari tentang kebesaran Allah S.W.T. sehinggalah mereka dewasa sebagai orang yang beriman kepada tuhannya dan mengetahui sifat-sifat tuhannya. Kanak-kanak juga disarankan mempelajari doa serta diperkenalkan kepada mereka keagungan dan kebesaran Allah agar mereka gemar kepada Allah serta mengagungkanNya.

c) Akhlak.

Pendidik diseru agar beriltizam dengan pendidikan akhlak kanak-kanak. Ini merupakan kewajipan yang mesti ditunaikan oleh mereka kerana Alah. Pendidikan ini dilangsungkan sehinggalah kanak-kanak itu terlatih dengan contoh-contoh yang baik dan menurut tingkahlaku yang betul. Kanak-kanak hendaklah diajar dengan tata susila dengan nasihat dan pemeliharaan.

Dalam pendidikan akhlak, penilaian dari segi teori adalah tidak wajar, malah kanak-kanak perlukan pengawasan tingkahlaku. Pengawasan berlaku melalui pemerhatian pendidik terhadap tingkahlaku dan mengawal muammalah kanak-kanak sesama mereka. Apabila melihat kanak-kanak melakukan perangai yang tidak sesuai, pendidik mestilah mencegahnya serta-merta dan menerangkan kesalahan tersebut.

Pendekatan sebegini menurut al-Qabisi akan menjadikan pelajar menginsafi dan mengelak daripada menyanggahi kaedah-kaedah akhlak. Pendidik hendaklah menerangkan kesalahan yang dilakukan, dan memberitahunya secara langsung dan memburuk-burukkan perbuatan itu serta memberi amaran dengan hukuman sekiranya kesalahan yang sama diulangi dengan sengaja. Ini akan menghindarkan pelajar melakukan kesilapan yang sama pada masa hadapan.

 

d) Tulisan, Ejaan dan Bacaan.

Ketika mempelajari al-Qur’an, kanak-kanak perlu mempelajari tulisan, ejaan dan bacaan dan perkara-perkara ini merupakan kemestian untuk mengajar al-Qur’an. Oleh itu, al-Qabisi mewajibkan guru-guru mengajar tulisan, ejaan dan bacaan dan menunjukkan prinsip-prinsip bentuk bacaan dan memastikan pelajar membaca al-Qur’an mengikut prinsip yang dikemukakan oleh guru mereka dengan waqaf dan tartil yang baik.

e) Bahasa Arab

Manhaj ini menitikberatkan supaya pelajar mengetahui prinsip-prinsip ilmu nahu, bertujuan supaya pelajar itu berkemampuan untuk membaca dengan baik dan mengelakkan kesalahan dalam pembacaan al-Qur’an.

Ilmu-ilmu bukan asasi.

Manhaj yang dikemukakan oleh al-Qabisi juga turut mencakupi pelajaran-pelajaran lain yang bukan asasi seperti sains, matematik dan lain-lain. Guru-guru dan murid-murid boleh menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai pilihan dan tambahan kepada ilmu asasi.

 
Objektif Mata-mata Pelajaran.[Menu]

Al-Qabisi menunjukkan secara ringkas tugas setiap matapelajaran adalah seperti berikut:

 

a) Al-Qur’an al-Karim.

Menurut al-Qabisi, objektif daripada pengajian dan pengajaran al-Qur’an adalah "Apa yang diperoleh oleh kanak-kanak dengan mempelajari al-Qur’an adalah sepanjang-panjang kekayaan dan sebanyak-banyak perbelanjaan". Beliau mengutarakan pendapat ini berdasarkan Surah al-Isra’, ayat 9 yang bermaksud " Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal salih, bahawa mereka berolh pahala yang besar".

 
b) Fiqh.

Pengajian Fiqh berobjektifkan bahawa pelajar akan dibawa kepada menunaikan kewajipan-kewajipan agama sejak kecil sehinggalah usia dewasa. Apabila dewasa, pelajar akan mendapati perintah syara’ sudah menjadi sebati dengan jiwa mereka kerana telah dibiasakan sejak kecil.
 

c) Bahasa Arab dan Adab-adabnya.

Objektif utama pengajian bahasa Arab ialah untuk membantu memahami al-Qur’an dan membolehkan pelajar bertutur dan membaca dengan baik supaya pelajar dapat menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan yang terkandung dalam kitab suci itu. Kata Ibn Wahab, "Hammad bin Zaid telah menceritakan kepadaku daripada Yahya bin ‘Atiq, katanya "Aku katakan kepada Hasan, apa pandangan kamu, seorang lelaki yang mempelajari bahasa Arab untuk meluruskan lidahnya (membetulkan sebutan) dan membaiki tutur katanya (fasih)"? Jawab Hasan, " Ya, hendaklah dia belajar, sesungguhnya terdapat seseorang yang membaca ayat al-Qur’an dan ia lemah dalam mengerti bentuk-bentuk ayat maka binasalah ia".

Jenis-jenis Perkaedahan Pengajaran dan Pembelajaran. [Menu] Menurut Ahmad Mohd Salleh (1997), terdapat empat jenis utama kaedah pengajaran iaitu kaedah sokratik, kaedah projek, kaedah dapatan atau penyelidikan dan kaedah penyelesaian masalah.

 

Kaedah sokratik:

Objektif pengajaran sokratik yang utama ialah pertanyaan. Apa yang dipentingkan ialah perkembangan kemahiran menyoal yang menuju kepada kebenaran.Sokratik mengajar pengikutnya cara bagaimana sesuatu definisi dicapai. Kaedah ini berbentuk elektif iaitu perbualan, peranan guru mengemukakan soalan dan murid pula menyusun pengalaman lampau untuk menjawab soalan-soalan.

 

 

Kaedah projek:

Kaedah projek ialah suatu kaedah di mana murid-murid menjalankan suatu uji kaji atau kegiatan di dalam situasi yang sebenar bertujuan untuk mendapatkan hasil. Contohnya projek bercerita , melibatkan pembelajaran menikmati cerita dalam berbagai bentuk, lisan, lagu, muzik dan gambar.

 

Kaedah dapatan atau penyelidikan:

Dengan kaedah ini, murid-murid belajar menyelidiki sendiri melalui pemerhatian, percubaan dan ujian. Dalam mata pelajaran sejarah misalnya, murid-murid akan belajar mencari fakta-fakta tentang zaman yang mereka pelajari tentang kehidupan sesuatu kaum dari segi bahasa, kemajuan dan sebagainya. Kemudian mereka akan mencari rujukan daripada buku, artifak, gambar-gambar dan guru mereka sendiri. Tujuan kaedah ini adalah supaya murid-murid berfikir, menimbang sesuatu dan membuat kesimpulan dengan tepat.

 

Kaedah penyelesaian masalah:

Kaedah ini merujuk kepada pendekatan-pendekatan pengajaran berdasarkan kaedah penyiasatan yang saintifik. Kaedah ini melibatkan lima langkah :

    1. Mengenal masalah.
    2. Mengenal maklumat.
    3. Membuat hipotesis.
    4. Menguji hipotesis.
    5. Menilai dan membuat rumusan.
Sebagai contoh, dalam suatu kelas pedagogi, sekumpulan guru pelatih mungkin memikirkan cara-cara penyelesaian masalah disiplin di kalangan murid-murid sekolah. Mereka akan membaca artikel-artikel dan penulisan yang berkaitan dengan masalah disiplin dan kemudian membuat hipotesis tentang cara-cara mengatasi masalah disiplin di sekolah.

Alternatif-alternatif yang difikirkan itu mungkin dapat diuji apabila mereka mengamalkannya semasa menjalani latihan mengajar di sekolah. Dalam tempoh itu, mereka akan menilai dan akhirnyua membuat rumusan tentang hipotesis yang telah dibuat.

 

Pendekatan-pendekatan Pengajaran.[Menu]

Mengikut pandangan Ibnu Khaldun, setiap mata pelajaran teknik-teknik dan pendekatan untuk menyampaikan kandungannya kepada penuntut. Beliau telah memperingatkan pendekatan-pendekatan ini dan telah berjaya mengenal pasti kelainan pendekatan ini di antara pengajaran peringkat pertama dan peringkat lanjutan. Dalam membezakan antara dua pendekatan ini, beliau berpegang kepada asas kejiwaan yang terpamer melalui kelainan persediaan dan keupayaan di kalangan pelajar.

 

Talqin (Pandang dengar)

Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah hafalan. Kaedah ini dianggap termasuk dalam pendekatan yang paling umum dalam pendidikan, khususnya dalam pendidikan peringkat pertama, iaitu kanak-kanak diarahkan supaya menghafal ayat-ayat al-Qur’an yang merupakan mata pelajaran terpenting dalam pengajaran peringkat pertama. Kanak-kanak akan berpegang kepada pendekatan ini untuk menghafal apa yang disampaikan kepadanya.

Kaedah ini merupakan kaedah yang terbukti berkesan dalam pendidikan Islam sehinggakan Rasullallah S.A.W sendiri apabila menerima wahyu, baginda terus menghafal wahyu tersebut kerana bimbang wahyu itu hilang dari ingatan.
 

Muhakah (Taklid). [Menu]

Muhakah atau taklid termasuk dalam kaedah-kaedah yang berjaya dalam pendidikan peringkat pertama di mana kanak-kanak mempunyai minat untuk memindahkan apa yang disaksikannya dan apa yang disaksikan itu akan bertimbal balik dengan dirinya sendiri apabila gambaran itu terpahat kukuh dalam jiwanya. Ibnu Khaldun menganggap muhakah termasuk dalam pendekatan pengajaran yang penting.

Kadangkala Allah S.W.T mempermudahkan ke atas manusia untuk memperoleh ilmu-ilmu dengan pantas apabila manusia bertaklidkan ibu bapa, guru-guru dan orang tua-tua. Maka manusia tidak perlu bersusah payah menggali ilmu-ilmu tersebut.

 

Percubaan.

Percubaan memerlukan pengalaman, penyaksian dan keperitan yang dilalui. Ibnu Khaldun percaya bahawa kaedah ini penting dalam memindahkan makrifah dan pengalaman. Pengertian-pengertian ini sangat hampir dengan panca indera. Pemerhatian tidak boleh mencapainya dengan penelitian yang mendalam, malahan semuanya dikenal pasti dengan percubaan. Dengan percubaan inilah diambil faedah kerana pengertian-pengertian ini adalah berbentuk pecahan yang berhubung kait dengan perkara-perkara deria. Kebenaran dan kepalsuan semakin nyata pada realiti. Maka penuntut akan memperolehi ilmu dengan percubaan melalui pancaindera itu. Setiap penuntut akan mencuba untuk menggunakan pendekatan ini untuk mencapai sebanyak mungkin ilmu yang diingini.

 

Pengajaran Menggunakan Deria. [Menu]

Ibnu Khaldun juga menitikberatkan kaedah ini dalam pengajaran peringkat pertama di mana kefahaman pelajar adalah terbatas. Kadang kala seseorang pelajar tidak dapat memahami pengajaran pada kali pertama atau kedua. Oleh itu, guru dipinta supaya mengulangi pengajaran sama ada sebahagian atau keseluruhan mengikut keperluan serta melibatkan lebih penggunaan deria pelajar.

 

Pengulangan.

Antara kaedah lain yang turut digunakan oleh Ibnu Khaldun adalah pengalaman, di mana kadangkala pelajar tidak dapat memahami pada kali pertama atau kedua. Dalam hal, guru diminta supaya mengulang semula pelajaran tersebut sehingga pelajar dapat memahami pelajaran tersebut.

Kemudian persedian pada ilmu itu dibuat secara beransur-ansur. Persediaan pada ilmu berbeza dengan persoalan-persoalan seni, pengulangannya dan perpindahan persoalan-persoalan itu daripada secara kasar kepada penyeliputan sehinggalah terhasilnya malakah dalam persediaan, kemudian dalam penghasilan dan seterusnya ia dilingkungi oleh segenap persoalan-persoalan seni.

 

Kaedah Syarahan/Kuliah.

Kaedah syarahan atau kuliah merupakan kaedah penyampaian pengajaran yang umumnya digunakan di pusat-pusat pengajian tinggi. Dalam kaedah ini, guru lebih banyak memberi huraian, penjelasan serta penerangan daripada pelajar. Kaedah ini menampakkan kebergantungan pelajar kepada guru dan mampu mencetuskan perasaan hormat pelajar kepada guru.

Musa Daia (1992) berpendapat bahawa tujuan kaedah ini ialah umtuk menyampaikan sesuatu pengajaran supaya merangsang murid, menjelas dan membuat rumusan, meneliti dan mengulangkaji, mengembangkan isi pelajaran dan menyampaikan maklumat yang telah dirancang.

 

Kaedah Dialog. [Menu]

Kaedah dialog dianggap sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang amat popular pada masa kini. Pengenalan kaedah ini telah ditonjolkan oleh al-Qur’an dan juga menjadi suatu tradisi pembelajaran Islam yang biasa diamalkan oleh Rasullallah S.A.W. Antara buktinya dapat dilihat dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Umar bin al-Khattab yang bermaksud:

Pada suatu ketika, sedang Rasullallah S.A.W dikelilingi oleh para sahabat dalam sebuah majlis ilmu, tiba-tiba datang seorang lelaki yang berpakain putih, lalu duduk di sisi Rasullallah S.A.W. Dia merapatkan lututnya ke lutut nabi dan meletakkan tangan ke atas riba nabi sambil bertanya tentang Islam, Iman dan Hari Kiamat. Tiap-tiap soalan di jawab oleh Rasullallah S.A.W dengan baik dan sempurna dan tentang kiamat dinyatakan alamat-alamatnya. Selepas nabi selesai menjawab, lelaki tersebut menghilangkan diri. Sehubungan dengan peristiwa itu, Rasullallah S.A.W menjelaskan kepada para sahabat bahawa lelaki tersebut ialah Jibril yang datang untuk menerangkan pengajaran agama".

 

Kaedah soal jawab. [Menu]

Tujuan kaedah ini adalah untuk merangsang pemikiran. Menyoal merupakan sebahagian daripada setiap interaksi pengajaran pembelajran antara guru dengan murid. Namun demikian, strategi-strategi penyoalan masih kurang difahami oleh kebanyakan guru, kebanyakan guru hanya mengemukakan satu atau dua jenis soalan.

Menurut Salihin Siais (1993), kaedah menyoal dapat menggalakkan kecerdasan dan pemikiran. Fenomena ini akan dapat menumpukan perhatian dan fikiran terhadap apa yang diingati. Ia juga dapat mengelakkan daripada memikirkan masalah lain.

 

Kaedah Perdebatan.

Al-Qur’an dengan jelas telah mengesahkan perdebatan antara Nabi Ibrahim dengan Raja Namrud tentang kekuasaan mutlak pencipta alam. Kaedah ini secara positif dapat melatih seseorang dalam perdebatan kerana perdebatan yang sempurna amat bergantung kepada kepetahan bercakap dan kecerdasan otak bagi mengeluarkan buah fikiran dan hujah yang konkrit dan logik secara serta merta bagi mengalahkan lawan di samping membuktikan hakikat kebenaran.

 

Kaedah resitasi.

Kaedah ini digunakan untuk menilai sejauh mana pelajar mengetahui atau memahami sesuatu konsep dan seterusnya meneguhkan pemahaman yang betul dan tepat. Kaedah ini melibatkan ingatan semula tentang maklumat yang baru sahaja dipelajari. Biasanya resitasi digunakan untuk meringkaskan pengajaran dalam set induksi bagi mengingati pelajaran lepas.

Dalam kaedah ini, guru mengemukakan soalan dan memberikan jawapan. Pelajar dibenarkan merujuk nota, buku dan sebagainya.

 

Kaedah Perbincangan.

Rasullallah S.A.W menggunakan kaedah perbincangan (muhadathah) dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, kefahamn dan pendidikan. Perbincangan antara baginda dan sahabat besar telah berlaku dalam masalah tawanan Badar.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, tujuan kaedah ini ialah untuk menggalakkan pertukaran idea secara beabs antara beberapa orang pelajar tentang sesuatu topik. Perbincangan kelas untuk merangsang minat pelajar-pelajar dan membimbing mereka mencapai pengetahuan baru memerlukan perancangan yang rapi.

 

Kaedah Pengembaraan dan Lawatan. [Menu]

Kaedah lawatan sering diberi pengertian sebagai kaedah pengajran yang dilaksanakan dengan cara kunjungan atau lawatan sambil belajar di luar kelas biasa. Dalam pelaksanaan kaedah yang dilakukan, guru secara langsung dapat memberikan gambaran jelas tentaeng apa yang dilihat dan dialami oleh murid pada masa itu, di samping perkara-perkara yang dilihat secara kebetulan dalam perjalanan ketika melakukan lawatan.

 

Kaedah Halaqah.

Kaedah halaqah biasanya dilakukan dengan para pelajar mengelilingi guru dalam bulatan atau separa bulatan untuk mendengar syarahan daripada guru. Pada kebiasaannya, guru bersandar pada dinding atau tiang masjid dengan mengadap arah kiblat (Abdullah Ishak, 1989). Mereka duduk dalam keadaan khusyuk terutama bagi menyampaikan pelajaran.

 

Kaedah Imlak.

Kaedah imlak berlaku selepas kertas dan tulisan dihasilkan iaitu selepas kaedah hafalan diutamakan. Kaedah ini memerlukan murid-murid menulis apa yang direncanakan kepadanya. Guru mengatur setiap kata-kata yang diungkapkan dan murid mencatat setiap kata-kata yang didengari.

Dalam sejarah pendidikan Islam, kaedah imlak bergandingan dengan ijtihad. Guru-guru memberi imlak kepada murid-murid tentang pemikiran dan kerja-kerja ilmiah. Dalam abad ke 8 Hijrah, kaedah ini dipopularkan oleh Hafiz Abdul Fadzel al-Iraqy.

 

Kaedah latih tubi.

Dalam Islam, kaedah ini mempunyai sejarah yang unik. Malaikat Jibril sendiri telah menggunakannya sewaktu mengajar Rasullallah S.A.W membaca ayat yang pertama turun. Baginda diajar membacanya berulangkali sehingga dapat membacanya.

Membaca berulang kali merupakan prinsip utama dalam kaedah ini, iaitu yang melibatkan corak pengajaran yang memberi kemahiran dan kecekapan dalam pengajaran yang melibatkan lisan dan pergerakan otot.

 

Prinsip-prinsip Perkaedahan Pengajaran dan Pembelajaran. [Menu] Terdapat lima prinsip penting dalam perkaedahan pengajaran dan pembelajaran. Prindip-prinsip ini haruslah diikuti untuk menjadikan kaedah yang digunakan berkesan. Prinsip-prinsip tersebut ialah:
    1. Satu strategi penyoalan haruslah diadakan supaya guru dapat menolong murid-murid membentuk konsep dan seterusnya membuat generelasasi yang dikehendaki.
    2. Mencuba dan menguji kemahiran intelektual murid-murid.
    3. Pengajaran yang terancang dan kepelbagaian aktiviti yang digunakan oleh guru akan dapat menarik minat mmurid.
    4. Guru juga perlu menyediakan alat bantu yang sesuai supaya mewujudkan bentuk pengajaran yang kukuh.
    5. Bantuan dan bimbingan guru diperlukan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.
 

 

Penilaian Dalam Pendidikan Islam. [Menu]

Penilaian merupakan sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran. Penilaian, pengajaran dan pembelajaran mempunyai hubungan yang saling bertindak balas antara satu sama lain bagi mencapai satu objektif yang telah dikenalpasti.

Dalam aspek pendidikan, penilaian merupakan suatu proses atau sistem yang merangkumi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan sewajarnya.

Proses penilaian melibatkan tiga langkah utama iaitu:

    1. Mendapatkan maklumat melalui cara mengukur.
    2. Menetapkan suatu kriteria bagi pengukuran.
    3. Membuat satu pentaksiran tentang hasil pengukuran.
  Prosedur penilaian mengandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisaan dan membuat kesimpulan. Prosedu-prosedur ini secara ringkasnya boleh dilaksanakan dalam lima peringkat:
    1. Peringkat persediaan ujian.
    2. Peringkat pentadbiran ujian.
    3. Peringkat pemeriksaan dan pengukuran.
    4. Peringkat analisis.
    5. Peringkat intepretasi dan tindakan.
  Untuk mendapatkan penilaian yang wajar, guru akan mempertimbangkan maklumat yang didapati dari pelbagai punca seperti pengetahuan sendiri mengenai murid, latar belakang dan pengalaman mereka, persekiratan rumah dan sekolah dan kecenderungan murid. Kesemua perkara ini dipertimbangkan atau dinilai oleh guru dan akhirnya satu penilaian akan dikemukakan untuk membolehkan tindakan wajar dilakukan, sama ada memberi pengajaran tambahan, peralihan topik, pertukaran kaedah dan sebagainya.

Terdapat dua jenis penilaian, iaitu penilaian formatif dan sumatif.

 

Penilaian Formatif [Menu]

Penilaian formatif melibatkan penggunaan ujian untuk mengukur kemajuan murid setelah mereka mencapai hasil pembelajaran tenang sesuatu topik yang terhad. Ia dijalankan secara tidak formal seperti soal jawab, kuiz pendek dan sebagainya.

Ia digunakan untuk mengesan bidang kelemahan individu supaya kelemahan tersebut dapat diperbetulkan dengan segera. Oleh itu, biasanya penilaian jenis ini kerap dilakukan.

 

Penilaian Sumatif.

Penilaian sumatif merupakan penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu kursus. Penilaian sumatif meliputi aktiviti pengujian dan pengukuran atas beberapa unit pembelajaran, biasanya dalam tempoh setengah tahun, setahun dan tempoh-tempoh tertentu yang ditetapkan. Penilaian ini dijalankan secara kertas pensel.

Penilaian ini digunakan untuk menentukan pencapaian murid dalam beberapa unit pembelajaran, Keputusan ujian akan digunakan untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti pengayaan dan pemulihan, merekod dalam profil serta menempatkan semula kedudukan murid dalam kumpulan yang sesuai.

Bidang ujian sumatif adalah luas dan ia sentiasa mengukur satu contoh semua tugasan pembelajaran yang ditentukan dalam pengajaran.

 
Penutup. [Menu]
Pendidikan Islam telah bermula sejak zaman berzaman bermula dari penciptaan Nabi Adam lagi apabila Allah SWT mengajarkan kepada Nabi Adam nama beberapa benda untuk menunjukkan kebesaranNya. Sejak itulah pendidikan manusia bermula. Pendidikan terus berkembang seiring dengan zaman.

Bagi menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai, maka pelbagai kaedah pengajaran direka dan diuji keberkesanannya. Untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan kaedah yang dicipta, diadakan pula penilaian. Kedua-dua unsur ini saling berkaitan dan bergandingan untuk mencapai objektif pendidikan.

 
 

Rujukan. [Menu]

 

Abdullah Al-Amin Al-Na’miy (1994). Kaedah dan pengajaran menurut Ibn Khaldun dan Al-Qabisi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

 

Ahmad Mohd. Salleh (1997). Pendidikan islam: Fassafah, pedagogi dan metodologi. Fajar Bakti Sdn. Bhd., Shah Alam.

 

Mokhtar Ismail (1995). Penilaian di bilik darjah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
 
 

[Pendahuluan][Definisi][Perkaedahan Menurut Islam][Pembahagian Matapelajaran][Objektif]
[Jenis-jenis Perkaedahan][Pendekatan][Prinsip Perkaedahan][Penilaian Dalam Islam][Penutup]