Perkaedahan dan Penilaian Menurut Islam  

Pendahuluan.

Pendidikan sebenarnya tidak mempunyai suatu pengertian yang tetap dan tegas, namun ianya lebih fleksibel bergantung kepada isu pokok yang diperbincangkan, serta berubah mengikut aliran, tujuan dan tugas-tugas pendidikan pada sesuatu bangsa dan pada sesuatu masa.

Walau bagaimana pun, untuk memudahkan penjelasan, huraian pendidikan dari segi bahasa adalah paling mudah. Menurut Abd. Kadir Hj. Ismail (1974), dalam bahasa, pendidikan bolehlah diertikan sebagai pertumbuhan-pertumbuhan pemeliharaan, pengasuhan dan penyuburan. Dengan pengertian ini, nampaklah kepada kita bahawa kegiatan pendidikan itu bukanlah sesuatu yang dilakukan oleh seseorang terhadap manusia sahaja, namun terhadap semua makhluk tuhan yang hidup dan perlu dipelihara supaya ianya dapat berkembang dengan baik dan dapat dimanipulasikan supaya menjadi berguna dan menambahkan ketakwaan kepada penciptanya.

Manusia perlukan pendidikan secara khusus dan mendidik itu bukanlah suatu aktiviti yang mudah. Ini adalah kerana manusia sebagai individu yang unik mempunyai berbagai-bagai bakat yang tersendiri, pelbagai naluri, emosi, kecenderungan, kekuatan, kelemahan dan tabiat-tabiat yang berlainan antara satu sama lain.

Pendidik sukar untuk berjaya dalam usaha mendidik kecuali mereka mengetahui punca-punca kesukaran yang dihadapi dan menanganinya dengan berkesan dan membantu pelajar menggunakan kekuatan-kekuatan yang ada pada mereka untuk belajar dan mencapai kesempurnaan hidup.

Pendidik juga mestilah memastikan bahawa anak didiknya dapat mengembangkan bakatnya dengan baik agar dapat mengelakkan mereka daripada menyalahgunakan bakat mereka itu. Ini kerana manusia sentiasa dipengaruhi oleh nafsunya untuk berbuat kejahatan. Firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 53 yang bermaksud "Bahawa sesungguhnya nafsu itu adalah menyuruh berbuat jahat".

Dari segi tujuan pendidikan, Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa seseorang guru itu hendaklah memberitahu kepada murid-muridnya bahawa tujuan menuntut ilmu ialah untuk mendampingkan diri kepada Allah, bukan untuk menjadi ketua atau pun untuk bermegah-megah.

Maka dalam menjadikan pendidikan mencapai matlamatnya, pendidik mestilah mempunyai kaedah yang berkesan untuk mendidik. Untuk mempastikan sesuatu kaedah itu berkesan, penilaian terhadap kemajuan pembelajaran murid hendaklah dilakukan. Dengan kaedah yang betul dan penilaian yang berkesan, pendidik akan dapat mempastikan objektif pendidikan tercapai.

 

Definisi Perkaedahan dan Penilaian.  [Menu]

a) Perkaedahan.

Menurut A. Kadir Hj. Ismail (1974) perkaedahan merupakan cara-cara yang diikuti oleh seseorang guru untuk menyampaikan pelajaran kepada murid-murid supaya mereka dapat mencapai kejayaan dengan sepenuhnya, atau langkah-langkah yang diaturkan oleh guru sebelum ia masuk ke bilik darjah untuk menjalankan tugasnya yang akan digunakan kepada murid-murid supaya mereka menurut arahan dan perhatiannya.

Guru telah menetapkan kaedah yang akan digunakan terhadap murid-murid sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran supaya sesi tersebut nanti akan berjalan menurut kehendak guru. Guru juga akan dapat mengawal proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.

 
b) Penilaian. [Menu]

Mokhtar Ismail (1995) mentakrifkan penilaian sebagai proses menentukan mutu, kualiti, harga atau nilai sesuatu benda. Dalam konteks pendidikan, beliau memfokuskan penilaian kepada hasil pembelajaran yang telah dilalui oleh pelajar, iaitu setakat mana pelajar dapat menyerap kandungan pengajaran yang disampaikan oleh guru.

Popham (1975) berpendapat penilaian pendidikan yang sistematik mengandungi satu tafsiran formal tentang nilai fenomena pendidikan. Penilaian pendidikan itu mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran dan matlamat ke arah usaha pengajaran dihalakan.

Oleh itu, kita dapat katakan dari aspek pendidikan, penilaian boleh didefinisikan sebagai satu proses sistematik untuk menentukan sejauh mana objektif pengajaran telah dicapai oleh pelajar.

 

Perkaedahan Menurut Islam. [Menu]

Ibnu Khaldun berpendapat kaedah-kaedah pengajaran merupakan teknik-teknik untuk menyampaikan kandungan pengajaran kepada penuntut. Kaedah pengajaran ini hendaklah sentiasa dikaji dan diperbaiki dari masa ke semasa berdasarkan kepada kemampuan pelajar menerima bahan pembelajaran. Walau bagaimanpun, perubahan-perubahan itu hendaklah mempunyai garis-garis yang dijadikan panduan.

Ahmad Mohd. Salleh (1997) pula berpendapat kaedah adalah satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik. Ia merupakan langkah-langkah atau peringkat-peringkat pengajaran yang tersusun rapi dan kesinambungan yang harus dituruti dengan saksama bagi mencapai sesuatu pengajaran.

Menurut Al-Qabisi, asas perkaedahan dalam pendidikan dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu pembahagian mata pelajaran, objektif setiap mata pelajaran dan teknik dan pendekatan pengajaran.

 
Pembahagian Mata Pelajaran. [Menu]

Idea mengenai mata pelajaran kelihatan melalui mata-mata pelajaran yang dipelajari oleh kanak-kanak melalui buku-buku, antaranya ada yang dianggap sebagai ilmu-ilmu asasi dan ada yang dianggap sebagai ilmu-ilmu pilihan.
 

Ilmu-ilmu asasi:

a) Al-Qur’an.

Pendidikan asasi pertama yang mudah dipelajari oleh kanak-kanak melalui kitab ialah al-Qur’an di mana orang-orang Islam telah menuruti manhaj ini. Pendidikan al-Qur’an telah menjadi suatu uruf dan adat yang dibiasakan oleh umat Islam dalam membentuk anak-anak mereka di mana pelajaran al-Qur’an terhadap kanak-kanak menjadi asas bagi pelajaran-pelajaran lain selepasnya. Al-Qabisi mencadangkan orang-orang Islam supaya sentiasa gemar mengajar anak-anak mereka kepada al-Qur’an dan mendidik anak-anak juga menggunakan al-Qur’an.

 

b) Fiqh.