KEWAJIPAN MENJAGA KEBERSIHAN


Sidang Jumaat yang berbahagia,
 

Islam mengambil perhatian yang benar-benar terhadap penjagaan kebersihan dan kesihatan. Justeru itu, tanggungjawab menjaga kebersihan dan kesihatan merupakan tuntutan wajib ke atas setiap individu muslim. Sama ada kebersihan tubuh badan, pakaian, tempat tinggal, makan minum, malahan yang lebih penting kebersihan dan kesihatan jiwa atau hati nurani.
 

Di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 222 bermaksud:
 

"Sesungguhnya Allah sangat mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan yang sentiasa mensucikan diri."
 

Mafhum daripada potongan ayat tersebut bahawa Allah suka kepada orang yang bersih batin atau di dalamnya, iaitu bersih aqidahnya daripada sebarang bentuk syirik dan kekufuran kepada-Nya atau sebarang khurafat yang boleh menjejaskan aqidah dan menganuti aliran atau ajaran-ajaran sesat.
 

Manakala 'Wayuhibbul Mutathahhirin' iaitu bersih luarannya. Kalau kita lihat kitab-kitab feqah, sama ada yang kecil atau muktabar adalah agenda utama ialah penjelasan mengenai bab at-Thaharah atau bab bersuci. Penjelasan mengenai cara-cara bersuci mengikut kehendak syarak, seperti cara-cara bersuci tubuh badan, pakaian, makanan serta peralatan dan cara penyediaannya. Sehubungan dengan itu juga al-Quran telah menjelaskan melalui surah an-Nahl ayat 115 yang bermaksud:
 

"Makanlah dari apa-apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada makanan yang halal lagi berkhasiat dan bersyukurlah kepada-Nya jika kamu benar-benar patuh kepada-Nya.
 

Sidang Jumaat yang berbahagia,
 

Baginda Rasullullah s.a.w. merupakan seorang yang sangat mementingkan kebersihan. Baginda telah mengubah cara hidup manusia dari kehidupan yang penuh dengan kekotoran dan kekufuran kepada cara hidup yang bersih.
 

Pernah satu ketika baginda berada di dalam masjid, tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang janggutnya tidak terurus dan rambutnya yang kusut masai serta mengerbang. Lalu baginda mengisyaratkan kepadanya dengan tangan seolah-olah baginda menyuruh mengemaskan rambut dan janggutnya. Lelaki tersebut terus mengambil tindakan membersih dan mengemaskan rambut serta janggutnya kemudian kembali semula ke hadapan baginda Rasulullah s.a.w. lantas baginda bersabda yang bermaksud:
 

"Tidakkah ini lebih baik dan cantik bagi kamu daripada datang dengan kepala yang mengerbang rambutnya, seolah-olah syaitan."
 

Peristiwa seperti ini menunjukkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. memarahi umatnya yang tidak menjaga kebersihan dan mengurus keadaan diri serta pakaiannya dengan sempurna, malahan disifatkan sebagai perlakuan syaitan.
 

Saudara kaum muslimin yang berbahagia,
 

Umat Islam dewasa ini mula melupakan dan mengabaikan tanggungjawab penjagaan kebersihan dan kesihatan. Akibat dari tidak keprihatinan ini, telah mendedahkan mereka kepada berbagai-bagai penyakit dan jangkitan seperti pembiakan nyamuk aides dan wabak virus Coxsackie B yang telah menyerang mangsanya yang kebanyakkan terdiri dari kalangan kanak-kanak, yang mengakibatkan kematian lebih dari 30 kanak-kanak di negara ini. Penyakit ini masih lagi menjadi misteri dan tanda tanya. Malah ini sinonim dengan virus aids yang masih belum ada penawarnya. Semuanya ini adalah berpunca dari kekotoran lahiriah manusia sendiri kerana pengabaian manusia terhadap penjagaan kebersihan dirinya dan alam sekitar.
 

Manakala balasan di akhirat akan dikenakan ke atas mereka yang mengabaikan kebersihan dan kesihatan iaitu azab kubur berdasarkan sebuah hadith Rasulullah yang bermaksud:
 

Nabi s.a.w. melalui dua buah kubur yang baru selesai mengembumikan mayat yang kedengaran jeritan kesakitan kerana sedang diazab di dalam kubur. Para sahabat bertanya: "Apakah kesalahan (dosa) mayat itu ya Rasulullah," baginda menjawab "satu mayat ialah sifatnya suka membuat fitnah atau talam dua muka dan satu mayat lagi ialah tidak membersihkan kencingnya atau lebih suka dalam keadaan bernajis.(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
 

Sidang Jumaat yang berbahagia,
 

Memandangkan perlu diberi perhatian kepada kebersihan yang meliputi semua aspek, lebih-lebih lagi mengenai alam sekitar maka pihak kerajaan telah mengatur dan melancarkan kempen khusus mengenai kebersihan disemua peringkat agar rakyat sama-sama menyambut hasrat dan cita-cita murni kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih cantik dan menarik. Adalah paling malangnya bagi kita umat Islam yang mana kebersihan merupakan sebahagian daripada ajaran Islam tetapi kita tidak mengamalkannya dan sesuai dengan fitrah manusia serta dapat mewujudkan suasana tenteram malahan indah dipandang di samping mencapai kesihatan rohani dan jasmani.
 



 

Khutbah Delivered by: Ustaz Mohamad b. Wok
Date: 15 August 1997