Nota Kemahiran Maklumat
[1.1 Pendahuluan][1.2 Apakah itu mengesan maklumat]
[1.3 Langkah-Langkah mengesan maklumat][1.4 Sumber Pengesanan Maklumat][1.5 Refleksi]
[2.1 Pengenalan (Menilai Maklumat)][2.2 Definisi Kemahiran Maklumat][2.3 Definisi Penilaian ]
[2.4 Kriteria Menilai Maklumat][2.5 Ciri-ciri Maklumat yang Baik][2.6 Refleksi Penilaian][Rujukan]
1.1. Pendahuluan [Atas][Bawah]
Masyarakat yang kemaskini ialah masyarakat yang menggunakan maklumat yang mutakhir.
Tanda-tanda sesuatu masyarakat pentingkan maklumat ialah seperti berikut: 1. Media
maklumat banyak digunakan seperti radio, televisyen, telefon dan lain-lain jenis alat
elekrtronik. 2. Bilangan suratkhabar dan pembaca akhbar ramai. 3. Maklumat senang dan
murah dihantar atau dipeerolehi. Maklumat juga cepat bergerak di antara satu tempat dengan
tempat lain. 4. Bilangan terbitan buku dan majalah baru juga banyak setiap hari. 5. Gemar
membaca.
1.2. Apakah itu
mengesan maklumat ? [Atas][Bawah]
Mengesan maklumat bermaksud mencari maklumat yang dikehendaki dalam
sebarang sumber yang sesuai. Ini termasuk kemahiran perpustakaan seperti menggunakan
katalog dan sistem Dewey untuk mengesan buku dan bahan bukan buku yang dikehendaki dari
rak buku dengan cepat.
Maklumat terdapat di dalam beberapa jenis dan
daripada beberapa punca. Maklumat terdapat di dalam bentuk cetakan seperti buku rujukan,
ensiklopedia, laporan tahunan dan sebagainya. Maklumat dari media cetakan yang selalu
dirujuk untuk menyediakan laporan atau tugasan ialah buku rujukan, ensiklopedia, laporan
tahunan, abstrak, gazetteer dan almanak.
Setelah sumber maklumat yang dikehendaki dapat
dikesan, kemahiran yang seterusnya ialah cara menggunakan bahagian-bahagian buku dan bahan
seperti daftar isi kandungan dan indeks untuk mengesan perkara yang berkenaan. Penggunaan
bahan rujukan khusus yang lain seperti ensiklopedia, atlas serta alat teknologi maklumat
yang moden seperti sistem maklumat berkomputer juga penting. Untuk bahan bukan buku,
alat-alat teknologi yang lain seperti perakam suara atau perakam video diperlukan untuk
memainkan pita audio atau pita video masing-masing.
Kadang-kadang, kemahiran mendapatkan maklumat
dari luar perpustakaan atau luar sekolah juga diperlukan. Ini termasuk menjalankan
tinjauan, temuduga atau kajian luar untuk mendapatkan maklumat yang khusus.
1.3.
Langkah-langkah mengesan maklumat. [Atas][Bawah]
Langkah-langkah mengesan maklumat boleh dibuat dengan mengikut
prosedur berikut:
1. Mencari bahan di perpustakaan melalui proses melihat kad katalog untuk buku
rujukan.
2. Bagi bahan-bahan lain selalunya ia tersimpan di beberapa tempat tertentu di dalam
perpustakaan. 3. Kalau tugas kita menyediakan sesuatu laporan, mungkin kita perlu merujuk
beberapa buah buku perangkaan yang memberi kita angka-angka yang
diperlukan.
4. Untuk mendapat maklumat dan perangkaan dari agensi kerajaan atau swasta, kita perlu
merujuk kepada Bahagian Jurnal atau Penerbitan Berkala.
5. Semua bahan yang dirujuk perlu ada isi yang berkaitan dengan tajuk laporan yang sedang
disediakan.
6. Perangkaan tidak memberikan maklumat di dalam bentuk ayat. Oleh itu, menggunakan
perangkaan, perlu ada struktur ayat dibina untuk mencantumkan eberapa perangkaan yang
tidak boleh berdiri dengan sendiri atau bermakna sendiri. Pusat Sumber boleh dikatakan
juga pusat maklmat. Di dalamnya terdapat berbagai-bagai jenis maklumat yang tercatat atau
tersimpan dalam berbagai-bagai jenis format.
Ada maklumat yang disimpan atau tercatat dalam buku, iaitu jenis
cetakan, dan ada juga yang direkodkan di dalam pita audio, video, filem atau slaid. Cara
kita mengesan buku yang ada di atas rak ialah dengan mengikut urutan aktiviti yang berikut
:
1. Tentukan apakah maklumat yang hendak dicari atau diperolehi.
2. Apabila telah memilih pusat sumber sebagai salah satu tempat mendapatkan maklumat
tersebut, pergi ke rak atau kabinet kad katalog.
3. Kalau anda tahu nama pengarang anda cari laci kad pengarang. Kalau anda tahu judul
buku, cari di laci kad judul. Salah satu punca boleh memberitahu anda sama ada buku yang
dicari ada atau tidak di perpusatakaan.
4. Catatkan maklumat buku yang ada di dalam kad katalog di atas
cebisan kertas.
5. Tuju ke rak buku yang ada nombor penjelasan yang sama dengan
nombor penjelasan di dalam kad katalog.
6. Kalau buku tiada di rak, berjumpa dengan puatakawan atau
pembantunya untuk menempah buku yang dicari.
7. Kalau ada, buatkan pinjaman mengikut sistem pinjaman yang
diamalkan.
Prosedur yang sama dijalankan untuk bahan bukan buku seperti pita
audio, pita vieo, piring hitam, filem dan sebagainya.
1.4.
Sumber-sumber pengesanan maklumat [Atas][Bawah]
Kamus Maklumat.
Di dalam kamus ialah makna sesuatu perkataan serta cara
menggunakannya. Ada juga kamus yang memberi maklumat tentang asal usul perkaaan serta
sebutan atau bunyinya. Kamus dwibahasa juga ada memberikan makna terjemahan seperti dari
bahasa Melayu ke bahasa Inggeris dan sebaliknya.
Ensiklopedia.
Maklumat yang terperinci dan kasar juga terdapat. Ada ensiklopedia
mempunyai jilid maklumat umum atau kasar, yang disebut makro. Jika terdapat jilid yang
menerangkan secara terperinci, ia disebut ensiklopedia mikro.
Atlas.
Maklumat di atlas asasnya ialah maklumat geografi. Kita akan
memperolehi maklumat tentang nama negeri nama bandar, nama laut, nama gunung, nama selat,
nama kawasan dan bentuk muka bumi yang lain. Daripada atlas juga terdapat maklumat tentang
pertanian, perlombongan, pengangkutan, taburan penduduk, kedudukan sesuatu tempat di
garisan bujur dan lintang dan sebagainya.
Buku Tahunan.
Buku Tahunan mengandungi maklumat tentang sesebuah negeri atau
bidang di dalam sesuatu tahun. Contohnya, buku Information Malaysia: 1986 Yearbook.
Almanak.
Almanak ialah buku yang mengandungi banyak maklumat yang
berbagai-bagai dan kemaskini. Ia mengandungi maklumat yang lebih kemaskini dari
ensiklopedia. Ia juga mengandungi perangkaan, carta, ringkasan dalam semua bidang.
Maklumat di Almanak disusun mengikut bentuk yang sama dengan Buku Tahunan.
Buku Panduan Telefon.
Maklumat daripada buku panduan telefon berkaitan dengan nombor
telefon, nama pemilik, nombor tersebut serta alamat rumah pemilik.
Graf.
Membaca graf garisan memerlukan pengetahuan tentang skala. Kita juga
perlu tahu membaca maklumat di paksi X dan paksi Y. Sukatan dan maklumat yang ada di paksi
X dan paksi Y tercatat di sebelah kedua-dua paksi. Membaca graf pai pula dijalankan dengan
melihat sektor-sektor yang ada di dalam grf pai. Di dalam sektor ini ada label dan nilai.
Baca label dan nilai untuk mengetahui sesuatu maklumat seperti jumlah dagangan, jumlah
penduduk, peratus golongan bandar dan luar bandar dan sebagainya.
Carta Maklumat.
Daripada carta boleh dikesan dengan membaca apa yang ada di dalam
carta. Kadangkala ia memberi meklumat tunggal. Banyak carta memberi maklumat yang
berkaitan.
Peta.
Di dalam peta terdapat beberapa jenis maklumat. Apabila membaca peta
seperti peta topo, kita perlu mengetahui makna simbol atau lambang yang ada dalam peta.
Kita juga perlu tahu makna sesuatu warna dan saiz skalanya. Semua maklumat ini ada di
dalam ruangan petunjuk. Petunjuk dan skala terdapat di bahagian tepi bawah peta. Begitu
juga arah angin. Kalau tiada arah angin, peta itu mempunyai arah utara di sebelah atas dan
barat di sebelah kiri pembaca. Untuk mencari tempat seperti bandar gunakan garisan bujur
atau lintang atau panduan grid bagi peta topo jika soalan mencari tempat disediakan dengan
bacaan grid.
Gambar.
Sekeping gambar mengandungi banyak maklumat. Maklumat di gambar
boleh dikesan dengan melihat bentuk, rupa atau warna yang ada di dalam gambar itu. Selepas
dapat mengesan bentuk atau rupa, barulah kita menceritakan tentang ciri sesuatu bentuk,
rupa atau warna sesuatu benda. Kita boleh buat lakaran di atas kertas berasaskan kepada
rupa bentuk dan kedudukan sesuatu benda yang ada di dalam gambar.
Majalah.
Ia bermula dengan mencari tempat dan nama majalah. Senarai makalah
yang ada di perpustakaan perlu dibaca dahulu untk mengetahui kehadiran sesuatu makalah
atau majalah. Mungkin ia disimpan secara terbuka di rak-rak majalah atau ia perlu diminta
dari pustakawan. Penuhkan borang khas untuk mendapatkan majalah dari simpanan tertutup.
Baca isi kandungan serta bilangan muka suratnya untuk mendapat muka surat di mana sesuatu
penulisan itu dicetak. Senarai kandungan ini boleh terdapat di halaman luar kulit depan
atau kulit belakang. Ia juga boleh terdapat di halaman judul majalah itu sendiri.
Indeks.
Indeks merupakan himpunan senarai bahan seperti buku, majalah,
akhbar dan bahan-bahan cetakan dan bahan cetakan yang lain. Ia memberikan pengguna
mengesan dengan cepat butiran berkenaan dengan satu jenis bahan. Di pusat sumber terdapat
banyak jenis indeks. Antaranya ialah indeks majalah seperti Popular Perriodical index.Dari
indeks majalah contohnya, kita boleh mengesan nama majalah, tarikh diterbitkan, iaitu
tahun atau bulan. Tahun, bulan dan juga nama majalah dan akhbar boleh jadi ditulis secara
ringkasan sahaja. Dari indeks anda boleh juga mendapat maklumat tentang nombor jilid.
Indeks majalah mengandungi juga nombor penjelasan. Ini terdapat di dalam indeks majalah
Malaysia, keluaran Perpustakaan Negara Malaysia. Ia dikelaskan mengikut bahagian atau
seksi dan perkara.
Bibliografi.
Maklumat yang ada di dalam bibliografi lengkap dengan nama
pengarang, judul, penerbit, tempat terbitan, tarikh terbitan, saiz buku, bilangan muka
surat, harga dan juga jenis jilidan (kulit tebal atau kulit nipis). Di dalam bibliografi
am seperti bibliografi Negara Malaysia, ada seksi yang memuatkan indeks pengarang, judul
dan siri. Indeks pengarang disusun mengikut abjad. Begitu juga perkara. Ini boleh
dikatakan sebagai bibliografi ama tetapi disusun mengikut nama pengarang dan perkara. Bagi
bibliografi khas ia hanya menyediakan butiran buku bagi sesuatu bidang sahaja sseperti
bibliografi teknologi, bibliografi sejarah dan sebagainya. Kalau kita hendak mengesan
bidang tertentu kita boleh merujuk kepada bibliografi khas ini.
1.5. Refleksi [Atas][Bawah]
Mengesan maklumat bermaksud mencari maklumat yang dikehendaki dalam
sebarang sumber yang sesuai. Ini termasuklah kemahiran perpustakaan seperti menggunakan
katalog dan sistem Dewey untuk mengesan buku dan bahan bukan buku yang dikehendaki dari
rak buku dengan cepat.
Setelah sumber yang dikehendaki dapat dikesan, kemahiran yang
seterusnya ialah cara menggunakan bahagian-bahagian buku dan bahan-bahan seperti daftar
isi kandungan dan indeks untuk mengesan perkara yang berkenaan. Penggunaan bahan rujukan
khusus yang lain seperti ensaiklopedia, atlas serta alat teknologi maklumat yang moden
seperti sistem maklumat berkomputer juga penting. Untuk bahan bukan buku, alat-alat
teknologi yang lain seperti perakam suara atau perakam video diperlukan untuk memainkan
pita audio atau pita video masing-masing. Oleh itu, pelajar juga perlu diajar cara-cara
menggunakan alat-alat rujukan khusus dan alat- alat teknologi pendidikan tersebut.
Kadang-kadang, kemahiran mendapatkan maklumat dari luar perpustakaan atau luar sekolah
juga diperlukan. Ini termasuk menjalankan tinjauan, interbiu atau kajian luar untuk
mendapatkan maklumat yang khusus. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa pelajar dapat
menguasai kemahiran mengesan maklumat dengan berjaya, khususnya selepas mereka mendapati
bahawa kemahiran ini dapat membantu mereka dalam pelajaran mereka ( Wray, 1985 ).
2. KEMAHIRAN MENILAI MAKLUMAT
2.1. Pengenalan [Atas][Bawah]
Pada umumnya, maklumat pada masa ini adalah terlampau banyak dan
mudah diperolehi terutamanya dengan adanya lebuhraya maklumat. Maklumat-maklumat ini perlu
dipilih, diproses dan dinilai sebelum ia dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh
pengguna. Setiap hari berjuta-juta tranksaksi maklumat dilakukan dalam pelbagai urusan.
Berjuta-juta maklumat diproses dan dikeluarkan setiap minit di merata dunia. Hasil dari
ledakan maklumat ini, maka teknologi maklumat menjadi sangat penting bagi manusia.
Teknologi untuk mengumpul maklumat dengan tepat, memproses data dengan cekap dan teknologi
menghantar maklumat dengan cepat sangat diperlukan untuk membantu manusia menguruskan
jutaan maklumat masa kini. Oleh itu secara ringkasnya boleh dikatakan sebelum sesuatu
maklumat dapat digunakan atau dipersembahkan, maklumat berkenaan mesti melalui beberapa
peringkat proses seperti dianalisis, disintesis, ditaksir dan dinilai oleh pengguna. Oleh
itu boleh dikatakan bahawa maklumat itu sendiri tidak mempunyai sebarang nilai. Nilai
maklumat adalah bergantung kepada pengguna. Ini adalah kerana maklumat ini mungkin berguna
untuk pengguna A tetapi sebaliknya bagi pengguna B.
2.2. Definisi
Kemahiran Maklumat. [Atas][Bawah]
Kemahiran didefinisikan sebagai kebolehan, kecekapan atau kepandaian
untuk melakukan sesuatu perkara. Maklumat pula dapat didefinisikan sebagai keterangan atau
butiran-butiran yang berguna atau mempunyai maksud tertentu bagi seseorang yang
memilikinya. Oleh itu kemahiran maklumat dapatlah diberi maksud sebagai kebolehan atau
kemampuan seseorang memperolehi dan menggunakan maklumat. Kemahiran ini amat penting
sekali kerana dalam zaman teknologi moden ini, dunia kita terdedah kepada ledakan
maklumat. Oleh itu kemahiran ini dapat membantu seseorang itu mencari atau memperolehi
maklumat dari pelbagai sumber seperti alat elektronik, sumber primer, perpustakaan,
agensi-agensi persendirian atau kerajaan dan sebagainya. Kemudian maklumat ini dinilai dan
digunakan semula.
2.3. Definisi
Penilaian. [Atas][Bawah]
Penilaian boleh didefinisikan sebagai membuat pertimbangan mengenai
nilai, idea- idea, kerja, penyelesaian, kaedah, bahan dan sebagainya untuk beberapa tujuan
tertentu. Penilaian melibatkan penggunaan kriteria dan juga standard-standard
untuk menilai sejauh mana sesuatu perkara itu tepat, berkesan, ekonomi atau
memuaskan.
2.4. Kriteria
Menilai Maklumat. [Atas][Bawah]
Secara umumnya terdapat lima kriteria yang boleh digunakan untuk
menilai sesuatu maklumat. Antara kriteria-kriteria ini ialah :
2.4.1. Autoriti ( Authority ) - Autoriti dapat dilihat daripada
dua segi iaitu pihak yang berkuasa atau bertanggung jawab dan pengarang ( author ). Hanya
maklumat-maklumat yang diperolehi daripada sumber yang beroutoriti sahaja dapat diterima
mengenai kesahan dan kebolehpercayaannya. Sebagai contohnya kalau Profesor Ungku Aziz
menerbitkan sebuah buku yang berkaitan dengan isu-isu ekonomi negara. Maka pendapat dan
cadangannya akan diterima oleh kebanyakan pihak kerana ini adalah bidang beliau.
Sebaliknya kalau beliau membincangkan perkembangan sukan, ini mungkin akan menimbulkan
keraguan banyak pihak. Disenaraikan beberapa panduan yang dapat membantu, antaranya ialah
: Siapa penulis dan dari manakah dia memperolehi sumber ? Apakah isu yang dibincangkan dan
adakah ini merupakan bidangnya ? Apakah sumber rujukannya ? Adakah maklumat itu dituliskan
oleh dia sendiri atau cedok daripada sumber lain ?
2.4.2. Ketepatan Maklumat - Maklumat yang hendak disampaikan
mesti tepat supaya dapat memberi maklumat yang berguna dan memberi manfaat kepada pihak
yang menggunakannya. Dengan lain perkataan, maklumat yang tepat adalah maklumat yang bebas
daripada sebarang kekurangan atau kesilapan supaya dapat menolong dalam membuat keputusan.
Sebagai contoh, perangkaan atau statistik yang diperolehi daripada kajian atau
penyelidikan dibuat hendaklah dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai tujuan
penyelidikan yang dijalankan.
2.4.3. Saksama ( Impartiality ) Maklumat-maklumat hendak memenuhi
objektif pengguna. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa maklumat itu dapat menolong
pengguna menyelesaikan masalah ataupun membuat keputusan. Maklumat yang dapat memenuhi
obektif ialah maklumat yang tidak mempunyai sifat bias kerana dengan adanya
sifat ini maka seseorang atau pihak akan mementingkan kepentingan diri.
2.4.4. Nilai Semasa ( Currency ) Maklumat- maklumat yang
kemaskini ( up to date ) adalah amat penting sekali. Faktor masa memainkan peranan yang
penting dalam menentukan keberkesanan maklumat yang diterima. Maklumat yang semakin lama (
dari tempoh perolehan ) , maka keesahan dan kebolehpercayanya semakin rendah. Oleh itu
antara perkara yang perlu diperhatikan ialah : Tarikh terbitan ? Tarikh pengumpulan
maklumat. Edisi yang ke berapa ?
2.4.5. Lengkap dan Jelas ( Coverage ) Maklumat-maklumat hendaklah
memberi satu gambaran yang jelas dan lengkap mengenai sesuatu perkara. Maklumat-maklumat
ini mestilah meliputi semua bidang yang berkaitan. Ini termasuklah mengenai
maklumat-maklumat tambahan. Yang penting sekali ialah maklumat-maklumat ini hendaklah
sentiasa konsisten.
2.5. Ciri-ciri
Maklumat Yang Baik [Atas][Bawah]
2.5.1. Tepat ( Accurate ) Maklumat yang tepat dapat menolong
pengguna membuat keputusan atau menyelesaikan masalah. Ini adalah kerana dengan maklumat
yang tepat, pengguna tidak perlu lagi membuat perbandingan dengan maklumat dari sumber
lain. Semakin tepat maklumat yang diperolehi, maka semakin rendah risiko yang bakal
dihadapi oleh pengguna.
2.5.2. Cepat ( Timeless ) Maklumat mestilah mudah dicapai apabila
diperlukan. Cepat atau lambat memperolehi maklumat yang tepat akan menyebabkan pelbagai
implikasi. Maklumat yang dapat diperolehi dengan cepat dan tepat akan membolehkan pengguna
memperolehi keuntungan atau manfaat yang besar dan sebaliknya jika maklumat yang lambat
diperolehi, maka besar kemungkinan maklumat itu sudah lapuk dan tidak memberi makna lagi.
2.5.3. Lengkap ( Completeness ) Tidak berlaku keadaan yang
bertaburan di merata tempat. Maklumat yang lengkap dapat menjimatkan masa pengurusan
maklumat. Maklumat yang lengkap dan tersusun dapat membantu dan menjimatkan masa untuk
pengguna mambuat keputusan atau menyelesaikan masalah.
2.5.4. Ringkas ( Conciseness ) Maklumat hendaklah ringkas,
penting untuk menjimatkan masa. Pengguna tidak dapat membuat keputusan yang tepat dan
bertepatan waktu tanpa maklumat yang cukup. Walau bagaimanapun, maklumat yang dibekalkan
hendaklah tepat dan ringkas. Kuantiti maklumat yang terlampau banyak hanya akan
membebankan pengguna.
2.5.5. Berkaitan ( Relevancy ) Maklumat itu hendaklah berasakan
need-to-know. Maklumat yang diterima oleh pengguna mesti mempunyai kaitannya dengan
tanggung jawab dan tujuan pengguna. Maklumat yang tidak releven hanya akan menyebabkan
kelewatan memperoses maklumat, oleh itu penilaian dan keputusan juga akan lambat tercapai.
2.6. Refleksi [Atas][Bawah]
Kemahiran menilai maklumat sangat penting kerana ia merupakan proses
menentukan sama ada sesuatu maklumat yang diperolehi berguna atau tidak. Di bawah adalah
satu contoh mengenai langkah-langkah yang dicadangkan bagi menilai fakta atau pendapat
dalam sesuatu bacaan atau rujukan. Di antaranya ialah : lihat ayat-ayat yang menerangkan
tentang sesuatu perkara tanpa memberi pendapat. perhatikan perkataan atau ayat-ayat yang
memberi bayangan pendapat. sekiranya penulis memberi asas rujukan untuk menjelaskan
penemuan mereka, pastikan punca-punca sumbernya boleh dipercayai. pastikan fakta-fakta
yang diberikan mempunyai bukti kesahihannya.
Kemahiran manilai maklumat bukan sahaja digunakan untuk menilai
teks pada masa kini. Dengan ledakan maklumat yang berlaku sekarang, maka kemahiran menilai
maklumat ini amat penting diamalkan dari semua aspek atau sumber maklumat. Oleh itu dalam
menilai maklumat yang diperolehi benar-benar dapat menolong kita membuat keputusan ataupun
menyelesaikan masalah.
Bibliografi [Atas]
Ab. Rahim Selamat (1989). Teknologi Sistem Pengajaran.
Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.
Abd. Rahman Hussain. " Kemahiran Maklumat Menerusi
Penggunaan Pusat Sumber Yang berkesan ". Jurnal Wawasan Pusat Sumber Pendidikan
Negeri Kedah Darul Aman. Jilid 7 Bilangan 2 , Jun 1993.
Ann Irving (1988). Study And Information Skills Across The
Curriculum. Oxford England : Heinemann Educational Books.
Grace Murray Hopper (1987). Understanding Computers. St.
Paul. United State of America : West Publishing Company.
Jane P. Laudon, Kenneth C. Laudon (1995). Essentials Of
Management Information Systems. United State of America : Prentice-Hall Inc.
Poh Swee Hiang, Mokhtar Affandi Amran, Tajuddin Hassan (1995). Pengurusan
Sumber Pengajaran Pembelajaran 1 : Sumber Perpustakaan. Kuala Lumpur : Kumpulan
Budiman Sdn. Bhd.
Raymond McLeod. JR. (19995). Management Information Systems (
Sixth Edision ). Texas : Prentic Hall International Inc.
Rita Vias. " Kemahiran Maklumat ". Jurnal Wawasan
Pusat Sumber Pendidikan Negeri Kedah Darul Aman. Jilid 5 Bilangan 2 , Ogos 1990.
|