BAB 11

AIDS : PENYELESAIANNYA

Cara Atasi AIDS Di Segi Islam

Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian." (aI-Isra : 82)

Bagi seorang muslim kejadian penyakit AIDS yang melanda umat manusia pada abad ke-20-an ini bukanlah satu perkara yang baru. Generasi demi generasi manusia telah bertukar ganti dan dilenyapkan dari muka bumi ini kerana bertindak bertentangan dengan sunnah Allah. Jika cakrawala dan bintang-bintang boleh pupus kerana bergerak bertentangan dengan paksi yang telah ditentukan oleh Allah, inikan pula manusia!

Kita memperingati sejarah tetapi tidak mengambil iktibar daripadanya. Manusia dengan sifatnya yang serba lemah dan daif pula sering menzalimi diri sendiri dengan tingkah laku dan amalannya yang cuma akan membawa kepada kehancuran. Lihatlah di sekeliling kita, kehancuran yang telah dilakukan oleh manusia terhadap alam semesta dan AIDS cuma satu daripada berpuluh-puluh contoh kezaliman yang manusia lakukan terhadap diri sendiri dan terhadap umat manusia yang lain. Merokok, mengambil dadah, meminum alkohol, memakan benda-benda yang haram, perzinaan, hanyalah sebahagian kecil kejadian kemungkaran yang bertapak di atas bumi.

Falsafah hidup dan kebudayaan Barat yang kita terikut-ikut ini terus berkembang subur. Tidak hairanlah mengapa kita tidak terkecuali daripada bahang AIDS! Dunia barat kehilangan bintang-bintang filemnya, penghibur-penghiburnya yang terkenal, kita juga apa kurangnya. Ini adalah kerana corak kehidupan mereka di masa lalu dan kita adalah sama sahaja dan tentu sekali jangkitan AIDS tidak melihat warna kulit sebelum menjangkiti seseorang itu.

Allah tidak zalim, HIV diciptanya begitu canggih seperti "peluru berpandu kawalan sendiri" yang akan mendampingi kumpulan tertentu sahaja. Ini adalah fakta yang nyata. Semua orang tahu virus HIV menjangkiti mereka yang melakukan hubungan seks rambang dan mengambil dadah. Hubungan seks yang menjadi sebahagian daripada hidup kita itu terbahagi kepada dua iaitu seks halal dan seks haram. Seks yang dilakukan di dalam suasana pernikahan boleh menjadi penawar dan satu ibadat. Seks yang dilakukan di luar konteks pernikahan adalah zina dan datang bersama-samanya seribu satu bencana seperti gonorea, sifilis, perpecahan runahtangga, kejatuhan pemimpin negara dan tamadun manusia dan pernah juga melenyapkan satu generasi umat manusia. AIDS cuma masalah yang kecil sahaja, sedangkan penyakit masyarakat yang lebih teruk akan terjadi kerana amalan ini. Aneh tetapi benar. Perbuatan seks itu adalah sama tetapi akibat-musibatnya berbeza. Dengan demikian di manakah letaknya perbezaan di antara kedua-duanya? Perbezaanya ialah seks itu dilakukan menurut hukum-hukum Allah dan yang satu lagi bertentangan dengan hukum-hukum Allah. Manusia seperti yang dikatakan oleh Allah adalah lalai kecuali orang-orang yang beriman. Telah beratus tahun manusia hidup mengingkari hukum-hukum Allah. Kita terikut-ikut dengan konsep Barat, dipengaruhi oleh budaya dan pemikiran Barat, mendewa-dewakan kebebasan berfikir dan ada yang bertuhankan hawa nafsu dan berbudayakan perilaku serba boleh.

Hiburan, seks dan dadah adalah matlamat hidup di dalam masyarakat primitif yang pemisif, tanpa berpandukan kepada sebarang nilai-nilai agama. Manusia kini berani melakukan perbuatan yang terkutuk ini tanpa segan silu kerana norma-norma dan nilai-niiai agama sudah tiada lagi. Sedar atau tidak mereka melangkah setapak lagi. Bukan sahaja seks dilakukan dengan berleluasa tetapi sekarang perhubungan seks dilakukan di antara sesama jenis, perbuatan homoseksual dan lesbianisme menjadi perkara biasa. Biseksual diterima sebagai satu cara hidup.

Barat mengiktiraf kehidupan golongan homoseksual ini, malahan golongan gereja mengiktiraf mereka sehinggakan sesama lelaki atau sesama perempuan boleh berkahwin. Satu pasangan homoseks dibenarkan mengambil anak angkat, kerana Barat menganggap mereka seperti satu institusi keluarga. Bagi orang yang tahu berfikir kita akan tertawakan golongan ini, dengan kemajuan dan tamadun yang mereka agung-agungkan, agama selalu diperkecil-kecilkan oleh mereka. Agama itu digambarkan sebagai sesuatu yang kolot, tidak bertamadun, teroris, mundur dan lapok. Kini kita pula berkata kepada mereka, "biarkan, biarkan, biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya". Di sebalik itu kita harus berfikir dengan lebih jauh lagi, jangan memaku dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih. Perahu yang kita dayung adalah satu. Jika kita tidak mempelajari kesilapan mereka, menukar cara hidup dan prinsip kita, nescaya kita akan menerima kesan yang sama. Tidak perlu kita terjun dengan labu-labu lagi. Seluruh kapal yang kita dayungi akan karam. Dunia ini akan melihat kematian kerana penyakit AIDS melanda dalam angka yang berjuta-juta dan kita tidak terkecuali daripadanya.

AIDS ADALAH JANJI-JANJI TUHAN

Perhubungan sundal sejenis atau homoseksual bukan perkara baru yang dilakukan oleh umat manusia pada generasi ini. Perhubungan yang sama telah berlaku beratus-ratus tahun yang lalu dan telah diceritakan di dalam al-Quran dengan begitu terperinci lagi jelas untuk manusia mengambil iktibar daripadanya. Sebabnya adalah sama. Ini adalah kerana manifestasi daripada kegagalan menguasai hawa nafsu manusia dan kerana kekurangan daya tahan rohani daripada tiupan-tiupan syaitan terhadap pemikiran manusia itu sendiri. Jika virus HIV dikatakan telah melumpuhkan pertahanan tubuh manusia di aspek fizikal, mereka yang mengamalkan perhubungan seks secara homoseksual, biseksual dan lesbianisme, sistem pertahanan spritual mereka telah lama gagal. Mereka tidak berdaya mempertahankan diri daripada serangan dan resapan pemikiran serta angkara buruk yang dicucuk dan dihasut oleh iblis dan syaitan. Apakah sebabnya seseorang individu yang kelihatan normal itu lebih berminat kepada kaum sejenisnya sehinggakan dia bertindak melampaui batas? Memanglah jika dilihat daripada aspek saintifik, manusia masih ingin dan cuba untuk memberi jawapan kepada tindak-tanduk yang begitu abnormal dengan mengatakan terdapat beberapa perubahan fisiologi di segi hormon, persekitaran, bahan baka (genetik), pembawaan pendidikan seseorang itu dan berbagai-bagai lagi penjelasan. Pada hakikatnya mereka itu telah dilamun oleh hawa nafsu sendiri dan ia berpunca daripada rasukan iblis, jin dan syaitan. Pertahanan spiritual mereka terdedah kepada bisikan jin dan syaitan ini kerana tidak diisi dengan sifat-sifat kerohanian yang mantap. Wujud kekosongan yang mendedahkan manusia kepada alunan nafsu dan siulan syaitan. Sebaliknya kaedah saintifik ini juga ada kebenarannya dan yang penting ialah menseimbangkan kedua-dua unsur ini untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh manusia sejagat.

Pengajaran yang telah diceritakan di dalam al-Quran adalah benar dan ia adalah satu fakta dan kebenaran yang mutlak yang lebih kuat daripada ujian-ujian saintifik yang manusia lakukan di bilik makmal. Allah telah menceritakan bagaimana Nabi Luth a.s telah mengingatkan kaumnya yang juga melakukan perbuatan yang sama iaitu memilih kaum lelaki sebagai pasangan mereka lebih daripada kaum wanita. Mereka bukan sahaja tidak mendengar akan nasihat-nasihat Nabi Luth a.s tetapi mereka telah mengejek-ejek dan merendah-rendahkan nasihat dan amaran yang telah diberikan oleh Nabi Luth a.s. Akhirnya Allah telah membelahkan bumi dan menghapuskan mereka kesemuanya termasuklah isteri Nabi Luth a.s sendiri.

Allah Maha Berkuasa dan Bijaksana dalam melaksanakan hukum-hakam dan rnenjalankan tindak balas untuk memberi pengajaran kepada manusia. Jika pada abad ke-20-an ini Allah menjatuhkan hukuman yang sama dengan membelah bumi dan menghapuskan sesuatu kumpulan masyarakat itu, maka itu adalah satu fenomena yang biasa sahaja yang telah kita lihat berlaku dari semasa ke semasa. Apabila gunung berapi Pinatubo meletup, apabila gempa bumi yang berlaku di California, Jepun, Iran dan tempat-tempat yang lain, termasuk gegaran yang pernah kita rasa di Malaysia juga, manusia hanya mendabik dada dan melihatnya sebagai suatu bencana alam dan berjaya pula mengukur kekuatan kejutan gempa bumi itu, cuma 7.3 Richter selama 8 saat. Mereka tidak mendapat apa-apa iktibar daripada kejadian tersebut, cuma mengambilnya sebagai satu lagi data saintifik.

Lantas dengan sifat Allah yang Maha Bijaksana, Allah telah menurunkan sejenis virus yang kecil lagi canggih khusus untuk menghukum golongan-golongan yang melakukan perbuatan jahat dan melampaui batas ini, iaitu mereka yang melakukan seks secara rambang dan yang menyalahgunakan dadah. Ini adalah cara Allah untuk memberi pengajaran kepada golongan-golongan ini. Akibat daripada kelalaian sebilangan umat manusia, maka kita juga dapat merasakan serpihan-serpihan bahangnya; cebisan pengajaran Allah itu terkena pada golongan yang tidak berdosa seperti isteri di rumah, janin-janin dalam kandungan, orang-orang sakit yang memerlukan darah, mereka juga turut terlibat dalam penyakit AIDS. Hukuman yang dikenakan ke atas kaum Nabi Luth itu berkemungkinan berlaku pada mana-mana kaum yang melakukan amalan yang sama dan mungkin sedang berlaku pembalasan Allah, cuma sekarang ini dalam bentuk yang berlainan. Pembalasan Allah itu berbeza-beza bergantung kepada keadaan dan masa kejadian itu. Allah telah firman dalam surah al-A’raaf ayat 80 - 81 dan juga ayat 84.

Firman Afiah yang bermaksud :

"Dan (kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada mereka: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?" "Sesungguhnya karnu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas."

(al-A’raaf : 80-81)

"Dan kami turunkan kepada mereka hujan (batu); maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu." (al-A‘raaf : 84)

Kita mungkin mempertikaikan asal-usul virus HIV kenapa ia terjadi, kenapa golongan-golongan ini sahaja yang menderita kerana virus HIV. Ini bergantung kepada seseorang itu sama ada dia ingin membuka hati dan pemikirannya tulus ikhlas pada pendapat seseorang dan janji-janji Allah dalam al-Quran ataupun dia masih ingin hidup di dalam kegelapan dan menolak segala apa yang telah diceritakandi dalam al-Quran. Dunia Barat yang mengatakan AIDS itu berasal dari Afrika mungkin mereka ingin membohongi diri mereka walaupun mereka tahu kes AIDS yang pertama berasal dari Amerika. Dunia Barat ingin mengatakan yang AIDS itu berpunca daripada binatang iaitu seekor monyet tetapi dunia Barat gagal membuktikan cara mana virus itu dapat dipindahkan dari monyet kepada manusia. Kita juga tahu di dalam suatu pembalasan yang Allah turunkan kepada sesuatu golongan masyarakat itu ia bukan sahaja melibatkan mereka yang mengamalkan perbuatan yang salah itu sahaja. Ia juga melibatkan mereka yang turut bersubahat dengan perbuatan-perbuatan itu. Pembalasan Allah bukanlah khusus untuk golongan yang homoseks dan penagih dadah ia termasuklah semua manusia dan binatang juga. Tidak hairanlah jika virus-virus ini diturunkan untuk mereka yang melakukan homoseks dan penagihan dadah, tetapi mereka yang tidak berdosa dan binatang juga tidak terkecuali daripada hukuman Allah s.w.t.

DUNIA BARAT GAGAL MENGHADAPI CABARAN AIDS

Keseluruhan dunia Barat dan khususnya para saintis dalam bidang perubatan mengakui yang penyakit AIDS adalah satu-satunya penyakit paling susah diatasi yang sedang melanda abad ke-20-an ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengakui yang rawatan untuk penyakit AIDS terutama vaksin untak menghindarkannya tidak mungkin dapat dijumpai dalam masa 5 - 10 tahun akan datang. Dunia Barat telah mem-belanjakan duit beratus-ratus bilion untuk mencari ubat penyakit AIDS tetapi sehingga kini mereka telah gagal. Semua jenis rawatan AIDS yang boleh diberi oleh dunia perubatan cuma dapat mengawal penyakit AIDS tetapi tidak ada ubat untuk menyembuhkan penyakit AIDS. Ini adalah berita-berita yang kita baca di kebanyakan makalah-makalah antarabangsa perubatan Barat. Kesimpulannya ialah, dunia perubatan Barat dan masyarakat Barat keseluruhannya telah gagal menghadapi masalah AIDS ini. Mungkin bencana AIDS yang diturunkan oleh Allah merupakan serampang dua mata. Pertama untuk menghapuskan mereka yang mungkar dengan hukum-hakam Allah s.w.t, kedua untuk memperingatkan umat manusia supaya kembali kepada agama mereka dan kembali kepada Islam. Penyakit AIDS memanglah tidak boleh diubati buat masa ini jika dilihat dari aspek perubatan. Namun kita tahu, setiap penyakit itu ada ubatnya seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Dawud.

Sabda Nabi Muhammad s.aw. yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah menurunkan (menjadikan) penyakit dan ubatnya dan Allah menjadikan setiap penyakit dan ubatnya." (Hadis Abu al-Darda' riwayat Abu Dawud)

Ini bermakna, pemikiran manusia masih belum mencapai tahap untuk mencari ubat bagi penyakit AIDS ataupun mereka memang sengaja menzalimi diri mereka, mata celik tetapi tidak melihat, buta mata dan buta hati. Memang telah tersirat di dalam pengajaran dan hukum-hakam Allah yang ubatnya telah tersedia ada. Ubat bagi penyakit AIDS dari aspek Islam ialah pencegahan. Dunia Barat telah mempelopori prinsip pencegahan itu lebih baik daripada rawatan tetapi oleh kerana falsafah hidup mereka yang telah jauh keterlaluan, mereka telah terlupa atau mereka sengaja melupakan prinsip asal perubatan ini. Mereka mengatakan pencegahan kepada AIDS adalah dengan menggunakan kondom. Mereka takut untuk mengatakan pencegahan kepada AIDS ialah untuk menghindarkan daripada perbuatan-perbuatan perzinaan dan pelacuran, homosek dan seks rambang. Ini adalah kerana mereka telah lama mengamalkan cara yang demikian. Perzinaan, dadah dan seks adalah hiburan bagi mereka dan telah menjadi sebahagian daripada tamadun mereka. Penghidupan mereka lumrah dengan amalan-amalan yang sedemikian maka keseluruhan masyarakat Barat telah menjadi takut, tidak berani untuk mengatakan perbuatan tersebut adalah salah dan harus diberhentikan serta merta. Mereka masih lagi membohongi diri mereka dengan mengatakan ada cara lain untuk mengatasi jangkitan virus HIV. Dengan secara tidak langsung mereka menghalalkan perbuatan perzinaan yang mereka lakukan selama ini. Di segi Islam, rawatan AIDS ialah melalui pencegahan daripada segala perbuatan kemungkaran seperti perzinaan, homoseksual, biseksual, pelacuran, penagihan dadah ; semua ini adalah haram di segi Islam. Melakukannya adalah pilihan seseorang itu sendiri, lantas datang bersamanya penyakit AIDS. Tidak hairanlah jika sesetengah pihak mengatakan penyakit AIDS itu adalah susah untuk didapati kerana ia berpunca daripada sifat seseorang itu, cara hidup seseorang itu, pemikiran seseorang itu dan pesepsi seseorang itu sama ada dia ingin mencari dan melanggar hukum-hukum Allah dan menerima akibatnya ataupun sebaliknya.

Kita tidak boleh menunggu ataupun mengharap dunia Barat untuk menolong kita dalam merawat penyakit AIDS. Mereka telah jauh lalai, nafsu mereka telah mengatasi akal dan pemikiran yang kononnya rasional telah mencatasi wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Rawatan untuk AIDS tidak akan datang dari makmal-makmal di dunia Barat. la akan datang dari kitab pegangan kita iaitu al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah 1,400 tahun dahulu. Sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat adalah penting bagi kita menjaga dan mengawal kemungkaran manusia lantas dapat membendung sesuatu penyakit itu daripada merebak dan menjangkiti ahli masyarakat yang lain. Tugas ini adalah penting kerana Allah dengan tegas meletakkan tanggungjawab kepada semua pihak terutamanya orang yang berkaitan langsung dengan pihak-pihak tertentu sama ada seorang ibu, ayah, suami isteri, doktor dan juga semua ahli masyarakat lebih-lebih lagi bagi pihak pemerintah. Allah telah memberi peringatan di dalam surah al-Anfaal ayat 25.

Firman Afiah yang bermaksud :

"Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya" (Surah al-Anfaal : ayat 25)

Kita akan terus berhadapan dengan dilema merawati pesakit AIDS dan kecenderungan menghukuminya kerana stigma yang terlekat pada pesakit-pesakit yang menderita penyakit AIDS. Kepada pesakit-pesakit AIDS ini terutamanya mereka yang tidak berdosa, Islam memandang mereka sebagai mangsa yang harus diberi perhatian, rawatan dan kasih sayang. Kita harus tahu membezakan di mana garis pemisah di antara penyakit seseorang itu dengan perbuatan dan kezaliman yang telah dilakukan oleh seseorang itu. Kita harus sentiasa memberi belas kasihan kepada si pesakit. Segala tindak-tanduk, segala kebencian hendaklah diletakkan kepada perbuatan mereka dan bukannya kepada si pesakit. Memahami dua konsep ini adalah penting. Kasih sayang dan rawatan yang kita berikan kepada seseorang itu lebih-lebih lagi apabila dia sedang sakit, harus kita bezakan daripada perasaan kebencian terhadap perbuatan dan kesalahan yang telah mereka lakukan. Rawatan dan kasih sayang kita tidak harus terhenti di situ sahaja, tugas kita mendidik dan menasihati mereka harus menyusuli rawatan yang diberikan dan ini adalah seuatu yang berterusan. Apabila seseorang itu datang dalam kesakitan dan penderitaan akibat perbuatannya itu, maka dia hendaklah dilihat dengan penuh kasih sayang, ihsan dan kita mestilah bersifat bertanggungjawab untuk merawat mereka sedaya upaya kita.

KESIMPULALAN

Sebagai seorang anggota masyarakat Islam yang beriman kita harus kembali kepada ajaran al-Quran kerana Allah telah berfirma dalam Surah al-A’raaf ayat 96.

Firman Allah yang bermaksud :

"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah al-A’raaf : ayat 96)

Seseorang insan itu sama ada dia berpelajaran tinggi, seorang saintis, seorang doktor ataupun seorang politikus atau negarawan dia tidaklah harus semata-mata bergantung kepada kekuasaan dirinya untuk mencipta atau menyelesaikan sesuatu itu. Kejayaan mudah menjadikan mereka rasa megah dan bangga diri. Lantas mendabik dada dan mengatakan yang dialah yang telah berjaya mendapatkan rawatan kepada penyakit AIDS atau yang seumpamanya. Kegagalan juga jangan menjadikan hati kita kecewa dan putus harapan. Allah sentiasa bersama mereka yang berusaha. Masih ada ruang untuk kita memohon kepada Allah dan mempercayai akan limpah kurnia dan petunjuk daripada Allah untuk mengatasi masalah ini. Kita bergantung kepada rahmat-Nya serta berdoa supaya dengan sifat-sifat ehsan-Nya, akan diturunkan petunjuk untuk kita mengatasi masalah AIDS. Dalam masa yang sama ini tidak bermakna yang kita cuma duduk berdoa sahaja tanpa melakukan sesuatu, kita harus terus berusaha sedaya upaya untuk melakukan apa sahaja untuk membenteras AIDS walaupun cuma dengan sepatah perkataan sahaja.

Sebagai seorang individu yang hidup dalam masyarakat, kita haruslah mempertanggungjawabkan ke atas diri kita sendiri supaya mengambil langkah-langkah tertentu bagi membenteras penyakit AIDS.

Langkah yang harus kita ambil ialah pertama bagi seorang individu kita hendaldah kembali pada ajaran al-Quran dan sunnah. Kedua, kita hendaklah memupukkan sifat kebencian terhadap perkara-perkara maksiat dan memberi sokongan kepada langkah-langkah makruf dan perbuatan baik yang dilakukan oleh setiap anggota masyarakat ataupun pihak pemerintah. Ketiga, semua ahli masyarakat dan individu yang diamanahkan oleh Allah dan pemerintah untuk melaksanakan undang-undang membenteras kegiatan maksiat di negara kita ini, mestilah mengerjakannya dengan sebaik-baiknya. Mereka yang telah dipertanggung-jawabkan untuk menyiasat perbuatan maksiat, pelacuran, perjudian, rasuah dan penagihan dadah haruslah bergerak cergas dan melakukan tanggungjawab mereka tanpa sambil lewa atau takut kepada tekanan pihak-pihak yang berkepentingan. Diri kita juga harus bersih daripada segala tuntutan emosi. Sebagai seorang ahli anggota keluarga, kita haruslah mengajar anak-anak kita, suami isteri kita supaya lebih rapat kepada agama, mendidik mereka secara meluas terhadap masalah masyarakat termasuk masalah AIDS. Ini adalah kerana AIDS bukanlah satu penyakit yang wujud bersendirian tetapi ia adalah disebabkan oleh penyakit masyarakat.

Wallahualam.